#5359: Jenis Kerosakan yang Dilakukan oleh Yakjuj wa Makjuj

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat banyak kerosakan yang dilakukan oleh Yakjuj wa Makjuj dan apakah jenisnya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا

Maksudnya: “Mereka berkata: ‘Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Ya’juj dan Ma’juj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?’.”

(Surah al-Kahfi: 94)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT berfirman menceritakan tentang Zulqarnain. Kemudian ia menempuh jalan yang lain lagi. Dengan kata lain, ia menempuh jalan di belahan timur bumi sehingga sampai di hadapan kedua bukit itu, yakni dua buah gunung, yang di antara keduanya terdapat satu lubang, yang keluar darinya Ya’juj dan Ma’juj menuju ke negeri Turki. Lalu di sana mereka berbuat kerosakan, merosakkan tanaman dan keturunan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/297-298)

Al-Alusi berkata: Iaitu mereka mengganas dengan membunuh, merosakkan dan segala bentuk kerosakan terhadap manusia. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 16/479)

Al-Maraghi berkata: Sebenarnya Ya’juj dan Ma’juj telah melakukan kezaliman di negeri itu dengan melakukan pembunuhan, kehancuran, perampasan makanan dan segala bentuk kerosakan lain. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4179)

Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa mereka ini melakukan kerosakan dan keganasan dengan menerkam ke atas mangsanya seperti binatang yang merangkak, liar dan ganas. Mereka juga memakan ular, kala dan semua yang bernyawa.

Al-Kalbi berpendapat: “Mereka ini keluar ke bumi pada musim bunga dan memakan semua yang dijumpainya sama ada yang hijau atau yang kering. Mereka juga membawanya masuk ke dalam bumi. Dan sesiapa yang berjumpa dengan mereka nescaya akan diseksa dan dibunuh.” Sebahagian ulama lain pula berpendapat bahawa mereka memakan manusia dan merosakkan apa yang ada di bumi setelah mereka keluar.

Al-Qurtubi pula membawakan riwayat Sa‘id bin ‘Abd al-‘Aziz, kerosakan yang dilakukan mereka ini adalah memakan anak-anak Nabi Adam A.S (kanibalisme). Manakala sebahagian ulama’ lainnya mengatakan, yang dimaksudkan dengan kerosakan di sini adalah yang bakal berlaku kelak, maka disuruh untuk berhati-hati dari Ya’juj Ma’juj ini. Dan sebahagian lain mengatakan, kerosakan itu adalah kezaliman, penindasan, pembunuhan, dan segala bentuk kerosakan yang diketahui oleh manusia. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 11/56)