#5349: Benarkah Bapa Mentua Nabi Musa ialah Nabi Syu‘aib?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Bapa Mentua Nabi Musa ialah Nabi Syu‘aib?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT berfirman:

وَلَمَّا وَرَدَ مَآءَ مَدْيَنَ وَجَدَ عَلَيْهِ أُمَّةًۭ مِّنَ ٱلنَّاسِ يَسْقُونَ وَوَجَدَ مِن دُونِهِمُ ٱمْرَأَتَيْنِ تَذُودَانِ ۖ قَالَ مَا خَطْبُكُمَا ۖ قَالَتَا لَا نَسْقِى حَتَّىٰ يُصْدِرَ ٱلرِّعَآءُ ۖ وَأَبُونَا شَيْخٌۭ كَبِيرٌۭ (٢٣) فَسَقَىٰ لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّىٰٓ إِلَى ٱلظِّلِّ فَقَالَ رَبِّ إِنِّى لِمَآ أَنزَلْتَ إِلَىَّ مِنْ خَيْرٍۢ فَقِيرٌۭ (٢٤) فَجَآءَتْهُ إِحْدَىٰهُمَا تَمْشِى عَلَى ٱسْتِحْيَآءٍۢ قَالَتْ إِنَّ أَبِى يَدْعُوكَ لِيَجْزِيَكَ أَجْرَ مَا سَقَيْتَ لَنَا ۚ فَلَمَّا جَآءَهُۥ وَقَصَّ عَلَيْهِ ٱلْقَصَصَ قَالَ لَا تَخَفْ ۖ نَجَوْتَ مِنَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ (٢٥) قَالَتْ إِحْدَىٰهُمَا يَـٰٓأَبَتِ ٱسْتَـْٔجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ ٱسْتَـْٔجَرْتَ ٱلْقَوِىُّ ٱلْأَمِينُ (٢٦) قَالَ إِنِّىٓ أُرِيدُ أَنْ أُنكِحَكَ إِحْدَى ٱبْنَتَىَّ هَـٰتَيْنِ عَلَىٰٓ أَن تَأْجُرَنِى ثَمَـٰنِىَ حِجَجٍۢ ۖ فَإِنْ أَتْمَمْتَ عَشْرًۭا فَمِنْ عِندِكَ ۖ وَمَآ أُرِيدُ أَنْ أَشُقَّ عَلَيْكَ ۚ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ (٢٧) قَالَ ذَٰلِكَ بَيْنِى وَبَيْنَكَ ۖ أَيَّمَا ٱلْأَجَلَيْنِ قَضَيْتُ فَلَا عُدْوَٰنَ عَلَىَّ ۖ وَٱللَّهُ عَلَىٰ مَا نَقُولُ وَكِيلٌۭ

Maksudnya: “Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, dia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. dia bertanya: ‘Apa hal kamu berdua?’ Mereka menjawab: ‘Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya’. Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian dia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan’. Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata: ‘Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami.’ Maka ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu kepadanya: ‘Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu’. Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: ‘Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah’. Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): ‘Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama delapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku Insya Allah, dari orang-orang yang baik layanannya’. Musa menjawab: ‘Perjanjian itu adalah antaraku denganmu (tetap dihormati bersama); yang mana sahaja dari dua tempoh itu yang aku tunaikan, maka janganlah hendaknya aku disalahkan. Dan Allah jualah menjadi Pengawas terhadap apa yang kita katakan itu’.”

(Surah al-Qasas: 23-28)

Al-Syaukani berkata: Firman-Nya ‘عَلَىٰٓ أَن تَأْجُرَنِى ثَمَـٰنِىَ حِجَجٍۢ’, yakni mahar puteriku adalah dengan kamu bekerja menggembalakan kambing untukku selama lapan tahun. Firman-Nya: ‘فَإِنْ أَتْمَمْتَ عَشْرًۭا فَمِنْ عِندِكَ’, yakni jika kamu melengkapkan pekerjaanmu yang lapan tahun menjadi sepuluh tahun, yakni menambah dua tahun untukku, maka itu merupakan kebaikan darimu dan bukan tuntutanku kepadamu. Ia menjadikan tambahan dua tahun itu sebagai bukti kebaikannya. Firman-Nya, ‘وَمَآ أُرِيدُ أَنْ أَشُقَّ عَلَيْكَ’, yakni dengan menghendaki kamu untuk menyempurnakannya sepuluh tahun. (Lihat Fath al-Qadir, 6/442)

Berkenaan persoalan di atas, para ulama tafsir berbeza pandangan tentang siapakah bapa kedua-dua wanita tersebut. Majoriti ulama, antaranya al-Hasan al-Basri, al-Qurtubi dan al-Syaukani berpandangan bahawa beliau ialah Nabi Syu‘aib A.S yang diutuskan kepada kaum Madyan, dan inilah pandangan yang masyhur dalam kalangan ulama tafsir. Firman Allah SWT:

وَإِلَىٰ مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا ۗ

Maksudnya: “Dan Kami telah utuskan kepada penduduk Madyan saudara mereka Nabi Syu‘aib.”

(Surah al-A‘raf: 85)

Selain itu, ada yang berpendapat beliau ialah saudara lelaki kepada Nabi Syu‘aib A.S. Dan ada juga yang berpendapat bahawa dia ialah seorang lelaki soleh yang tiada langsung pertalian dengan Nabi Syu‘aib AS.

Namun demikian, Ibn Kathir menyatakan bahawa pandangan yang lebih kuat ialah lelaki tersebut bukannya Nabi Syu‘aib A.S. Ini dapat dilihat melalui sabda Nabi Syu‘aib A.S kepada kaumnya seperti yang dirakamkan di dalam al-Quran:

وَمَا قَوْمُ لُوطٍ مِّنكُم بِبَعِيدٍۢ

Maksudnya: “Seperti keadaan yang menimpa kaum Nabi Lut yang kamu sendiri ketahui yang terletak tidak jauh daripada kamu.”

(Surah Hud: 89)

Ayat ini mengisyaratkan bahawa zaman Nabi Syu‘aib A.S adalah hampir kepada zaman Nabi Lut A.S, dan beliau juga mempersoalkan bahawa jika benar lelaki tersebut ialah Nabi Syu‘aib A.S, mengapa Allah SWT tidak menyebut namanya secara jelas? Begitu juga riwayat-riwayat yang menyebut nama Nabi Syu‘aib A.S dalam kisah-kisah Nabi Musa A.S adalah tidak sahih sanadnya dan tidak boleh dijadikan hujah. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 6/205-206; Fath al-Qadir, 4/194)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)