Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah boleh bagi si ayah menjadi wakil anaknya untuk menyebut ijab qabul semasa akad nikah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Nikah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan.
Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:
فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ
Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”
(Surah Al-Nisa’: 3)
Islam menggalakkan umatnya supaya berkahwin kerana perbuatan itu merupakan Sunnah Baginda Nabi SAW. Selain itu perkahwinan juga terdapat pelbagai kebaikan dan faedah, sama ada kepada individu mahupun masyarakat. Hal ini seperti yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Ayyub RA, Sabda Nabi SAW:
أَرْبَعٌ مِنْ سُنَنِ الْمُرْسَلِينَ: الْحَيَاءُ، وَالتَّعَطُّرُ، وَالسِّوَاكُ، وَالنِّكَاحُ
Maksudnya: Empat perkara yang merupakan sunnah para rasul, iaitu sifat malu, berwangi-wangian, bersugi dan nikah.
Riwayat al-Tirmizi (1080) dan Ahmad (23628)
Dalam memenuhi tuntutan perkahwinan, seseorang itu tidak dapat lari dari memenuhi tuntutan syarak agar perkahwinannya itu sempurna. Justeru wajib bagi seseorang yang hendak berkahwin untuk mematuhi rukun dan syarat pernikahan supaya perkahwinannya itu menjadi sah. Dr Muhammad Zuhaili menyebut tidak sempurna akad nikah melainkan dengan terlaksana rukunnya dan melengkapi segala syarat bagi rukun tersebut. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh a-Syafi’e, 4/53)
Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyebut rukun akad nikah mempunyai lima rukun iaitu:
- Sighah
- Pengantin perempuan
- Pengantin lelaki
- Wali
- Dua orang saksi (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/55)
Dr. Muhammad Zuhaili memperincikan lagi rukun akad nikah kepada lima iaitu Sighah (Ijab dan Qabul), al-A’qidan (Pengantin lelaki dan wali), pengantin perempuan dan dua orang saksi. (Lihat al-Mu’tamad, 4/53)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum wali mewakili anaknya untuk menjalankan tanggungjawab melafazkan ijab dan qabul bagi pihak anaknya adalah sah; sama ada mereka berada di dalam majlis yang sama ataupun berada di kejauhan. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/336)
Perkara ini bersandarkan kepada perbuatan Nabi Muhammad SAW mewakilkan orang lain untuk menerima pernikahan isteri baginda. Antaranya, Rafi’ hamba Rasulullah SAW meriwayatkan, dia berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَزَوَّجَ مَيْمُونَةَ حَلَالًا وَبَنَى بِهَا حَلَالًا وَكُنْتُ الرَّسُولَ بَيْنَهُمَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW mengahwini Maimumah dalam keadaan halal (bukan ketika berihram), bersetubuh dengannya dalam keadaan halal (bukan ketika berihram). Ketika itu, aku menjadi utusan (wakil) antara mereka berdua”.
Riwayat al-Tirmizi (841)
Meskipun begitu, diingatkan agar si wakil menyebut dirinya menerima akad sebagai wakil bagi pihak pengantin lelaki. (Lihat al-Mu’tamad, 3/347)
Begitu juga, sekiranya si pengantin perempuan tidak dapat hadir ke majlis perkahwinannya disebabkan faktor yang tidak dapat dielakkan seperti berada di luar negara atau seumpamanya, hukumnya adalah sah dengan syarat, mesti ditentukan pengantin perempuan yang mana kerana ia termasuk dalam rukun nikah. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 4/55)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a’lam.