#5335: Makna Zu al-Qarnain

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan makna dan maksud Zu al-Qarnain?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَيَسْأَلُونَكَ عَن ذِي الْقَرْنَيْنِ ۖ قُلْ سَأَتْلُو عَلَيْكُم مِّنْهُ ذِكْرًا ﴿٨٣﴾ إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الْأَرْضِ وَآتَيْنَاهُ مِن كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا ﴿٨٤﴾

Maksudnya:Mereka bertanya padamu wahai Muhammad tentang Zulkarnain. Jawablah, ‘Aku akan ceritakan kepadamu sebahagian daripada kisahnya.’ Sesungguhnya Kami telah kurniakan kepadanya kuasa pemerintahan di bumi, dan Kami berikan kepadanya asbab untuk mencapai segala visinya.”

(Surah al-Kahfi: 83-84)

Berkenaan persoalan di atas, perkataan ‘ذُو الْقَرْنَيْن’ terdiri daripada dua suku kata iaitu ‘ذُو’ dan ‘القَرْنَيْن’. Zu bermaksud (orang) yang mempunyai, manakala al-qarnain merupakan bentuk muthanna daripada perkataan ‘قَرْنٌ’ yang secara harfiahnya bermaksud tanduk, kurun, abad, masa dan generasi.

Menurut Ibn Kathir, Allah SWT memberikan kepada Zulqarnain kerajaan yang besar dan segala sesuatu yang dimiliki oleh seorang raja seperti kekuasaan, tentera, peralatan perang dan kelengkapan yang mencukupi. Dengannya, beliau dapat menguasai dunia sama ada di bahagian timur mahupun barat. Beliau berjaya menakluk pelbagai negeri dan menundukkan pemerintah lain. Sehinggalah semua orang berkhidmat di bawah kerajaannya. Disebabkan itu, sebahagian ulama’ berpendapat bahawa sebab beliau  digelar dengan Zulqarnain kerana kekuasaannya meliputi tempat terbit dan terbenamnya matahari iaitu timur dan barat. (Lihat Taisir al-Manan fi Qisas al-Quran, hlm. 419).

Zulqarnain seorang raja yang soleh, dikurniakan Allah sebuah kerajaan yang teguh di bumi ini. Dia juga dikurniakan petunjuk, ilmu pengetahuan, kebijaksanaan dan keperluan yang membolehkannya memerintah negara dengan baik dan adil. Beliau hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim A.S. Beliau pernah bertemu dengan Nabi Ibrahim di Palestin dan juga di Baitullah, Makkah al-Mukarramah. (Lihat Zu al-Qarnain oleh Muhammad Khair Ramadhan Yusuf, hlm. 91).

Sayyid Qutb menukilkan daripada Abu al-Raihan al-Biruni al-Munajjim dalam kitabnya, al-Athar al-Baqiah ‘an al-Qurun al-Khaliah yang menyatakan, Zulqarnain yang disebut di dalam al-Quran itu adalah dari suku kaum Himyar yang dapat dikenali daripada namanya, kerana raja-raja Himyar (Sebuah kerajaan kuno yang berkuasa di Yaman)  selalu digelar dengan ‘Zu’, seperti Zu Nuas dan Zu Yazin. Namanya yang sebenar ialah Abu Bakar bin Afriqasy (أَبُوْ بَكْر بنِ أَفْرِيْقَشْ). Beliau telah mengembara dengan angkatan bala tenteranya ke pantai Lautan Mediterranian dan melintas negeri-negeri Tunisa, Morocco dan lain-lain, dan beliau telah membangunkan bandar Afrika dan kemudian seluruh benua itu dinamakan dengan namanya. Beliau digelarkan dengan Zu al-Qarnain (Yang Menjelajah Dua Tanduk Matahari iaitu garisan bulatan matahari di permulaan terbit yang kelihatan seakan-akan tanduk), kerana beliau telah mengembara hingga sampai ke kawasan dua tanduk matahari. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 6/2289).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”