#5338: Zulqarnain Seorang Nabi?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah Zulqarnain yang Disebutkan di dalam al-Quran ialah seorang Nabi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَيَسْأَلُونَكَ عَن ذِي الْقَرْنَيْنِ ۖ قُلْ سَأَتْلُو عَلَيْكُم مِّنْهُ ذِكْرًا ﴿٨٣﴾ إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الْأَرْضِ وَآتَيْنَاهُ مِن كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا ﴿٨٤﴾

Maksudnya:Mereka bertanya padamu wahai Muhammad tentang Zulkarnain. Jawablah, ‘Aku akan ceritakan kepadamu sebahagian daripada kisahnya.’ Sesungguhnya Kami telah kurniakan kepadanya kuasa pemerintahan di bumi, dan Kami berikan kepadanya asbab untuk mencapai segala visinya.”

(Surah al-Kahfi: 83-84)

Berkenaan persoalan di atas, secara umumnya, terdapat perbezaan pandangan berkaitan kedudukan dan status Zulqarnain kepada beberapa pendapat:

  • Menurut sebahagian ulama’, beliau ialah seorang nabi. Ini juga adalah pendapat yang dipilih oleh al-Razi.
  • Sebahagian yang lain berpendapat, Zulqarnain ialah seorang malaikat.
  • Sebahagian yang lain berpendapat, Zulqarnain ialah seorang hamba yang soleh dan beliau memerintah kaumnya agar bertaqwa kepada Allah dan beliau bukanlah seorang nabi mahupun seorang raja.
  • Sebahagian yang lain menyatakan, Zulqarnain ialah seorang raja yang soleh. Ini adalah pendapat yang dipilih oleh Ibn Kathir dan Ibn Hajar al-‘Asqalani menyandarkan pendapat ini kepada majoriti ulama’.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan, pendapat yang mengatakan bahawa dia ialah seorang nabi merupakan satu pendapat yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As dan inilah makna zahir al-Quran. Al-Hakim meriwayatkan daripada hadith Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا أَدْرِي ذُو الْقَرْنَيْنِ كَانَ نَبِيًّا أَوْ لَا

Maksudnya: “Aku tidak tahu, adakah Zulqarnain seorang nabi ataupun tidak.” 

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (2174) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (17595)

Wahab menyebut dalam kitab al-Mubtada’ bahawa dia ialah seorang hamba yang soleh dan Allah mengutusnya kepada empat umat; dua umat di antaranya menempati garis horizontal bumi dan dua umat lagi menempati garis vertikal bumi. Dia seorang ahli ibadah. Kemudian disebutkan kisah panjang yang dinukilkan oleh al-Tha‘labi dalam kitab tafsirnya.

Al-Zubair berkata pada bahagian awal kitab al-Nasab, Ibrahim bin al-Munzir menyampaikan kepada kami, daripada ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Imran, daripada Hisyam bin Sa‘d, daripada Sa‘id bin Abu Hilal, daripada al-Qasim bin Abu Bazzah, daripada Abu al-Tufail, aku mendengar Ibn al-Kawwa berkata kepada Ali bin Abu Talib, khabarkan kepadaku perihal Zulqarnain. Ali R.A menjawab, “Dia ialah seorang lelaki yang mencintai Allah, maka Allah mencintainya. Allah mengutusnya kepada kaumnya dan mereka memukulnya di atas tanduknya dengan satu pukulan hingga dia meninggal dunia dengan sebab itu. Kemudian Allah membangkitkan kepada mereka dan mereka pun memukulnya pada tanduknya hingga meninggal. Kemudian Allah membangkitkannya, dan dia dinamakan Zulqarnain.” Akan tetapi ‘Abd al-‘Aziz ialah seorang perawi yang lemah, hanya sahaja riwayat ini dinukilkan juga oleh perawi lain daripada Abu al-Tufail.

Sufyan bin ‘Uyainah meriwayatkan dalam kitabnya al-Jami‘, daripada Ibn Abi Husain, daripada Abu al-Tufail seperti di atas disertai lafaz tambahan, “ وَنَاصَحَ اللَّهَ فَنَاصَحَهُ” (Dia meminta nasihat kepada Allah dan Allah menasihatinya). Dalam riwayat ini, dinyatakan bahawa Zulqarnain bukan seorang nabi mahupun seorang raja, dan sanad riwayatnya juga adalah sahih. Kami telah mendengarnya dalam hadith-hadith pilihan oleh al-Hafiz al-Dhiya’. Hanya sahaja ditinjau dari segi kandungan, terdapat sedikit kekeliruan. Ini kerana perkataannya, “Bukan seorang nabi,” bertentangan dengan perkataannya, “Allah mengutusnya kepada kaumnya.” Melainkan sekiranya pengutusan di sini difahami bukan dalam konteks membawa risalah kenabian.

