#5365: Iktibar Kisah Zulqarnain

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami ciri dan sifat pemimpin sebagai penyelamat ummah melalui kisah Zulqarnain?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَيَسْـَٔلُونَكَ عَن ذِى ٱلْقَرْنَيْنِ ۖ قُلْ سَأَتْلُوا۟ عَلَيْكُم مِّنْهُ ذِكْرًا ٨٣ إِنَّا مَكَّنَّا لَهُۥ فِى ٱلْأَرْضِ وَءَاتَيْنَـٰهُ مِن كُلِّ شَىْءٍۢ سَبَبًۭا

Maksudnya: “Mereka bertanya padamu wahai Muhammad tentang Zulkarnain. Jawablah, “Aku akan ceritakan kepadamu sebahagian daripada kisahnya.” Sesungguhnya Kami telah kurniakan kepadanya kuasa pemerintahan di bumi, dan Kami berikan kepadanya asbab untuk mencapai segala visinya.”

(Surah al-Kahfi: 83-84 )

Menurut al-Biqa‘i, kisah Nabi Musa A.S bersama Khidir mengandungi kisah perjalanan menuntut ilmu dan kisah Zulkarnain pula mengandungi kisah perjalanan berjihad di jalan Allah. Memandangkan ilmu pengetahuan adalah asas kepada jihad, maka didahului kisah Nabi Musa A.S bersama Khidir berbanding kisah Zulkarnain. (Lihat Nuzm al-Durar, 12/128)

Menurut al-Maraghi, Allah SWT memberikan kekuasaan kepada Zulkarnain dalam melakukan sesuatu perkara mengikut kehendaknya, sehingga beliau berjaya menguasai  seluruh dunia dan mengalahkan kerajaan yang ada pada zaman itu. Allah SWT  mengurniakan ilmu pengetahuan, kemampuan dan kelengkapan tentera bagi menjayakan segala hasrat yang hendak dilakukannya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4176)

Karakter Pemimpin Sebagai Penyelamat Ummah        

Pemimpin penyelamat ummah, dalam kisah Zulkarnain yang diabadikan di dalam Surah al-Kahfi telah membuktikan bahawa beliau adalah seorang pemimpin Islam yang mempunyai karakter tersendiri dalam aspek kepemimpinan. Tiga karakteristik yang telah ditonjolkan oleh Zulkarnain dalam kepemimpinannya sebagai seorang pemimpin Islam adalah beriman, adil dan bijaksana.

Berkaitan dengan karakter yang pertama iaitu beriman, ia menjadi salah satu ciri bagi setiap orang Islam dan bukan hanya menjadi karakter pada seorang pemimpin sahaja. Abu al-A‘la al-Maududi menulis di dalam bukunya, Towards Understanding Islam bahawa hubungan antara Islam dengan iman adalah laksana hubungan antara pohon dengan akarnya. Sebagaimana pohon tidak dapat tumbuh tanpa akarnya. Demikian pula, mustahil seseorang menjadi Muslim tanpa memiliki kepercayaan (iman).

Banyak negara dianugerahkan rahmat Ilahi dengan dikurniakan pelbagai sumber  kekayaan tetapi oleh kerana pemimpinnya tidak mempunyai tiga karakteristik ini menyebabkan ia terpalit dengan masalah rasuah, ada yang terbenam dalam kemelut kemunduran, ada yang tertimbus dalam lumpur kemiskinan. Hal ini terjadi kerana kekayaan negara disalah guna, hasil mahsul lesap, lalu mengakibatkan kemunduran terus melanda dan kemiskinan terus merebak. Apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, ia akan tumbuh melebar, subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan akhirnya meresap menjadi budaya, hingga memusnahkan sesebuah negara bangsa.

Agensi berita nasional, Bernama, pula melaporkan Sultan Nazrin bertitah bahawa sejarah telah menunjukkan bahawa perbuatan pecah amanah dan amalan rasuah boleh menjurus kepada kejatuhan kerajaan dan keruntuhan sesuatu tamadun.[1]

Titah Baginda, “Dalam sejarah kerajaan Islam, ramai kalangan pemimpin Bani Umaiyah dan Bani Abbasiyah lupa kepada amanah Ilahi kerana terlalu asyik menikmati kemewahan dunia, lalu sanggup menggunakan kekayaan untuk mengekalkan kuasa. Apabila kuasa dianggap satu peluang memenuhi kepentingan diri dan bukan satu amanah, maka, rosaklah tata urusan pemerintahan yang akhirnya berkesudahan dengan kejatuhan sesebuah kerajaan dan keruntuhan sesuatu tamadun.” (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/240-241)

Rasulullah SAW telah memberi ingatan berkenaan perkara ini, menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawasanya Baginda bersabda:

إِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ، قَالَ: كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: إِذَا أُسْنِدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ

Maksudnya: “Jika amanah disia-siakan, maka tunggulah kemusnahan.” Lalu seorang sahabat bertanya: Apakah yang dimaksudkan dengan amanah  yang disia-siakan wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang tidak layak mengurusnya, maka tunggulah kemusnahan itu datang.”

Riwayat al-Bukhari (6496)