#5346: Tafsir Ayat 71 Surah al-Kahfi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tafsiran Ayat 71 Surah al-Kahfi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT berfirman:

 فَانطَلَقَا حَتَّىٰ إِذَا رَكِبَا فِي السَّفِينَةِ خَرَقَهَا ۖ قَالَ أَخَرَقْتَهَا لِتُغْرِقَ أَهْلَهَا لَقَدْ جِئْتَ شَيْئًا إِمْرًا

Maksudnya: “Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi Musa berkata: “Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar”

(Surah al-Kahfi: 71)

Ibn Kathir berkata dalam tafsirnya Tafsir Ibn Kathir, “Allah SWT berfirman dengan menceritakan tentang Musa dan sahabatnya yakni Khadir bahawa keduanya bertolak bersama setelah sepakat dan saling bersahabat, Khadir sendiri telah memberikan syarat kepada Musa untuk tidak menanyakan suatu hal yang ia tolak sehingga Khadir sendiri yang mulai menjelaskannya. Maka keduanya pun menaiki kapal. Khadir bangkit dan melubangi perahu tersebut lalu mengeluarkan papan perahu tersebut kemudian memotongnya, sedang Musa tidak dapat menahan dirinya menyaksikan hal itu sehingga akhirnya dengan nada menolak, Musa berkata (قَالَ أَخَرَقْتَهَا لِتُغْرِقَ أَهْلَهَا). Huruf lam dalam ayat ini merupakan lam yang bererti akibat, bukan lam yang bererti sebab. Maka, pada saat itu, Khadir berkata kepada Musa seraya mengingatkan syarat yang pernah ia ajukan sebelumnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 5/283)

Sayyid Qutb berkata, “Bahtera itu sedang membawa kedua-duanya bersama penumpang yang lain dan kini mereka berada di tengah laut yang bergelombang, tiba-tiba datang hamba yang soleh itu lalu melubangkan bahtera itu. Pada zahirnya tentulah perbuatan ini akan mendedahkan bahtera dan penumpangnya kepada bahaya dan membawa kepada bencana. Oleh itu, mengapa lelaki ini berani mencabar bencana itu?”

Musa  telah lupa kepada janji yang telah dikatakannya dan kepada syarat yang telah dikemukakan oleh sahabatnya ketika menghadapi tindakan yang ganjil itu, yang tidak mempunyai sebarang alasan mengikut pandangan logik akal. Kadang-kadang seseorang itu dapat memahami konsep umum yang mujarrad, tetapi ketika dia berhadapan dengan pelaksanaan amali dan contoh yang sebenar dari konsep ini mendapat kesan yang berlainan dari kefahaman secara teori tadi, kerana pengalaman amali mempunyai kecapan yang berlainan dari kefahaman mujarrad. Lihatlah kepada Musa yang sebelum ini diperingatkan bahawa beliau tidak akan berupaya menahan kesabarannya terhadap perkara yang tidak diketahuinya dengan mendalam lalu beliau berazam untuk menahan kesabarannya sambil memohon pertolongan daripada Allah dan memberi janjinya serta menerima syarat. Kini beliau bertembung dengan pengalaman amali dari tindakan lelaki itu, lalu beliau terus membantah dengan terburu-buru. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 10/358)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”