#532: Memakan Belalang secara Hidup-hidup

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah belalang boleh dimakan secara hidup-hidup sebagaimana hidupan air? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menundukkan untuk kamu semua segala apa yang ada di langit yang terdiri daripada matahari, bulan dan bintang, serta segala apa yang ada di bumi yang terdiri daripada haiwan-haiwan (makanan dan pengangkutan darat), tumbuh-tumbuhan, kapal dan lain-lain, untuk manfaat buat kamu semua. Kesemua nikmat-nikmat ini adalah merupakan pemberian daripada Allah semata-mata, Dia memberikan perkara-perkara tersebut kepada kamu sebagai nikmat-Nya dan juga kurniaan-Nya. Maka hendaklah kepada-Nya sahaja kamu menyembah (beribadah) dan jangan sekali-kali kamu menjadikan bagi-Nya sekutu. Sesungguhnya pada apa yang telah Dia tundukkan buat kamu itu ada mengandungi tanda-tanda dan bukti-bukti yang menunjukkan kepada keesaan-Nya, bagi mereka yang merenung (berfikir) akan ayat-ayat Allah (tanda-tanda kekuasaan-Nya) serta hujah-hujah dan dalil-dalil-Nya lalu mereka mengambil pengajaran daripadanya. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 499)

Definisi belalang dan habitatnya

Ringkasnya, belalang ialah serangga yang boleh melompat kira-kira sejauh 20 kali panjang badannya. Belalang sama ada bertanduk pendek, dengan sesungut pendek atau bertanduk panjang, dengan sesungut panjang. Badan belalang mempunyai tiga bahagian utama iaitu; (1) kepala, (2) toraks dan (3) abdomen. Kulit keras yang dikenali sebagai eksoskeleton menutupi badannya. Ia mempunyai lima mata. Mata majmuk yang besar, terdiri daripada beribu-ribu kanta tunggal, terletak di kedua-dua belah kepala. Dengan mata ini, ia boleh melihat ke depan, ke sisi dan ke belakang. Ia mempunyai enam kaki dan kebanyakannya mempunyai dua pasang sayap. Sesetengah spesies mempunyai sayap yang pendek dan tidak berguna, dan yang lain tidak bersayap langsung. Belalang hidup di kebanyakan bahagian di dunia kecuali dekat Kutub Utara dan Selatan. Banyak belalang hidup di padang dan padang rumput yang terdapat banyak daun untuk dimakan. Antara spesies belalang yang ada ialah belalang kunyit, belalang lubber, Katydid, belalang juta dan lain-lain. (Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 3/392-396)

Hukum memakan belalang

Pada asasnya, belalang adalah haiwan yang halal dimakan kerana terdapat nas yang menyebutkan mengenai kehalalannya. Di antaranya, riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”

Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.

Begitulah juga belalang itu halal dimakan tidak kira ia disembelih (yakni dimatikan atau matinya dengan sebab) atau mati dengan sendirinya (yakni tanpa sebab). Hal ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, dan merupakan pendapat ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i, Abu Hanifah, Ahmad dan majoriti daripada kalangan mereka. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/74)

Perbahasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada dua artikel kami yang bertajuk:

Memakan belalang secara hidup-hidup

Sebagai umat Islam kita dituntut untuk berbuat baik kepada semua makhluk, tidak kira orang Islam atau orang bukan Islam, termasuklah haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”

(Surah al-Nahl: 90)

Menurut al-Sa‘di, berbuat baik itu adalah seperti seseorang memberi manfaat kepada orang lain dengan hartanya, tubuh badannya, ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat sehinggakan termasuk juga di dalamnya suruhan berbuat baik kepada haiwan ternakan yang dimakan atau selainnya — yakni haiwan yang tidak dimakan. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/447)

Selain itu, berbuat baik kepada haiwan termasuk dalam akhlak dan sikap yang baik. Terdapat sebuah hadith daripada riwayat Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

Maksudnya:Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”

Riwayat al-Bukhari (5997)

Hadith ini menunjukkan supaya bersikap rahmat — yakni belas kasihan — sesama manusia, bahkan juga kepada haiwan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ia adalah suatu sikap dan akhlak yang baik lagi terpuji. Sesungguhnya Allah SWT telah memuji rasul-Nya yang bersikap sedemikian melalui firman-Nya:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.

