#5369: Hadith 40: Rukun Islam dan Aplikasinya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimanakah kita mahu mengaplikasikan hadith berkenaan rukun Islam dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda nabi SAW:

بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ : شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَحَجِّ الْبَيْتِ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam dibina di atas lima perkara iaitu bersaksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu ialah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji dan berpuasa pada bulan Ramadhan.”

Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat beberapa istifadah yang boleh kita ambil daripada hadith di atas, antaranya:

Pertama: Hadith ini mengibaratkan Islam sebagai sebuah bangunan. Kita semua mengetahui bahawa bangunan mempunyai pasak dan ia menjadi pelindung kepada sesiapa yang bernaung di dalamnya. Itulah hakikat Islam sebagai pelindung kepada umatnya jika dilaksanakan segala rukunnya. Hal ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Rajab al-Hanbali bahawa hadis ini bermaksud Islam itu dibina atas lima perkara ini, dan ia adalah seperti binaan asas yang menampung dan tiang-tiang bagi sesebuah bangunan. Maksud Islam diumpamakan seperti sebuah bangunan dan tiang-tiang bangunan itu pula ialah lima perkara ini kerana bangunan (Islam) itu tidak akan dapat tertegak tanpa tiang-tiangnya (rukun-rukunnya). Manakala baki ciri-ciri Islam yang lain pula adalah seperti penyempurnaan bagi binaan tersebut. Sekiranya salah satu daripadanya hilang, maka bangunan atau binaan tersebut akan berkurangan tetapi ia masih lagi dapat tertegak (berdiri) dan tidak musnah atau runtuh disebabkan oleh kekurangan pada perkara tersebut. Berbeza halnya jika kelima tiang ini hilang atau musnah kerana keislaman seseorang itu akan hilang (terbatal) dengan hilangnya kesemua tiangnya tanpa sebarang masalah, begitu juga dengan hilangnya dua kalimah syahadah. Dua kalimah syahadah yang dimaksudkan adalah bersaksi dan beriman dengan Allah SWT dan juga dengan Rasul-Nya. (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/145).

Kedua: Menurut Ibn Manzur, perkataan al-Islam “الإسلام” atau al-Istislam “الانبسلام” bermaksud tunduk patuh. Manakala “Islam” dari sudut syarak pula adalah menzahirkan ketundukan dan syariat serta melaksanakan dan berpegang dengan penuh kepatuhan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW. (Lihat Lisan al-‘Arab, 12/293).

Ketiga: Asas binaan Islam yang disabdakan Nabi SAW merupakan garisan pemisah antara Islam dan Kufur serta penentu antara syurga dan neraka, iaitu penyaksian keesaan Allah SWT dan penyaksian bahawa Nabi SAW adalah utusan Allah. Ini adalah binaan pertama bagi setiap Muslim sebelum melangkah kepada asas-asas Islam yang lain Binaan itu juga disandarkan kepada hadis Nabi SAW:

مَنْ قَالَ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهَ مُخْلِصًا دَخَلَ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Sesiapa yang berkata: ‘Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dengan ikhlas, nescaya dia akan masuk syurga.””

Al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Saghir (8877) menilainya sebagai sahih.

Keempat: Selepas membuat penyaksian bahawa Islam adalah pernyataan keesaan Allah dan membenarkan kenabian Muhammad SAW, seterusnya pula adalah mendirikan solat dan menunaikannya secara sempurna dengan syarat rukunnya, adab-adabnya dan sunnah- sunnahnya agar dapat menatijahkan hasilnya dalam diri seorang muslim. Salah satu hasilnya ialah meninggalkan perbuatan keji dan mungkar kerana solat dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar.

Kelima: Kewajipan mengeluarkan zakat daripada harta orang kaya kepada orang-orang fakir dan yang memerlukan, jika mencukupi syarat syarat wajib zakat.

Keenam: Kewajipan menunaikan ibadah haji dan puasa (Ramadhan) bagi setiap Muslim. Adanya perkaitan rukun Islam antara satu sama lain. Siapa yang mengingkarinya maka dia bukan seorang Muslim berdasarkan kesepakatan umat Islam. Timbul satu persoalan, kenapa haji disebut dahulu berbanding puasa Ramadhan? Imam al-Nawawi berpendapat: “la hanya berkenaan urutan penyebutan bukan berkenaan dengan urutan hukum.”

Aplikasi Hadith dalam Kehidupan

Islam merupakan agama yang sempurna, la tidak menerima sebarang pengurangan dan penambahan. Oleh sebab itulah Rasulullah SAW bersabda, “Islam dibina.” Sesungguhnya Islam telah dibina dan telah sempurna binaannya.

Daripada lima binaan inilah, maka lahirnya perintah-perintah yang lain sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah SWT. Sekalipun hanya dinyatakan lima perkara ini, maka ia tidak menafikan kewajipan kewajipan lain yang terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Hadis ini adalah sebuah perumpamaan Islam yang diturunkan oleh Tuhan dengan satu binaan agar kefahaman begitu jelas. Perlaksanaan rukun Islam yang lima ini akan menzahirkan dua hubungan yang ampuh iaitu Hablum Minallah dan Hablum Minannas. Justeru pelaksanaan rukun Islam yang lima sudah barang tentu membawa kebaikan dan kebahagiaan. Dalam kehidupan ini, agama Islam perlu dipatuhi dan ditaati agar kita sentiasa mendapat mardhatillah.

Bagi kefahaman yang lebih jelas berkenaan hadith di atas, anda boleh rujuk di buku kami, “ Al-Kafi Syarah Hadis 40 karya Imam Nawawi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a‘lam