#5343: Lokasi Binaan Tembok Zulqarnain

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Di mana sebenarnya lokasi binaan tembok oleh Zulqarnain?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Ulama’ khilaf tentang kedudukan tembok tersebut kepada beberapa pendapat:

  • Ibn Abbas R.Anhuma dan ahli tafsir al-Qur’an mengatakan bahawa ia (dinding itu) terletak di persimpangan negara Turki dengan Rusia, berdekatan dengan pergunungan Qauqaz. Pergunungan Qauqaz tingginya adalah sekitar 1000 – 3000 meter. Ia menjadi penghalang yang tebal, teguh dan tinggi menjulang supaya Ya’juj dan Ma’juj ini tidak dapat melubanginya kerana ketebalannya dan tidak pula dapat memanjatnya kerana amat tinggi dan licinnya. Dinding ini dikenali sebagai Daryal Gorge/Iberian Gates/Caucasian Gates yang diperbuat daripada besi bercampur tembaga.

Dr Abdul Halim Khidir menerangkan sifat pergunungan Qauqaz yang dibina padanya tembok. Ianya cukup tinggi, susah untuk didaki, dan tiada jalan kecuali tempat yang satu sahaja iaitu Mudhayyaq Daryal yang menjadi salah satu tempat laluan sungai. Panjang pergunungan tersebut sekitar 1200 Kilometer dan ia dianggap pergunungan yang paling tinggi di seluruh Eropah. Tidak mungkin seseorang dapat merentasinya kecuali melalui perjalanan Daryal itu. (Lihat Dzu al-Qarnain oleh Yusuf, hlm. 334 yang dinukilkan daripada kitab Mafahim Geografia oleh Khidir, hlm. 296)

  • Al-Qasimi berkata, yang rajihtembok tersebut berada di kawasan Daghestan[1], sebahagian daripada Rusia yang terletak di antara bandar Durband dan Khuzar. Ada tempat yang sempit sejak sekian lama yang dikenali dengan nama tembok dan dikenali dengan pintu besi. Ia merupakan gabungan pergunungan Qauqaz (Caucasus). Orang Arab memanggilnya dengan Gunung Qaf. Di belakangnya terdapat dua qabilah Ya’juj dan Ma’juj. (Lihat Tafsir al-Qasimi, 11/4113-4114).
  • Ibn ‘Asyur menyatakan bahawa: Tempat dimana terletaknya tembok di antara dua gunung adalah di bahagian barat laut padang pasir (Qobi), yang memisahkan China dengan wilayah Mongol di utara China dan selatan (Mongolia). Tembok ini masih wujud di sana dan kesan-kesannya masih dapat dilihat hingga hari ini, sebagaimana yang disaksikan oleh ahli geografi, pelancong, dan digambarkan dalam buku-buku geografi dan buku-buku sejarah moden. (Lihat Tahrir wa Tanwir, 16/31).
  • Dinyatakan dalam Mafatih al-Ghaib bahawa: lokasi tembok di antara dua gunung berada di bahagian utara dan dikatakan kedua-dua gunung tersebut adalah di antara Armenia[2] dan Azerbaijan[3]. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 21/498 )
  • Ada pendapat menyebut, ia terletak di belakang Negara Turki. (Lihat al-Raudh al-Mi’tar, hlm. 308-311 dan juga Atlas al-Hadis al-Nabawi oleh Dr. Shauqi Abu Khalil, hlm. 215)

Al-Alusi menyatakan bahawa: Mungkin ada perairan besar di antara kita dan lokasi tersebut.  Perkataan al-Alusi adalah perkataan yang munasabah. Tembok tersebut mungkin ditenggelami oleh air laut dan telah menenggelamkan banyak kampung dengan tanah berbatu atau tertimbus disebabkan kebakaran. Beberapa di antaranya telah terungkap dan masih ada yang belum diketahui secara tepat hingga kini, seperti lokasi Iram zat  al-’Imad.[4]

Justeru, tembok Zulqarnain masih wujud dengan ciri-ciri yang sama seperti yang dijelaskan dalam al-Quran, namun  ciri-ciri ini tidak menepati dengan sebarang tembok  yang dianggap oleh para penafsir sebagai tembok  Zulqarnain. Walaupun kita tidak dapat mengesahkan kesimpulan yang diperolehi daripada penyiasatan ini, namun ia tetap menjadi penyiasatan paling kuat dalam sejarah Islam mengenai zulqarnain.

Kami berpendapat bahawa dua pendapat di atas adalah sama.

  • Setengah ulama berpendapat antara pergunungan Afghanistan dan India.
  • Dua bukit antaranya dengan Ya’juj wa Ma’juj dan dikenali sebagai Saddani atau Sadfani. Terletak antara Azerbaijan dan Armenia.

Kami cenderung kepada pendapat yang pertama dan kedua dan kami merasakan pendapat yang lain sebenarnya hampir sama kecuali yang mengatakan di sempadan India.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

 

 

Nota kaki:

[1] Dagestan atau secara rasminya Republik Dagestan, adalah sebuah republik di Wilayah Kaukasus Utara, Kesatuan Russia. Ibu negerinya yang juga merupakan bandar terbesar di Dagestan adalah Makhachkala, yang terletak di tepi Laut Kaspia. Dagestan bermaksud Tanah Pergunungan, yang berasal daripada gabungan bahasa Turki dan bahasa Parsi – dağ (Turki) yang bermaksud gunung, dan stan (Parsi) yang bermakna tanah. Dagestan adalah republik terbesar di Kaukasus Utara dengan lebih 30 bahasa pertuturan dan lebih 80 kumpulan etnik. Faktor utama kepelbagaian etnik di Dagestan adalah keberasingan lembah dan lokasinya di tengah-tengah persimpangan di antara Asia, Eropah dan Asia Tengah. [ms.wikipedia.org/wiki/Dagestan]

[2] Armenia, atau nama rasminya Republik Armenia, adalah sebuah negara yang terletak di antara Laut Hitam dan Laut Kaspia. Armenia terletak di selatan Pergunungan Kaukasus dan keseluruhannya dikelilingi daratan. Bertempat di Asia Barat, negara ini bersempadan dengan negara-negara Asia lain iaitu Turki di barat, Georgia di utara, Artsakh dan Azerbaijian di timur, akhirnya Iran dan Nakhichevan di selatan. (ms.wikipedia.org/wiki/Armenia)

[3] Azerbaijan, secara rasmi dipanggil Republik Azerbaijan, ialah sebuah negara di Kaukasus selatan. Terletak pada simpang jalan Eropah Timur dan Asia Tenggara, Azerbaijan menyempadani Laut Caspian di timur, Rusia di utara, Georgia di barat laut, Armenia di barat, dan Iran di selatan. Republik Autonomi Nakhichevan (sebuah enklaf Azerbaijan) menyempadani Armenia di utara dan timur, Iran di selatan dan barat, dan Turki di timur laut. Kawasan Nagorno-Karabakh di bahagian barat daya Azerbaijan Proper mengisytiharkan kemerdekaan daripada Azerbaijan pada tahun 1991, tetapi kemerdekaan itu tidak diakui oleh sebarang negara. (ms.wikipedia.org/wiki/Azerbaijan)

[4] Lihat https://www.islamweb.net/ar/fatwa/53805 Diakses pada 12 Januari 2024