#5351: Tafsir ayat 77-78 Surah al-Kahfi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tafsiran Ayat 77-78 Surah al-Kahfi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT berfirman:

 فَانطَلَقَا حَتَّىٰ إِذَا أَتَيَا أَهْلَ قَرْيَةٍ اسْتَطْعَمَا أَهْلَهَا فَأَبَوْا أَن يُضَيِّفُوهُمَا فَوَجَدَا فِيهَا جِدَارًا يُرِيدُ أَن يَنقَضَّ فَأَقَامَهُ ۖ قَالَ لَوْ شِئْتَ لَاتَّخَذْتَ عَلَيْهِ أَجْرًا

Maksudnya: “Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu ia membinanya. Nabi Musa berkata: ‘Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya!’.”

 (Surah al-Kahfi: 77)

Ibn Kathir berkata, “Permulaan kata iradah bagi dinding bukan menurut hakikatnya tetapi sebagai isti’arah (kiasan) sahaja, kerana dalam berbagai perbincangan, kata al-iradah bererti kecenderungan. Sedangkan, kata al-inqidhaadh bererti roboh.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim)

Al-Maraghi berkata, “Selepas tindakan kedua, Nabi Khadir dan Nabi Musa meneruskan perjalanan sehingga sampai ke sebuah negeri. Apabila sampainya disitu, kedua-duanya meminta makanan daripada penduduk tempatan tetapi penduduk disitu tidak melayan mereka. Selepas itu, keduanya mendapati di negeri tersebut terdapat tembok yang condong dan hampir roboh. Nabi Khadir membaikinya dengan tangannya sehingga tembok itu kukuh kembali. Jika kamu mahu tentulah kamu menerima upah itu. Nabi Musa bersabda demikian sebagai dorongan kepada Nabi Khadir agar menerima upah daripada pekerjaannya sebagai punca pendapatan bagi mendapatkan makanan dan urusan kehidupan yang lain.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4164)

Seterusnya, Allah SWT berfirman:

قَالَ هَٰذَا فِرَاقُ بَيْنِي وَبَيْنِكَ ۚ سَأُنَبِّئُكَ بِتَأْوِيلِ مَا لَمْ تَسْتَطِع عَّلَيْهِ صَبْرًا

Maksudnya: “Ia menjawab: ‘Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya’.”

 (Surah al-Kahfi: 78)

Kalimah “بِتَأْوِيلِ” ialah akibat ataupun natijah. Dalam konteks ini. ia bermaksud Nabi Khadir A.S akan menerangkan maksud tersirat yang menjadi rahsia dan hikmah di sebalik peristiwa yang menguji kesabaran Nabi Musa A.S. Tiga perkara itu ialah insiden membocorkan perahu, membunuh anak muda dan membangunkan semula runtuhan. (Lihat Safwah al-Tafasir, 2/200)

Seorang ulama’ berpendapat, kalimah “ta’wil” (تَأْوِيلٌ) memberi makna tepat dan benar. Inilah yang dinyatakan oleh Khadhir.

Ibn Kathir menyebutkan, Nabi Khadir A.S berkata: “Oleh kerana kamu telah memberikan syarat pada waktu pembunuhan anak kecil tadi, bahawa jika kamu bertanya kepadaku tentang suatu hal setelah itu, maka tidak boleh bersamaku lagi. Maka inilah perpisahan di antara aku dan kamu.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 5/166)

Al-Maraghi berkata, “Nabi Khadir bersabda kepada Nabi Musa: Penentangan yang terus menerus ini menjadi punca perpisahan antara aku dengan kamu bersesuaian dengan syarat yang telah kamu tetapkan ke atas dirimu sendiri. Mengapa peristiwa yang ketiga ini menjadi punca berlakunya perpisahan, sewajarnya perpisahan berlaku sejak peristiwa sebelumnya. Kerana pada zahirnya, kejadian pertama merupakan satu perbuatan mungkar sehingga Nabi Musa mengemukakan keraguan kepada Nabi Khadir. Berbeza sekarang, berbuat baik kepada orang yang membuat perkara buruk itu bukan merupakan perbuatan mungkar bahkan suatu yang terpuji. Nabi Khadir menceritakan kepada Nabi Musa hikmah dan kesan daripada perbuatan yang telah baginda lakukan.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4164)

Sayyid Qutb berkata, “Sampai di sini, Musa dan juga kita yang mengikuti penceritaan al-Quran ini sedang menghadapi peristiwa yang luar biasa secara berturut-turut dan memeranjatkan tanpa mengetahui sebarang rahsianya. Pendirian kita juga sama dengan pendirian Musa terhadap peristiwa-peristiwa itu. Malah lebih dari itu, kita tidak mengetahui siapakah gerangan lelaki ini yang telah menunjukkan tindakan yang ganjil itu. Al-Quran tidak menceritakan namanya kepada kita untuk melengkapkan suasana sulit dan kabur yang melingkungi kita. Apakah nilai namanya? Kerana dia hanya dikehendaki melahirkan hikmat ilahiyat yang tinggi yang tidak mengaturkan natijah yang dekat di atas mukaddimah yang dapat dilihat, malah ia tunjukkan kepada tujuan yang jauh yang tidak dapat dilihat oleh pandangan mata yang terbatas. Oleh itu, ketiadaan disebutkan namanya itu adalah sesuai dengan syakhsiyah abstrak yang diwakilinya. Dari awal lagi, kekuatan ghaib telah mengendalikan kisah ini. Lihatlah Musa yang mahu menemui lelaki yang dijanjikan itu meneruskan perjalanannya tetapi tiba-tiba, teman pemudanya telah terlupa kepada bekalan makanan mereka di atas batu. Seolah-olah kelupaannya itu membolehkan kedua-duanya pulang kembali ke tempat itu, kerana di sana Musa dapat menemui lelaki itu. Sudah tentu, beliau tidak dapat menemuinya jika beliau dan temannya terus berjalan mengikut hala mereka dan jika takdir ilahi tidak mengembalikan mereka sekali lagi ke tempat batu itu. Seluruh suasana adalah sulit, kabur dan majhul.” (Lihat Tafsir Fi Zilal Quran, 10/362)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”