#5333: Yakjuj wa Makjuj: Adakah Manusia?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Berkenaan isu Yakjuj wa Makjuj, adakah mereka ini manusia atau lain, sebagaimana dalam kisah Zulqarnain?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Mengikut nas al-Quran, Zulqarnain meneruskan pengembaraannya ke arah matahari terbit (timur). Di sana beliau bertemu dengan satu kaum yang tinggal di sebuah kawasan antara 2 gunung.

Ibn Kathir mengatakan, Ya’juj Ma’juj ini berasal dari kalangan anak-anak adam, sepertimana yang warid dalam hadith sahih. Dikatakan bahawa sebahagian ulama’ mendakwa, Ya’juj Ma’juj ini dari keturunan Nabi Nuh A.S, melalui jalur Yafith Abu al-Turk. Diriwayatkan daripada Samurah bin Jundub, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَلَدُ نُوحٌ ثَلَاثَةً: سَامٌ أَبُو الْعَرَبِ، وَحَامٌ أَبُو السُّودَانِ، وَيَافِثُ أَبُو التُّرْكِ

Maksudnya: “Nabi Nuh ada tiga orang anak lelaki: Sam Abu al-Arab, Ham Abu al-Sudan, Yafith Abu al-Turk.”

Riwayat Ahmad (20114)

Mereka dinamakan sebagai al-Turk (التُّرْكُ)[1] kerana mereka ini sebenarnya ditinggalkan di sebalik tembok yang dibina. Jika tidak ada tembok tersebut, nescaya digelar sebagai aqriba’ (الأَقْرِبَاءُ) atau orang yang dekat, akan tetapi mereka ini suka melakukan maksiat, kerosakan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/175)

Abu Muhammad al-Baghawi pula membawakan beberapa pendapat tentang siapakah sebenarnya Ya’juj dan Ma’juj ini.

  • al-Dahhak berkata, mereka ini suku manusia dari Turk.
  • Al-Suddi pula berkata, al-Turk itu ditawan oleh tentera Ya’juj Ma’juj. Mereka telah keluar, lalu Zulqarnain membina tembok antara mereka dan al-Turk. Maka berkekalan Ya’juj dan Ma’juj di luar al-Turk.
  • Diriwayatkan daripada Qatadah, Ya’juj dan Ma’juj ini terpecah kepada 22 kabilah, dan Zulqarnain telah membina tembok ke atas 21 kabilah, dan tinggallah satu kabilah di luar, mereka inilah al-Turk, dinamakan demikian kerana ditinggalkan di luar.
  • Sejarawan pula mengatakan, anak lelaki Nabi Nuh adalah Sam, Ham dan Yafith. Sam merupakan bapa kepada kaum Arab, al-‘Ajam dan Rom. Ham pula bapa kepada al-Habasyah, al-Zanj, dan al-Nubah. Manakala Yafith merupakan bapa kepada al-Turk, al-Khuzr, al-Saqalibah, Ya’juj dan Ma’juj. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 5/202)

Melihat kepada keseluruhan pendapat ini, kesemuanya menunjukkan bahawa Ya’juj dan Ma’juj ini adalah manusia. Ini dikuatkan lagi dengan hadith qudsi riwayat Abu Sa‘id al-Khudri R.A, kaum ini berasal dari anak keturuan Nabi Adam A.S. Rasulullah SAW bersabda:

يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: يَا آدَمُ، فَيَقُولُ: لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ، وَالخَيْرُ فِي يَدَيْكَ، فَيَقُولُ: أَخْرِجْ بَعْثَ النَّارِ، قَالَ: وَمَا بَعْثُ النَّارِ؟، قَالَ: مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعَ مِائَةٍ وَتِسْعَةً وَتِسْعِينَ، فَعِنْدَهُ يَشِيبُ الصَّغِيرُ، وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا، وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى، وَلَكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ» قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَأَيُّنَا ذَلِكَ الوَاحِدُ؟ قَالَ: «أَبْشِرُوا، فَإِنَّ مِنْكُمْ رَجُلًا وَمِنْ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ أَلْفًا» ثُمَّ قَالَ: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، إِنِّي أَرْجُو أَنْ تَكُونُوا رُبُعَ أَهْلِ الجَنَّةِ، فَكَبَّرْنَا، فَقَالَ: أَرْجُو أَنْ تَكُونُوا ثُلُثَ أَهْلِ الجَنَّةِ، فَكَبَّرْنَا، فَقَالَ: أَرْجُو أَنْ تَكُونُوا نِصْفَ أَهْلِ الجَنَّةِ، فَكَبَّرْنَا، فَقَالَ: مَا أَنْتُمْ فِي النَّاسِ إِلَّا كَالشَّعَرَةِ السَّوْدَاءِ فِي جِلْدِ ثَوْرٍ أَبْيَضَ، أَوْ كَشَعَرَةٍ بَيْضَاءَ فِي جِلْدِ ثَوْرٍ أَسْوَدَ

