#5352: Sebab Tindakan Nabi Allah Khadir AS

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kenapa Nabi Allah Khadir melakukan tindakan luar biasa; menebuk perahu/kapal, membunuh anak kecil dan mendirikan tembok tanpa upah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Berkenaan persoalan di atas, Nabi Khadir A.S menjelaskan bahawa perahu yang dibocorkan merupakan milik golongan miskin yang bekerja di laut. Baginda sengaja membocorkan perahu supaya perahu itu berkeadaan cacat. Ini dilakukan dengan tujuan untuk mengelak tindakan seorang pemerintah yang gemar merampas perahu dengan cara yang zalim. Menurut riwayat Ibn Juraij, daripada Syu‘aib al-Juba’i, pemerintah itu bernama Hadad Ibn Badad. Dia gemar merampas perahu yang elok manakala perahu yang cacat akan ditinggalkan. Nabi Khadir A.S menjelaskan golongan miskin itu tidak akan kehilangan perahu mereka oleh kerana mereka boleh memperbaiki dan menggunakan semula perahu tersebut, berbanding dibiarkan elok lalu dirampas oleh pemerintah yang zalim itu.

Seterusnya Nabi Khadir A.S menjelaskan motif pembunuhan anak muda. Baginda menyatakan anak muda itu dibunuh bagi mengelakkan perbuatan anak muda itu daripada menyesatkan kedua orang tuannya di kemudian hari. Anak muda ini mempunyai pengaruh besar hingga mampu mengubah keimanan menjadi kekufuran. Nabi Khadir A.S juga menyebut, “Kita ingin berharap supaya Tuhan mereka gantikan dengan anak yang lebih baik iaitu anak yang lebih bersih jiwa dan lebih mesra sayang.” Ternyata kata-kata ini timbul kesan daripada wahyu Allah SWT. Menurut tafsiran Ibn Juraij, sewaktu anak muda ini dibunuh, Allah SWT menentukan ibunya sedang mengandung anak yang baharu. Setelah lahir, anak tersebut menjadi anak yang soleh. Anak tersebut lebih membahagiakan dan mengubati kehilangan anak sebelum itu.

Peristiwa terakhir yang menguji kesabaran Nabi Musa A.S ialah usaha Nabi Khadir A.S membangunkan runtuhan dinding dan binaan. Nabi Khadir A.S menjelaskan bahawa dinding dan binaan itu adalah milik kepunyaan dua orang anak yatim yang masih kecil di bandar tersebut. Kedua ibu bapa mereka telah menyimpan harta untuk manfaat anak-anaknya di suatu hari kelak. Malangnya harta itu tersembunyi di bawah tanah iaitu di sebalik runtuhan binaan. Allah SWT menghendaki Nabi Khadir A.S mengatasi keadaan yang berlaku.

Segala perbuatan Nabi Khadir A.S itu adalah menurut perintah Allah SWT. Demikian juga peristiwa membocorkan perahu dan membunuh anak muda itu telah dilakukan dengan kehendak Allah SWT. Tiada sama sekali tindakan Nabi Khadir AS berasaskan kehendak hawa nafsu. Inilah perkara ghaib yang tersirat di dalamnya hikmah yang besar. Rasulullah SAW menyebut perjalanan Nabi Musa A.S bersama Nabi Khadir A.S akan menjadi lebih jauh seandainya Nabi Musa A.S dapat terus bersabar. Rasulullah SAW bersabda:

‏‏ يَرْحَمُ اللَّهُ مُوسَى، لَوَدِدْنَا لَوْ صَبَرَ حَتَّى يُقَصَّ عَلَيْنَا مِنْ أَمْرِ

Maksudnya: “Semoga Allah merahmati Musa. Sesungguhnya aku berharap Baginda dahulunya bersabar (dalam perjalanan) sehingga Allah (mentaqdirkan) mengisahkan kepada kita tentang kisah lanjut tentang kedua-dua mereka (Nabi Musa dan Nabi Khadir A.S.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Walaupun berlainan tindakan dan sikap, ternyata Nabi Musa dan Nabi Khadir A.S menuruti perintah Allah SWT. Masing-masing bertindak berdasarkan syariat yang ditentukan ketika itu sebelum perutusan syariat terakhir di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW. Menerusi perintah perjalanan ini, Nabi Musa A.S telah mendapat pengajaran dan pengalaman besar hasil perguruan bersama Nabi Khadir A.S. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/235-236)

Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

 أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدتُّ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُم مَّلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا (٧٩)‏ وَأَمَّا الْغُلَامُ فَكَانَ أَبَوَاهُ مُؤْمِنَيْنِ فَخَشِينَا أَن يُرْهِقَهُمَا طُغْيَانًا وَكُفْرًا ‎(٨٠)‏ فَأَرَدْنَا أَن يُبْدِلَهُمَا رَبُّهُمَا خَيْرًا مِّنْهُ زَكَاةً وَأَقْرَبَ رُحْمًا (٨١)‏ وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَامَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُ كَنزٌ لَّهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَن يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنزَهُمَا رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ ۚ وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ۚ ذَٰلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِع عَّلَيْهِ صَبْرًا ‎(٨٢)‏

Maksudnya: Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat. Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.

Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya. Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka).

Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya”.

Seterusnya, firman Allah SWT:

 أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدتُّ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُم مَّلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا ‎‏

Maksudnya: Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat.

Ibn Kathir berkata, “Penafsiran tentang apa yang Musa sendiri merasa kesulitan menghadapinya dan yang ia ingkari lahiriah perbuatan-perbuatan tersebut dan Allah telah menampakkan kepada Khadir hikmah yang tersembunyi dibalik semua perkara itu. Khadir berkata bahawa perahu itu sengaja dilubangi dengan tujuan merosakkannya kerana raja yang zalim akan berjalan melewati perahu tersebut iaitu perahu yang masih elok. Oleh kerana itu, aku ingin merosakkannya untuk menghindarkan perahu itu darinya kerana dianggap sudah rosak sehingga perahu masih tetap dapat dimanfaatkan oleh pemiliknya dari kalangan orang miskin yang mereka tidak mempunyai sesuatu yang dapat dimanfaatkan selain perahu tersebut.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 5/286)

Al-Maraghi berkata, “Sebenarnya kaum yang lemah itu menggerakkan sampan sebagai sumber rezeki tetapi Nabi Khadir telah melubangi sampan itu. Tujuannya adalah untuk membasmi kezaliman raja di negeri itu yang hanya merampas sampan yang sempurna dan tidak ada kecacatan. Golongan miskin dan lemah menggunakan sampan mereka sebagai punca pendapatan. Namun begitu, kehidupan mereka telah digugat dengan kezaliman raja yang merampas sampan yang sempurna milik golongan tersebut. Justeru, Nabi Khadir mencacatkan sampan mereka untuk mengatasi masalah yang timbul.” (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 8/4167)

Sayyid Qutb berkata, “Kerosakan ini telah menyelamatkan bahtera itu dari dirampas oleh raja yang zalim. Kerosakan kecil yang menimpa bahtera itu dapat mengelakannya dari bahaya yang lebih besar yang tersembunyi di alam ghaib andainya bahtera itu berada dalam keadaan yang baik.”(Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 10/363)

Seterusnya, firman Allah SWT:

 وَأَمَّا الْغُلَامُ فَكَانَ أَبَوَاهُ مُؤْمِنَيْنِ فَخَشِينَا أَن يُرْهِقَهُمَا طُغْيَانًا وَكُفْرًا ‏

Maksudnya: Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.

Ibn Kathir berkata, “Kecintaan kepada kedua orang tuanya akan menjadikan mereka mengikuti kekafiran anak tersebut. Maka hendaklah seseorang redha terhadap ketetapan Allah kerana sesungguhnya bagi seorang mu’min tentang sesuatu yang tidak disukainya itu merupakan suatu hal yang lebih baik baginya daripada ketetapannya mengenai apa yang ia sukai.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 5/286)  

Al-Maraghi berkata, “Qatadah berkata, kedua-dua ibu bapanya merasa gembira ketika pemuda itu lahir dan berasa sedih ketika dia dibunuh. Sekiranya dia masih hidup, sudah tentu hidupnya akan membawa kepada kebinasaan kepada kedua ibu bapanya. Lantaran itu, setiap individu hendaklah redha dengan ketetapan Allah. Sesungguhnya ketetapan Allah ke atas orang Mu’min dalam setiap perkara yang tidak disukainya adalah lebih baik jika dibandingkan ketetapannya dalam perkara yang disukainya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4168)

Seterusnya, firman Allah SWT:

 فَأَرَدْنَا أَن يُبْدِلَهُمَا رَبُّهُمَا خَيْرًا مِّنْهُ زَكَاةً وَأَقْرَبَ رُحْمًا

Maksudnya: Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya.

Ibn Kathir berkata, “Anak yang lebih suci dari anak tersebut yang kedua orang tuanya itu lebih sayang terhadapnya daripada anak itu. Demikian yang dikemukakan oleh Ibn Jarir, Qatadah berkata yang mana anak itu akan lebih berbakti kepada kedua orang tuanya. Ada yang mengatakan ketika anak itu dibunuh ibunya sedang mengandung seorang anak laki-laki Muslim. Demikian yang dikatakan oleh Ibn Juraij.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 5/287-288)

Al-Maraghi berkata, “Nabi Khadir memohon daripada Allah agar mengurniakan ibu bapa tadi, anak yang agamanya lebih baik daripada agama anak terdahulu, serta seorang yang soleh bagi mencurahkan kasih sayang kepada zuriat mereka.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4168-4169)

Sayyid Qutb berkata, “Budak yang tidak kelihatan pada zahirnya mempunyai sebab yang wajar dibunuh pada masa itu telah disingkap tabir hakikatnya yang ghaib kepada hamba yang soleh itu iaitu dia mempunyai tabiat kufur dan pelampau. Di dalam jiwanya tersembunyi benih-benih kekufuran yang keterlaluan yang semakin lama, semakin menonjol. Andainya dia terus hidup, sudah tentu dia akan mendorong dua orang tuanya yang beriman itu dengan kekufuran dengan mengikuti jalan hidupnya kerana dipengaruhi perasaan kasih sayang mereka kepadanya. Oleh itu, iradat Allah mengarahkan iradat hambanya yang soleh itu supaya membunuh budak yang mempunyai tabiat kufur dan pelampau itu dengan menggantikan seorang anak yang lebih baik.

