#5344: Tempoh Perjanjian Nabi Musa AS dengan Yang Mengahwinkan Anaknya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Berapa lama tempoh perjanjian Nabi Musa AS dengan orang yang mengahwinkannya dengan anaknya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT berfirman:

وَلَمَّا وَرَدَ مَآءَ مَدْيَنَ وَجَدَ عَلَيْهِ أُمَّةًۭ مِّنَ ٱلنَّاسِ يَسْقُونَ وَوَجَدَ مِن دُونِهِمُ ٱمْرَأَتَيْنِ تَذُودَانِ ۖ قَالَ مَا خَطْبُكُمَا ۖ قَالَتَا لَا نَسْقِى حَتَّىٰ يُصْدِرَ ٱلرِّعَآءُ ۖ وَأَبُونَا شَيْخٌۭ كَبِيرٌۭ (٢٣) فَسَقَىٰ لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّىٰٓ إِلَى ٱلظِّلِّ فَقَالَ رَبِّ إِنِّى لِمَآ أَنزَلْتَ إِلَىَّ مِنْ خَيْرٍۢ فَقِيرٌۭ (٢٤) فَجَآءَتْهُ إِحْدَىٰهُمَا تَمْشِى عَلَى ٱسْتِحْيَآءٍۢ قَالَتْ إِنَّ أَبِى يَدْعُوكَ لِيَجْزِيَكَ أَجْرَ مَا سَقَيْتَ لَنَا ۚ فَلَمَّا جَآءَهُۥ وَقَصَّ عَلَيْهِ ٱلْقَصَصَ قَالَ لَا تَخَفْ ۖ نَجَوْتَ مِنَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ (٢٥) قَالَتْ إِحْدَىٰهُمَا يَـٰٓأَبَتِ ٱسْتَـْٔجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ ٱسْتَـْٔجَرْتَ ٱلْقَوِىُّ ٱلْأَمِينُ (٢٦) قَالَ إِنِّىٓ أُرِيدُ أَنْ أُنكِحَكَ إِحْدَى ٱبْنَتَىَّ هَـٰتَيْنِ عَلَىٰٓ أَن تَأْجُرَنِى ثَمَـٰنِىَ حِجَجٍۢ ۖ فَإِنْ أَتْمَمْتَ عَشْرًۭا فَمِنْ عِندِكَ ۖ وَمَآ أُرِيدُ أَنْ أَشُقَّ عَلَيْكَ ۚ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ (٢٧) قَالَ ذَٰلِكَ بَيْنِى وَبَيْنَكَ ۖ أَيَّمَا ٱلْأَجَلَيْنِ قَضَيْتُ فَلَا عُدْوَٰنَ عَلَىَّ ۖ وَٱللَّهُ عَلَىٰ مَا نَقُولُ وَكِيلٌۭ

Maksudnya: “Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, dia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. dia bertanya: ‘Apa hal kamu berdua?’ Mereka menjawab: ‘Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya’. Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian dia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan’. Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata: ‘Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami.’ Maka ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu kepadanya: ‘Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu’. Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: ‘Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah’. Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): ‘Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama delapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku Insya Allah, dari orang-orang yang baik layanannya’. Musa menjawab: ‘Perjanjian itu adalah antaraku denganmu (tetap dihormati bersama); yang mana sahaja dari dua tempoh itu yang aku tunaikan, maka janganlah hendaknya aku disalahkan. Dan Allah jualah menjadi Pengawas terhadap apa yang kita katakan itu’.”

(Surah al-Qasas: 23-28)

Al-Syaukani berkata: Firman-Nya ‘عَلَىٰٓ أَن تَأْجُرَنِى ثَمَـٰنِىَ حِجَجٍۢ’, yakni mahar puteriku adalah dengan kamu bekerja menggembalakan kambing untukku selama lapan tahun. Firman-Nya: ‘فَإِنْ أَتْمَمْتَ عَشْرًۭا فَمِنْ عِندِكَ’, yakni jika kamu melengkapkan pekerjaanmu yang lapan tahun menjadi sepuluh tahun, yakni menambah dua tahun untukku, maka itu merupakan kebaikan darimu dan bukan tuntutanku kepadamu. Ia menjadikan tambahan dua tahun itu sebagai bukti kebaikannya. Firman-Nya, ‘وَمَآ أُرِيدُ أَنْ أَشُقَّ عَلَيْكَ’, yakni dengan menghendaki kamu untuk menyempurnakannya sepuluh tahun. (Lihat Fath al-Qadir, 6/442)

Berkenaan tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian ini, ia melambangkan sebuah kebijaksanaan dalam diri lelaki soleh itu. Hal ini kerana Nabi Musa A.S adalah seorang yang sedang membawa diri ke Madyan. Maka, jika Baginda segera pulang ke Mesir, jiwanya dalam bahaya. Oleh itu, jika Baginda berdiam di Madyan selama beberapa tahun, maka mudah-mudahan akan ada perubahan yang akan terjadi di Mesir dalam tahun-tahun yang dilalui itu. Dalam erti kata, jika terjadi perubahan dalam masa lapan tahun, Baginda boleh segera pulang dan jika masih belum, maka Baginda boleh melanjutkan tempoh menggembala ternakan selama dua tahun lagi.

Setelah itu, Nabi Musa A.S pun menyatakan persetujuannya terhadap perjanjian tersebut sebagaimana katanya yang dirakamkan dalam ayat yang bermaksud: “Perkara tersebut adalah seperti yang kamu ucapkan. Aku mempunyai hak untuk memilih salah seorang daripada dua puterimu dan salah satu daripada dua pilihan masa iaitu lapan atau sepuluh tahun. Masing-masing sesuai dengan yang disyaratkan. Jika aku menggenapkannya  menjadi sepuluh tahun, maka itu adalah daripada pilihanku sendiri. Jika aku telah menyelesaikannya lapan tahun, aku telah bebas daripada perjanjian ini dan aku sudah keluar daripada syarat tersebut. Tidak ada kesulitan bagiku memilih salah satu dari dua masa itu. Kamu juga tidak mempunyai hak untuk menuntutku menambah masa itu.” Dalam satu riwayat menyebut bahawa, Nabi Musa A.S akhirnya telah berkerja dengan masa yang paling sempurna dari dua masa tersebut iaitu dengan memilih jangka waktu yang maksimum dan menggenapkannya menjadi sepuluh tahun. Dengan persetujuan tersebut, bermulalah satu lembaran baru dalam hidup Nabi Musa A.S. Beginilah kisah pengembaraan Nabi Musa A.S ke bumi Madyan dan bagaimana Allah SWT memelihara Baginda di perantauan. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/91-97).

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”