#5355: Mutiara Hikmah dalam Menuntut Ilmu

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami beberapa sifat yang perlu ada kepada penuntut ilmu dalam meraih sebanyak mungkin ilmu?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) — beberapa darjat.

(Surah al-Mujadalah: 11)

Ibn Mas’ud RA menyebut bahawa Allah SWT telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 17/299)

Berkenaan persoalan di atas, antara sifat yang perlu ada kepada penuntut ilmu ialah:

  • Menumpukan Sepenuh Perhatian Ketika Menuntut Ilmu

Al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi[1] berkata dalam kitabnya al-Jami’ li Akhlaq al-Rawi wa Adab al-Sami’, daripada Abu Ahmad Nasr Ahmad al-‘Iyadhi al-Faqih al-Samarqandi[2]:

لَا يَنَالُ هَذَا الْعِلْمَ إِلَّا مَنْ عَطَّلَ دُكَّانَهُ، وَخَرَّبَ بُسْتَانَهُ، وَهَجَرَ إِخْوَانَهُ، وَمَاتَ أَقْرَبُ أَهْلِهِ إِلَيْهِ، فَلَمْ يَشْهَدْ جَنَازَتَهُ.

Maksudnya: “Ilmu tidak akan boleh didapati kecuali oleh orang yang membiarkan kedainya kosong, yang membiarkan kebunnya ditumbuhi semak-samun belukar, yang meninggalkan saudara-saudaranya dan yang bila keluarga dekatnya meninggal, maka dia tidak menyaksikan jenazah kaum kerabatnya (kerana dia sibuk menuntut ilmu).”

  • Tidak Menyibukkan Fikiran dengan Hal-hal Kecil Ketika Menuntut Ilmu

Al-Qadhi Badruddin bin Jama’ah[3] berkata dalam kitabnya Tazkirah al-Sami’ wa al-Mutakallim bi Adab al-‘Alim wa al-Muta’allim (hlm. 71), setelah mengutip kata-kata Imam al-Khatib:

وَهذَا كُلُّهُ، وَإِنْ كَانَتْ فِيهِ مُبَالَغَةٌ، فَالْمَقْصُودُ بِهِ أَنَّهُ لَا بُدَّ فِيهِ مِنْ جَمْعِ الْقَلْبِ، وَاجْتِمَاعِ الْفِكْرِ

Maksudnya: “Semua ini walaupun seperti berlebihan, tetapi yang dimaksudkan adalah dalam menuntut ilmu, hendaklah memfokuskan hati dan fikiran.”

Pernah diceritakan bahawa seorang ulama memerintahkan murid-muridnya untuk melakukan seperti apa yang dikatakan oleh al-Khatib. Kemudian terakhir sekali, ulama itu memerintahkan kepada muridnya dengan berkata, “Warnakanlah pakaianmu supaya kamu tidak disibukkan oleh fikiran untuk mencuci pakaian.” (kerana kain berwarna tidak terlalu terlihat kotorannya).

Dalam kitab Tazkirah al-Huffaz, pada biografi Imam Syu’bah bin Hajjaj al-Wasiti al-Basri[4], salah seorang ulama’ yang menjadi gedung ilmu, terdapat kata-kata muridnya iaitu Abu Qatan, “Pakaian Syu’bah berwarna seperti tanah.”

Hal demikian kerana beliau terlalu menyibukkan diri dengan ilmu sehingga tiada waktu terluang untuk mencuci pakaiannya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota kaki:

[1] Beliau ialah Ahmad bin Ali bin Thabit bin Ahmad bin Mahdi yang terkenal dengan gelaran al-Khatib al-Baghdadi. Dilahirkan pada tahun 392 H. Antara pujian terhadapnya, seperti dinyatakan Ibn Makula, “Abu Bakar al-Khatib al-Baghdadi adalah tokoh terakhir yang kami saksikan yang mempunyai pengetahuan, hafalan dan ketelitian terhadap hadith Rasulullah SAW. Beliau sangat menguasai illat-illat hadith, sanad-sanadnya, sahih dan gharibnya dan segala yang berkaitan dengannya. Antara orang-orang Baghdad, setelah Abu al-Hasan al-Daraqutni, tidak ada seorang pun yang menyamainya. Aku bertanya kepada Abu Abdillah al-Suwari berkenaan al-Khatib dan Abu Nasr al-Sijzi, yang manakah antara keduanya yang lebih hafaz hadith? Lalu dengan tegas beliau melebihkan al-Khatib daripada Abu Nasr.” Al-Mu’taman menyatakan, “Setelah al-Daraqutni, Baghdad tidak lagi memerlukan ulama’ yang hafaz hadith melebihi Abu Bakr al-Khatib.” Beliau meninggal dunia pada tahun 463 H.

[2] Berkenaan tarikh kelahirannya adalah tidak diketahui. Begitu juga tarikh kewafatannya. Namun, beliau dikatakan hidup sekitar tahun 275 H sehingga 375 H. Antara gurunya ialah Ahmad bin al-Abbas bin al-Husain al-‘Iyadhi Abi Nasr. Manakala antara muridnya ialah Muhammad bin Muhammad al-Samarqandi Abi Salamah.

[3] Beliau ialah Muhammad bin Ibrahim bin Sa’dullah bin Jama’ah bin Ali bin Jama’ah bin Hasyim bin Sakhr al-Kinani al-Hamawi al-Syafi’i. Dilahirkan pada tahun 639 H. Beliau lahir di Hammah, Mesir dalam keluarga yang zuhud dan mementingkan ilmu pengetahuan. Beliau merupakan seorang yang sangat rajin menuntut ilmu. Antara ulama’ yang menjadi guru beliau ialah Syaraf al-Din Abd al-‘Aziz al-Ansari, al-Razi Ibn Burhan, Rasyid al-Atar, Ibn Abi al-Yasar, Majid Ibn al-Daqiq dan lain-lain. Beliau dilantik menggalas jawatan sebagai hakim bagi negara Mesir dan khatib di Masjid al-Azhar bermula tahun 630 H. Antara karya beliau ialah Tazkiratu al-Sami’ wa al-Mutakallim fi Adab al-‘Alim wa al-Muta’allim, al-Manhal al-Rawi, al-Tibyan li Muhimmat al-Quran, al-Masalik fi Ulum al-Manasik dan pelbagai karya lain. Beliau meninggal dunia pada tahun 733 H ketika berusia 94 tahun, dan jenazahnya disolatkan di Masjid al-Nasiri, dan seterusnya dimakamkan di Qirafah, Mesir.

[4] Beliau ialah Syu’bah bin al-Hajjaj bin al-Wardi, merupakan seorang Amir al-Mu’minin dalam ilmu hadith. Beliau lahir pada tahun 82 H. Antara pujian kepadanya, seperti kenyataan Imam Ahmad bin Hanbal, “Tidak ada pada zaman Syu’bah orang yang sepertinya dalam bidang hadith, dan tidak ada yang lebih baik tentang ilmu hadith daripadanya.” Al-Syafi’i berkata, “Seandainya tidak ada Syu’bah, maka orang Iraq tidak banyak mengetahui hadith.” Sufyan al-Thauri berkata, “Syu’bah adalah Amir al-Mukminin dalam bidang hadith.” Syu’bah meninggal dunia pada tahun 160 H. (Lihat Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 1/244 dan Tahzib al-Tahzib, 4/358)