Selain itu, sebahagian ulama’ berpendapat, Zulqarnain ialah malaikat. Pandangan ini dinukilkan daripada al-Tha‘labi dan diriwayatkan daripada Umar bahawa beliau mendengar seorang lelaki berkata, “Wahai Zulqarnain.” Maka beliau berkata, “Engkau menamakannya dengan nama-nama malaikat?”

Begitu juga al-Jahiz meriwayatkan dalam kitabnya, al-Hayawan, bahawa ibu Zulqarnain berasal daripada anak perempuan Adam, sedangkan bapanya berasal daripada Malaikat. Adapun nama bapanya ialah Faira (فَيْرَى), sedangkan nama ibunya pula ialah Ghaira (غَيْرَى).

Selain daripada itu, terdapat juga pendapat lain menyatakan bahawa Zulqarnain termasuk dalam kalangan raja, dan inilah pendapat kebanyakan ulama’. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith Ali R.A yang telah disebutkan sebelum ini. (Lihat Fath al-Bari, 6/383).

Begitu juga al-Razi ada menyebutkan, para ulama’ berselisih pendapat tentang Zulqarnain, adakah dia termasuk dalam kalangan nabi ataupun tidak? Di antara mereka ada yang berpendapat, Zulqarnain ialah seorang nabi berdasarkan kepada beberapa alasan. Pertamanya, ayat “إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الْأَرْضِ”, yang utamanya adalah memahaminya sebagai kekuasaan dalam agama, dan kekuasaan penuh dalam agama adalah kenabian. Keduanya, ayat “وَآتَيْنَاهُ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا”, termasuk dalam segala sesuatu itu kenabian. Jadi, maksud umum dalam ayat tersebut adalah bahawa Allah SWT memberikan kepadanya sebab dalam kenabian. Ketiganya, ayat “قُلْنَا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِمَّا أَنْ تُعَذِّبَ وَإِمَّا أَنْ تَتَّخِذَ فِيهِمْ حُسْنًا” iaitu orang yang Allah SWT berbicara dengannya, pasti dia adalah seorang nabi.

Namun, ada juga yang berpendapat, Zulqarnain ialah seorang hamba yang soleh dan bukannya seorang nabi. Adapun ayat “إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الْأَرْضِ”, maka “kekuasaan” dalam ayat ini ada kemungkinan merujuk kepada kekuasaan disebabkan kenabian, dan boleh juga dianggap sebagai kekuasaan disebabkan kerajaan; dalam hal ini, dia memerintah timur dan barat bumi. Namun, pendapat yang pertama adalah lebih utama; kerana kekuasaan disebabkan kenabian lebih tinggi daripada kekuasaan disebabkan kerajaan, dan memahami kalam Allah dengan cara yang lebih sempurna adalah lebih utama. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 21/495).

Ibn al-Jauzi pula menyatakan, para ulama berbeza pendapat mengenai adakah Zulqarnain seorang nabi ataupun tidak? Maka, Abdullah bin ‘Amr, Sa‘id bin al-Musayyib dan al-Dhahhak bin Muzahim berpendapat, beliau ialah seorang nabi. Namun, menurut Ibn al-Jauzi pendapat ini diperselisihi oleh majoriti ulama. Diriwayatkan kepada kami daripada Ali R.A, katanya: Zulqarnain ialah seorang hamba yang soleh dan beliau memerintah kaumnya agar bertaqwa kepada Allah dan beliau bukanlah seorang nabi mahupun seorang raja. Manakala Wahab pula berpendapat, beliau ialah seorang raja dan tidak diberi wahyu. Seterusnya, dinyatakan bahawa Ahmad bin Ja‘far al-Munadi menyebutkan, Zulqarnain berada di atas agama Nabi Ibrahim. (Lihat al-Muntazam fi Tarikh al-Umam wa al-Muluk, 1/287).

