#5357: Pendapat Imam Fakhr al-Razi tentang Nabi Musa AS dan Nabi Khidir AS

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan pendapat imam Fakhrurrazi yang terkait ayat-ayat yang menceritakan tentang Nabi Musa AS dan Nabi Khidir AS?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Oleh kerana Imam Fakhru al-Razi mensyarahkan ayat ini dengan panjang lebar, maka alangkah baiknya kita menekuni beberapa noktah yang dikemukakan agar kita mendapat sejumlah kefahaman dan faedah.

Imam al-Razi berkata: “Ketahuilah bahawa ayat-ayat ini menunjukkan bahawa Nabi Musa AS telah meraikan begitu banyak jenis adab dan akhlak serta lemah lembut ketika mempelajari dan menuntut ilmu daripada Nabi Khadir.

Antaranya:

  • Beliau menjadikan dirinya untuk mengikut Khadir kerana itu beliau berkata dengan meminta izin (قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا )
  • Beliau meminta izin dalam mengithbatkan ikutan ini. Sesungguhnya beliau berkata: “Adakah kamu izinkan bagiku untuk aku jadikan diriku mengikut kamu.” Ini menggambarkan betapa tingginya penghormatan dan sifat tawaduk Nabi Musa.
  • Beliau juga berkata dengan kalimah (عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ) yang memberi maksud ‘Agar kamu dapat mengasuh dan mendidikku’. Ini merupakan ikrar dan pengakuan terhadap dirinya dengan kejahilan dan mengithbatkan gurunya dengan keilmuan.
  • Bahawa perkataan (مِمَّا عُلِّمْتَ) ‘Daripada apa yang kamu diajar’. Dan sighah min merupakan sebahagian. Maka yang dituntut oleh Nabi Musa pengajaran sebahagian apa yang Allah ajar kepadanya. Ini juga menunjukkan perasaan penuh dengan tawaduk. Seolah-oleh beliau tidak berkata: “Aku tidak menuntut darimu untuk kamu jadikan aku setara pada ilmu denganmu tetapi aku menuntut daripadamu untuk memberikan kepadaku sejuzuk daripada banyak juzuk ilmumu. Sebagaimana orang faqir menuntut daripada orang kaya, diberikan sebahagian daripada hartanya yang melimpah ruah.
  • Bahawa perkataan (مِمَّا عُلِّمْتَ) ‘Daripada apa yang kamu diajar’ merupakan pengiktifaran bahawa Allah yang memberinya ilmu.
  • Perkataan (رُشْدًا) iaitu petunjuk atau kecerdikan memberi maksud Nabi Musa memohon daripadanya untuk memberi petunjuk dan mengasuh.
    Perkataan irsyad adalah perkara yang kalau tidak terhasil dengannya maka jadilah dalam kegelapan dan kesesatan.
  • Beliau juga berkata dengan kalimah (عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا) yang memberi maksud ‘Agar kamu dapat mengasuh dan mendidikku ‘daripada apa yang kamu diajar’. Maknanya Nabi Musa menuntut daripadanya supaya ia bermuamalah dengan apa yang Allah muamalah dengannya. Ini menunjukkan bahawa kurniaanmu ke atasku ketika mengajar samalah seperti kurniaan Allah terhadapmu dalam pengajaran. Ini juga memberi makna seperti dikatakan: “Aku hamba sesiapa yang aku belajar daripadanya walaupun satu huruf.
  • Mengikuti atau mutaba’ah merupakan ibarat daripada mengikuti dengan seumpama perbuatan yang lain kerana ucapan tersebut merupakan perlakuan untuk yang lain. Jika kami kata Lailahaillallah, maka tidak semestinya kami mengikuti Yahudi sebelum kami yang juga menyebut kalimah tersebut. Ini kerana kami tidak berkata kerana mereka berkata demikian, sebaliknya kami berkata semata-mata dengan dalil.
  • Perkataan (أَتَّبِعُكَ) menunjukkan bahawa memohon untuk mengikutinya secara mutlak dalam semua perkara tanpa sebarang qaid atau syarat.
  • Bahawa thabit dengan perkhabaran yang bahawa Khadir telah mengetahui pada awalnya yang dia adalah seorang Nabi Bani Israil dan Nabi Musa AS pula penerima kitab Taurat seorang yang Allah berbicara dengannya tanpa sebarang perantaraan. Bahkan dikhususkannya dengan pelbagai mukjizat yang hebat. Dalam keadaan kedudukan seperti ini dan maqam yang tinggi, tetap ia menunjukkan sifat tawaduk. Dalilnya Nabi Musa sendiri datang menuntut ilmu dengan penuh ketinggian akhlak.
  • Bahawa perkataan (هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ) ‘Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku’. Ini menthabitkan bahawa dia mahu mengikutnya pertama dan menuntut untuk diajarkannya. Ini bermakna bermula daripadanya dahulu yakni Musa untuk berkhidmat kemudian martabat yang kedua, menuntut daripadanya pelajaran.
  • Bahawa perkataan (هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ) ‘Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku’. Ini bermaksud bahawa dia tidak menuntut daripada ikutan ini atas pembelajaran sesuatu yang lain. Seolah-olah dia berkata: “Saya tidak minta daripadamu harta dan kemegahan dan tiada tujuan bagi saya kecuali menuntut ilmu.”. Ini sebahagian daripada kalam dan ucapan Imam Fakhru al-Razi.

Sedangkan sebahagian ulama seperti Ibn al-Arabi telah mengemukakan 800 masalah berasaskan kisah ini.

Adab Dengan Syeikh

Berdasarkan kenyataan Imam Fakhru al-Razi ini, maka amat penting seorang pelajar mengasihi, menghormati dan beradab dengan gurunya agar keberkatan ilmu mengalir dalam kehidupannya. Kami nyatakan di sini beberapa contoh sebagai pelengkap berkenaan dengan adab penuntut ilmu dengan gurunya.

  • Ayyub al-Sakhtiyani berkata: “Seorang lelaki yang belajar dan menuntut ilmu dalam majlis al-Hasan al-Basri selama 3 tahun tidak pernah bertanya kepadanya walaupun sepatah kerana kehebatan gurunya itu.”
  • Abd al-Rahman bin Harmalah al-Aslami berkata: “Tiada seorang yang berani bertanya kepada Sa’id bin al-Musayyib sehingga meminta izinnya terlebih dahulu sepertimana seorang rakyat meminta izin kepada pemerintah.”
  • Ibn Syihab al-Zuhri pernah berkata: “Aku hadir dan duduk dalam majlis Said bin al-Musayyib bertahun-tahun sehingga bertempuh dua lututku dan lututnya tetapi aku tidak mampu berkata di hadapannya melainkan hanya berkata: ‘Mereka berkata pada hari ini begini…”

Itulah gambaran betapa penghormatan yang tinggi diberikan oleh seorang murid terhadap gurunya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”