Maksudnya: “Allah SWT berfirman: ‘Wahai Adam.’ Adam menjawab: ‘لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ (aku menyambut seruanmu dan segala kebaikan berada di tangan-Mu).’ Kemudian Allah berfirman: ‘Keluarkanlah orang yang bakal diutuskan ke neraka.’ Adam berkata: ‘Berapakah bilangannya?)’ Allah berfirman: ‘Dari setiap seribu orang, sembilan ratus sembilan puluh sembilan orang dihumbankan ke neraka! Maka ketika itulah kanak-kanak akan menjadi beruban, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan menggugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat lagi mengerikan.’ Mereka berkata: ‘Wahai Rasulullah, siapakah di kalangan kami yang seorang itu?’ Baginda bersabda: ‘Bergembiralah, kerana setiap seribu yang dimasukkan ke neraka, maka sesungguhnya di kalangan kamu adalah yang seorang itu dan daripada kalangan Ya‘juj Ma‘juj seribu orang.’ Kemudian Baginda bersabda: ‘Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, aku berharap kamu menjadi satu perempat daripada penghuni syurga.’ Kami pun bertakbir. Baginda bersabda: ‘Aku berharap kamu akan menjadi satu pertiga daripada penghuni syurga.’ Kami pun bertakbir. Baginda bersabda: ‘Aku berharap kamu menjadi separuh daripada penghuni syurga.’ Kami pun bertakbir. Baginda bersabda: ‘Tidaklah (keberadaan) kamu di hadapan manusia, kecuali seperti sehelai rambut hitam pada kulit lembu yang putih atau seperti sehelai rambut putih pada kulit lembu yang hitam’.”

Riwayat al-Bukhari (3348) dan Muslim (222)

Ibn Hajar berkata bahawa dalam kalangan Ya’juj Ma’juj ada yang mahir dalam sektor perkilangan, pemerintahan dan sebagainya, dan anggota kerajaan serta rakyat amat patuh kepada ketua. Ibn Hajar juga berpendapat bahawa mereka mempunyai pokok-pokok dan tanaman-tanaman dan juga peralatan-peralatan.

Herodotus berpendapat, golongan pertama yang mengetahui kaedah-kaedah pencairan dan pembentukan besi adalah daripada Bangsa Georgian. Mereka adalah golongan etnik yang berasal dari Qauqaz – yang dikategorikan dalam keluarga, bahasa dan budaya etnik kawasan selatan Qauqaz.

Teimuraz Mikeladze dalam artikel yang ditulis oleh Bruno Coppieters, menyatakan bahawa kaum Chalybs, iaitu nenek moyang orang Georgian adalah yang pertama kali mencipta besi. Merekalah memperkenalkan zaman besi dan menyumbang kepada kebudayaan manusia amnya.[2]

Dalam memenuhi keperluan bagi pembinaan tembok untuk menghalang serangan kaum Ya’juj dan Ma’juj dari arah utara banjaran Qauqaz, Zulqarnain menerima sumbangan besar daripada bangsa Georgian, Kolchis dan Armenia. Mereka ialah bangsa yang tinggal berhampiran dan bersebelahan sesama sendiri di kawasan selatan banjaran Qauqaz di mana mereka semua berkemahiran dalam pencairan dan pertukangan besi.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Nota kaki:

[1] Kalimah (تَرَكَ) dari segi bahasa bermaksud meninggalkan.

[2] Lihat https://abkhazworld.com/aw/conflict/1704-in-defence-of-the-homeland-intellectuals-and-the-georgian-abkhazian-conflict-by-bruno-coppieters. Diakses pada 12 Januari 2024.