Selain itu, Ibn ‘Atiyyah juga ada menukilkan pendapat ulama berkenaan Zulqarnain dan menyatakan, pendapat yang mengatakan Zulqarnain seorang Nabi adalah lemah. Ini dapat dilihat melalui kenyataan beliau bahawa para ulama telah berbeza pendapat mengenai Zulqarnain. Ada yang mengatakan, beliau adalah seorang nabi dan pendapat ini adalah lemah. Ada juga yang berpendapat, beliau adalah malaikat. Begitu juga ada yang berpendapat, beliau ialah seorang raja yang soleh, mengikut perintah Allah dan Allah membantunya. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Ali bin Abu Talib. (Lihat Tafsir Ibn ‘Atiyyah, 3/538).

Ibn Kathir pula cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa Zulqarnain ialah seorang raja. Ini jelas melalui kenyataannya bahawa Allah SWT telah menyebutkan berkenaan Zulqarnain dan memujinya dengan keadilan, dan bahawa dia telah sampai ke timur dan barat, dan dia menundukkan raja-raja di wilayah-wilayah serta rakyat mereka. Dia berjalan di antara mereka dengan keadilan yang sempurna, dan dia mempunyai kekuasaan yang unggul, yang sentiasa beroleh kemenangan. Pendapat yang benar adalah, dia merupakan salah seorang Raja yang adil. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 2/122).

Begitu juga Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin turut berpendapat, Zulqarnai ialah seorang raja yang soleh, yang hidup pada zaman al-Khalil Ibrahim A.S. Dikatakan bahawa Zulqarnain pernah melakukan tawaf bersama Nabi Ibrahim A.S di Baitullah al-Haram. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 4/60).

Manakala Mantan Mufti Besar Arab Saudi, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Abdullah bin Baz ketika ditanya mengenai Zulqarnain yang disebut dalam al-Quran, adakah dia seorang Nabi?

Maka beliau menjawab, Zulqarnain adalah seorang raja besar yang diberkati, penuh dengan kebaikan, kemurahan, dan pembaharuan. Terdapat perbezaan pendapat di kalangan manusia tentang kenabian beliau, namun yang masyhur adalah beliau merupakan seorang raja yang soleh. Kisahnya diketahui dalam Al-Quran, kitab Allah yang patut dibaca. Jika seseorang ingin membacanya, mereka akan menemukannya dalam Surah al-Kahfi. Dengan izin Allah, kisah ini jelas, dan merupakan cerita yang terang dalam kitab Allah. Allah, Yang Maha Suci, telah memberikan penjelasan yang memadai tentang tokoh yang mulia ini.

Dalam jawapan beliau yang lain, beliau menjawab:

قِصَّتُهُ فِي القُرْآنِ ذَكَرَهَا اللهُ فِي القُرْآنِ، يَكْفِي مَا فِي القُرْآنِ وَاضِحٌ، ذَكَرَهَا اللهُ فِي آخِرِ سُورَةِ الكَهْفِ، فَاقْرَأْ سُورَةَ الكَهْفِ، وَتَعْرِفُهَا، نَعَم.

Maksudnya: “Kisahnya disebutkan oleh Allah dalam al-Quran. Cukuplah apa yang disebutkan dalam al-Quran, dan semuanya jelas di dalam al-Quran. Allah SWT menyebutkannya dalam akhir Surah al-Kahfi. Oleh itu, bacalah Surah al-Kahfi, dan kamu akan mengenalinya.

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa, berdasarkan dapatan kami, kami cenderung menyatakan yang pasti beliau adalah seorang raja dan isu kenabiannya pula menjadi khilaf dalam kalangan ulama’. Justeru, kami katakan jika yang dimaksudkan Zulqarnain itu seperti yang dinyatakan dalam surah al-Kahfi, maka kami katakan Zulqarnain tersebut adalah seorang raja dan juga nabi. Inilah pendapat yang rajih (kuat) menurut kami.

Kami tidak menafikan bahawa sebahagian ulama’ memang mengatakan bahawa Zulqarnain ialah orang yang soleh dan juga seorang raja yang soleh. Namun zahir daripada ayat-ayat al-Quran al-Karim menunjukkan bahawa beliau ialah seorang Nabi. Oleh kerana itu, firman Allah SWT menerusi Surah al-Kahfi, ayat 83 hingga ayat 98 sebagaimana yang kami telah nyatakan di atas, konteksnya menunjukkan bahawa Zulqarnain menerima perintah-perintah dan petunjuk-petunjuk tersebut daripada Allah SWT, dan ini adalah ciri seorang Nabi.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”