#5350: Bilakah Tembok Zulqarnain Akan Pecah?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah di akhir zaman nanti, tembok Zulqarnain akan pecah, dan bilakah peristiwa ini akan berlaku?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

قَالَ هَـٰذَا رَحْمَةٌ مِّن رَّبِّي ۖ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ رَبِّي جَعَلَهُ دَكَّاءَ ۖ وَكَانَ وَعْدُ رَبِّي حَقًّا

Maksudnya: “(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: ‘Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar’.”

(Surah al-Kahfi: 98)

Al-Maraghi berkata: “Allah SWT memberi jaminan sekiranya mereka hampir keluar daripada balik tembok itu, maka dengan kekuasaan-Nya Allah SWT menjadikan tanah yang datar, lalu Allah SWT menghapuskan mereka dengan memusnahkan dan menyamaratakannya dengan bumi.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4181)

Syeikh Sya‘rawi berkata: Jangan kamu beranggapan bahawa kekuatan tembok tentera itu akan kekal selamanya. Ini merupakan kerja di dunia semata-mata tetapi apabila datang janji Allah dengan Akhirat dan Kiamat, maka semuanya akan dihancurkan Allah dan diratakan di dunia ini. Ini supaya mereka tidak terpedaya dan melampau kepada yang lain selepas daripada mereka hina dan lemah untuk menghadapi Ya’juj dan Ma’juj. (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 15/8993)

Syed Qutb berkata: “Ayat ini tidak menyebut satu zaman yang tertentu, dan yang dimaksudkan dengan janji Allah ialah janji-Nya untuk menghancurkan tembok itu yang mungkin telah pun berlaku sejak serangan kaum Tatar yang telah menyerbu dunia dan menghancurkan berbagai-bagai kerajaan.

Di tempat yang lain di dalam Surah al-Anbiya’ (al-Quran menyebut):

حَتَّىٰ إِذَا فُتِحَتْ يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ وَهُم مِّن كُلِّ حَدَبٍ يَنسِلُونَ ﴿٩٦﴾ وَاقْتَرَبَ الْوَعْدُ الْحَقُّ

Maksudnya: “(Demikianlah keadaan mereka) hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Ya’juj dan Ma’juj, serta mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi. Dan hampirlah datangnya janji hari kiamat yang benar,..”

(Surah al-Anbiya’: 96-97)

Ayat ini juga tidak menyebut satu zaman yang tertentu, bilakah keluarnya kaum Ya’juj dan Ma’juj itu? Kedekatan janji Allah yang benar itu bererti kedekatan hari Qiamat itu telah pun berlaku di zaman Rasulullah SAW lagi. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 10/384)

Diriwayatkan daripada Ummu Habibah binti Abu Sufyan, daripada Zainab binti Jahsy R.Anha, sesungguhnya Nabi SAW datang kepadanya dalam keadaan panik sambil bersabda:

«لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَيْلٌ لِلْعَرَبِ مِنْ شَرٍّ قَدِ اقْتَرَبَ، فُتِحَ اليَوْمَ مِنْ رَدْمِ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مِثْلُ هَذِهِ» وَحَلَّقَ بِإِصْبَعِهِ الإِبْهَامِ وَالَّتِي تَلِيهَا، قَالَتْ زَيْنَبُ بِنْتُ جَحْشٍ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ: أَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ؟ قَالَ: «نَعَمْ إِذَا كَثُرَ الخَبَثُ»

Maksudnya:لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ (tidak ada sembahan kecuali Allah), celakalah bangsa Arab kerana keburukan yang semakin hampir, hari ini telah dibuka tembok Ya‘juj dan Ma‘juj seperti ini.” Baginda memberi isyarat bulatan dengan dua jarinya; ibu jarinya dengan jari sebelahnya (jari telunjuk). Zainab berkata: “Wahai Rasulullah, apakah kami akan dibinasakan sedangkan dalam kalangan kami ada orang-orang yang soleh?” Baginda menjawab: “Ya, apabila keburukan telah bermaharajalela.”

Riwayat Bukhari (3346) dan Muslim (2880)