Jika perkara ini diserahkan kepada ilmu manusia yang zahir tentulah mereka tidak mengetahui hakikat budak itu selain dari keadaaanya yang zahir sahaja dan tentulah mereka tidak boleh mengenakan kuasa undang-undang terhadap budak itu kerana tidak melakukan kesalahan yang wajar dibunuh. Tiada yang lain dari Allah dan dari hambanya yang soleh diperlihatkan kepadanya suatu dari hakikat yang ghaib boleh menjatuhkan hukuman keatas tabiat manusia yang masih ghaib. Tetapi itulah perintah Allah yang berdasarkan ilmu-Nya yang mengetahui segala urusan ghaib yang jauh.” (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 10/363)

Seterusnya, firman Allah SWT:

وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَامَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُ كَنزٌ لَّهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَن يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنزَهُمَا رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ ۚ وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ۚ ذَٰلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِع عَّلَيْهِ صَبْرًا ‎﴿٨٢﴾

Maksudnya: “Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.”

Ibn Kathir berkata, “Pengertian ayat ini adalah bahawa dinding tersebut diperbaiki kerana ia adalah milik dua anak yatim yang ada di kota tersebut dan di bawah dinding tersebut terdapat harta simpanan milik mereka berdua. Ikrimah, Qatadah dan beberapa ulama lain mengatakan dan di bawah dinding tersebut terdapat harta kekayaan yang dipendam milik mereka berdua. Al-‘Aufi menceritakan daripada Ibn ‘Abbas di bawah dinding itu, terdapat simpanan ilmu. Demikian pula yang dikemukakan oleh Sa’id ibn Jubair. Sedangkan Mujahid berkata, yakni suhuf yang di dalamnya terdapat ilmu.

Orang yang soleh akan sentiasa dipelihara keturunannya. Selain itu, juga mencakup berkah ibadah yang dilakukannya bagi anak keturunannya di dunia dan di akhirat melalui syafaatnya bagi mereka. Darjat mereka pun akan ditinggikan ke darjat yang paling tinggi di syurga supaya hatinya merasa senang terhadap mereka sebagaimana yang disebut di dalam Al-Quran dan disebut di dalam hadith. Sa’id ibn Jubair menceritakan daripada Ibn ‘Abbas bahawa kedua anak itu dipelihara kerana kesolehan kedua orang tuanya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/289)

Faktor yang mendorong Nabi Khadir menegakkan tembok itu kerana di bawah tembok tersebut, terdapat harta benda milik dua orang anak yatim, bagi memelihara hak mereka memandangkan kesolehan bapa mereka. Oleh itu, Allah SWT memerintahkannya menegakkan semula tembok itu bagi menjaga kepentingan harta anak yatim tersebut. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4168-4169)

Sayyid Qutb berkata, “Kini, tabir hikmat tindakan itu telah terbuka di samping terbukanya urusan Allah yang ghaib yang tidak diperlihatkan kepada sesiapa kecuali orang yang diredhai-Nya. Di tengah ketakjuban rahsia yang terbuka dan tirai yang tersingkap, lelaki itu pun tiba-tiba hilang ceritanya sebagaimana di permulaan kisahnya. Dia telah berlalu ke alam majhul sebagaimana ia muncul dari alam majhul. Kisah ini menggambarkan hikmat yang besar iaitu hikmat yang tidak mendedahkan dirinya melainkan sekadarnya sahaja kemudian tersembunyi di dalam ilmu Allah di belakang segala tabir dan tirai.” (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 10/364)

Perbezaan di antara kalimah tastati‘ (تَسْتَطِعْ) dan tasti‘ (تَسْطِعْ) adalah, kalimah tastati‘ (تَسْتَطِعْ) diguna untuk mengungkapkan penerangan-penerangan yang belum diterangkan oleh Nabi Khadir kepada Nabi Musa A.S. Ini bagi menyifatkan kemusykilan Nabi Musa A.S itu sebagai kemusykilan yang kuat dan berat.

Setelah ditafsirkan kepada Nabi Musa A.S, diterangkan dan diangkat kemusykilannya, Khadir menggunakan kalimah tasti‘ (تَسْطِعْ), sebagai isyarat bahawa kemusykilan yang berat itu telah menjadi ringan. Di sini terserlah keindahan bahasa al-Quran, apabila setiap jawaban itu diungkapkan dengan kalimah yang sesuai dari sudut lafaz dan maknanya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/169)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”