#534 Akad Nikah Suami Yang Dinasabkan Kepada Bapa Angkat

Soalan

Ketika akad nikah, wali menyebut nama suami dengan berbinkan bapa angkat ketika melafazkan akad nikah. Adakah sah nikah suami yang berbinkan bapa angkat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Perbuatan menasabkan anak angkat kepada bukan bapanya merupakan perbuatan yang dilarang oleh Islam. Perkara ini pernah berlaku kepada Rasulullah SAW dengan Zaid bin Harithah yang merupakan anak angkat Rasulullah SAW. Disebabkan oleh keakraban beliau dengan baginda SAW sehingga beliau dipanggil dengan Zaid bin Muhammad. Lalu Allah SWT menurunkan ayat melarang perbuatan menasabkan seseorang kepada bukan bapanya sebagaimana firman-Nya SWT :

مَّا جَعَلَ اللَّـهُ لِرَجُلٍ مِّن قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ ۚ وَمَا جَعَلَ أَزْوَاجَكُمُ اللَّائِي تُظَاهِرُونَ مِنْهُنَّ أُمَّهَاتِكُمْ ۚ وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَاءَكُمْ أَبْنَاءَكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ قَوْلُكُم بِأَفْوَاهِكُمْ ۖ وَاللَّـهُ يَقُولُ الْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِي السَّبِيلَ ﴿٤﴾ ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِندَ اللَّـهِ ۚ فَإِن لَّمْ تَعْلَمُوا آبَاءَهُمْ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ وَمَوَالِيكُمْ ۚ وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya; dan Ia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu “zihar” kan itu sebagai ibu kamu; dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber”bin”kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seugama dan sebagai “maula-maula” kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Ahzab: 4-5)

Imam al-Qurtubi menyatakan di dalam tafsirnya: Ayat ‘Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber”bin”kan kepada bapa-bapa mereka sendiri’ diturunkan kepada perihal Zaid Bin Harithah. Sepertimana kata Ibnu Umar bahawa para sahabat memanggil Zaid bin Harithah dengan Zaid bin Muhammad menjadi dalil bahawa anak angkat telah diamalkan sejak zaman jahiliyyah. Datang Islam meneruskan amalan tersebut dan mendukungnya sehinggalah turun ayat  ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِم.Maka Allah menjelaskan hukum tersebut dan melarang untuk menasabkan anak angkat kepada angkat dengan menggunakan perkataan ‘lebih adil’. Yang lebih utama adalah menasabkan anak angkat tersebut kepada bapanya sendiri”. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 14/119)

Ibn Kathir pula di dalam tafsirnya menyebutkan:“Ayat ini diturunkan untuk memutuskan penasaban anak angkat kepada ayah angkat.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim (3/564))

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنِ انْتَسَبَ إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ , أَوْ تَوَلَّى غَيْرَ مَوَالِيهِ ، فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللهِ وَالْمَلاَئِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Maksudnya: ” Sesiapa yang memanggil seseorang dengan selain nama ayahnya atau selain dari maulanya maka ke atasnya laknat Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya:”

Riwayat Ibnu Majah (2609)

Maka jelas perbuatan bin atau binti anak angkat kepada ayah angkat adalah dilarang. Sebaiknya anak tersebut di ‘bin’ atau ‘binti’ dengan ayah kandung mereka supaya mereka tahu tentang asal-usul dan keturunan mereka.

Syarat al-Ta’yyin Atau Penentuan Ketika Akad

Disyaratkan ketika akad nikah, untuk ditentukan lelaki yang berkahwin itu sama ada dengan menyebut nama atau dengan isyarat atau dengan mensifatkan ciri-ciri lelaki yang akan diakadkan itu. Tidak sah akad nikah dengan melafaz secara umum seperti “aku nikahkan kamu dengan sesiapa di antara kamu”. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/143 dan al-Majmu’, 17/300)

Sighah adalah ijab dan qabul yang merupakan salah satu rukun nikah yang diwajibkan ketika akad nikah. Disebutkan bahawa:

إِنَّمَا يصح النِّكَاح بِإِيجَاب وَهُوَ زَوجتُكَ أَوْ أَنْكحتُكَ

Maksudnya: “Sesungguhnya sahnya nikah dengan Ijab iaitu aku kahwinkan kamu atau aku nikahkan kamu”. (Lihat Minhaj al-Thalibin, 3/1229)

Berdasarkan di atas, tidak disyaratkan untuk disebutkan nama pengantin lelaki sekiranya sudah jelas dhamir atau kata ganti nama ‘kamu’ ditujukan kepada siapa.

Kesimpulan

Sebagai penutup, berdasarkan hujah dan dalil di atas, kami nyatakan bahawa  Hukum anak angkat berbinkan bapa angkat adalah haram. Namun, permasalahan nama yang berbinkan bapa angkat tidak memberi kesan kepada sah atau batal akad nikah kerana akad nikah sudah sah jika nama lelaki itu sudah disebutkan dan juga sudah ditentukan. Tambahan pula, sekiranya wali itu memegang tangan lelaki tersebut ketika melafazkan akad, secara tidak langsung menzahirkan al-taa’yin atau penentuan.

Semoga Allah memberikan kita hidayah dan petunjuk dalam mengamalkan syariat-Nya. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H