(Surah al-Taubah: 128)

Manakala lawannya iaitu sikap keras hati yang merupakan hukuman Allah ke atas orang Yahudi tatkala mereka mencabuli perjanjian setia, sebagaimana firman Allah SWT:

فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً

Maksudnya:Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran).

(Surah al-Ma’idah: 13)

Oleh itu, rahmat — yakni bersikap kasih sayang dan mengasihi — itu merupakan kelebihan dan sifat yang baik, sedangkan keras hati itu pula ialah sifat yang buruk. Justeru, bersikap rahmat kepada haiwan, antaranya adalah dengan memberinya makan dan minum, mengubati lukanya, tidak membebankan haiwan tersebut di luar kemampuannya. (Lihat al-Adab al-Nabawi, hlm. 122-123)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitabnya al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, (9/38) bahawa menurut pendapat yang paling sahih, halal menelan atau memakan belalang ketika masih lagi hidup. Begitu juga Ibn Qudamah menyebutkan bahawa diharuskan untuk memakan belalang serta apa yang ada di dalamnya (yakni perutnya). Oleh itu, harus menggorengnya tanpa perlu dikeluarkan isi perutnya (yakni dibersihkan terlebih dahulu). Namun, hukumnya adalah makruh sekiranya belalang itu dimakan atau ditelan ketika masih lagi hidup kerana perbuatan tersebut menyakitinya (yakni menyeksanya). (Lihat al-Mughni, 9/395)

Hal ini kerana belalang termasuk dalam haiwan yang mana bangkainya adalah suci lagi halal meskipun tidak melalui proses penyembelihan (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/72; Mughni al-Muhtaj, 6/98-99) Yang demikian, berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma berkenaan kehalalan bangkai belalang dan ikan.[3]

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa hukum memakan belalang atau menelannya secara hidup-hidup adalah makruh kerana perbuatan itu berkemungkinan menyakiti dan menyeksanya.

Kami juga mengambil kesempatan di sini menyarankan bahawa adalah lebih baik, sekiranya ia dimatikan terlebih dahulu dengan cara memotong kepalanya, merebus dan seumpamanya sebelum dimakan kerana kita dituntut untuk berbuat baik sekalipun kepada haiwan yang hendak dimakan. Termasuklah dalam perbuatan ihsan itu, tidak menyeksanya dengan cara memasaknya secara hidup-hidup. Begitu juga, perbuatan memakan belalang secara hidup-hidup juga dikhuatiri akan memberi mudarat kepada pemakannya kerana kebiasaannya haiwan yang masih hidup dan tidak dimasak dengan sempurna mudah terdedah kepada jangkitan bakteria.

Selain itu juga, memakan belalang secara hidup-hidup — sekalipun ia adalah dibolehkan — dilihat tidak mencerminkan akhlak sebagai seorang Islam yang dekat dengan sifat rahmat — yakni bersikap belas kasihan dan berkasih sayang — sesama makhluk sebagaimana yang dituntut dalam agama Islam itu sendiri. Hal ini kerana perbuatan memakannya secara hidup-hidup itu merupakan sejuzuk daripada perbuatan menyeksa haiwan. Kami akhiri dengan hadith ini sebagai iktibar buat kita semua, di mana Baginda SAW ada bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

Maksudnya:Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”

Riwayat al-Bukhari (5997)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 19 Februari 2022 bersamaan 17 Rejab 1443H

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/524-memakan-belalang/. Diakses pada 19 Februari 2022.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/529-cara-menyembelih-belalang/. Diakses pada 19 Februari 2022.

[3] Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.