#5377: Pesanan Khalifah Umar R.A kepada Tentera Menuju al-Qadisiyyah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami dan nyatakan bagaimana pesanan dan wasiat Saidina Umar kepada tentera Islam bagi menghadapi al-Qadisiyyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Khalifah ‘Umar menyampaikan ucapan dan memberikan pesanan lagi kepada Sa’ad RA setelah semua anggota berkumpul dan sebelum mereka bergerak menjalankan tugas sepenuhnya:

“Amma ba’du, sesungguhnya aku memerintahkan kepada kamu wahai Sa’ad! Dan juga mereka yang bersama-sama kamu supaya bertakwa kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan, kerana sesungguhnya ketakwaan kepada Allah SWT adalah sebaik- baik persiapan untuk mengalahkan pihak musuh dan juga sekuat-kuat tipu daya dalam menghadapi peperangan.

Aku memerintahkan kepada kamu dan mereka yang bersama-sama kamu supaya menjauhkan diri daripada melakukan maksiat, kerana sesungguhnya dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam adalah lebih aku takuti berbanding musuh-musuh Islam. Sesungguhnya, orang-orang Islam telah mendapat pertolongan daripada Allah SWT disebabkan oleh kemaksiatan yang telah dilakukan oleh pihak musuh, jika bukan kerana hal itu, nescaya tiada kekuatan bagi orang- orang Islam.

Jumlah bilangan tentera Islam jika mahu dibandingkan dengan pihak musuh adalah terlalu kecil. Begitu jugalah dengan persiapan serta kelengkapan pertahanan kita, jika hendak dibandingkan dengan pihak musuh, tidaklah kita sekuat mereka. Maka, jika tingkah laku kita tiada bezanya dengan pihak musuh yang turut melakukan maksiat, nescaya kekuatan untuk memenangi perang akan menyebelahi pihak musuh. Jika kita tidak mendapat pertolongan daripada Allah SWT ke atas musuh-musuh ini, sudah pasti kita tidak akan dapat menandingi kehebatan mereka.

Ketahuilah! Bersama-sama kamu semua adalah para malaikat yang menjaga keselamatan dan mereka mewakili pihak kerajaan Allah SWT untuk menjaga kamu supaya kamu berasa selamat. Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan, maka hendaklah kamu berasa malu terhadap apa yang ingin kamu lakukan dan janganlah kamu berkata, “Sesungguhnya, pihak musuh lebih hina daripada kita, mereka tidak akan dapat menguasai kita sekalipun kita turut sama melakukan kejahatan.” Ucapan yang sedemikian boleh jadi akan terbalik kepada kita.

Maka, akan datang satu kaum yang lebih zalim daripada pihak musuh, sepertimana yang telah berlaku ke atas kaum Bani Isra’il dengan akhirnya mereka telah dikuasai oleh orang-orang kafir Majusi (penyembah api). Sentiasalah kamu memohon pertolongan kepada Allah SWT untuk menghilangkan penyakit yang ada dalam diri kamu, sebagaimana kamu memohon pertolongan Allah SWT untuk mengalahkan musuh-musuh kamu. Berdoalah untuk diri kamu dan tidak lupa juga buat seluruh umat Islam.

Berlaku sopanlah terhadap bala tentera dalam perjalanan menuju ke medan perang dan jangan bebankan mereka dengan tekanan serta jangan sekali-kali abaikan hak mereka untuk berehat bagi melayani mereka dengan baik. Sehinggalah tiba di lokasi musuh berada dan pastikan perjalanan yang jauh itu sedikit pun tidak mengurangkan kekuatan mereka. Ketahuilah bahawa mereka berjalan jauh semata-mata untuk menghadapi musuh yang bermukim di negeri jauh. Diri dan kuda perangnya mesti berada dalam keadaan segar dan cergas. Jadikan setiap hari Jumaat, hari untuk kamu dan bala tentera itu bermukim untuk berehat sehari semalam bagi mendapatkan kerehatan, mereka berkumpul sesama mereka, serta meletakkan senjata dan barang-barang yang ditanggung itu.

Jauhilah daripada berhenti di kawasan penduduk yang berdamai dengan kita, jangan izinkan sesiapa dalam kalangan anggota masuk ke kawasan itu, melainkan orang yang boleh dipercayai akan pegangan agamanya. Jangan lakukan apa-apa sewenang-wenangnya terhadap penduduk di kawasan itu kerana mereka perlu dihormati dan dilindungi. Kamu semua diuji dengan kesetiaan terhadap mereka. Sebagaimana kamu disuruh bersabar terhadap mereka, mereka juga bersabar terhadap kita. Kemudian, mereka berjanji setia dengan kita. Janganlah sekali-kali meminta pertolongan daripada musuh untuk bertindak zalim terhadap orang bukan Islam yang mengadakan perjanjian damai dengan kita.

Apabila sudah hampir menjejak kaki ke negeri musuh, maka tugaskan pasukan perisikan di kawasan yang memisahkan antara kamu dengan musuh, janganlah dipandang ringan perkara ini. Ajaklah agar bersamamu mereka dalam kalangan orang Arab dan penduduk setempat yang dipercayai nasihat dan sifat benarnya. Hal ini demikian kerana, pembohong tidak akan memberikan apa-apa manfaat kepadamu sekalipun sebahagian daripada maklumat yang diberitahu olehnya ada yang benar. Penipu itu menjadi pengintip yang menimpakan keburukan ke atasmu bukannya kebaikan kepadamu.

Apabila sudah hampir dengan kawasan musuh, tugaskan peninjau seramai mungkin. Kemudian, tugaskan anggota pasukan yang dapat memutuskan bekalan musuh dan bantuannya, dan pasukan peninjau itu memerhatikan semua kebejatan dan kelemahan yang ada pada musuh.

Pilihlah anggota pasukanmu dalam kalangan mereka yang mempunyai pandangan jauh, gagah berani dan mahir menunggang kuda. Apabila sudah berhadapan dengan musuh, pilihlah orang yang terkuat mengikut pandanganmu. Tugaskan sebahagiannya menjadi ketua bagi setiap pasukan itu daripada kalangan ahli jihad dan paling bersabar di medan perang. Jangan sekali-kali mengikut pandanganmu semata-mata tanpa menilai pandangan berbeza sewenang- wenangnya, kerana ia boleh melemahkan semangat tentera yang lain. Jangan dihantar pasukan yang boleh termasuk ke dalam perangkap dan tipu daya musuh.

Apabila kamu tentukan tempat musuh yang hendak dijadikan sasaran, maka gabungkan tenaga bersamamu daripada pelbagai pasukan seperti kalangan peninjau, pasukan yang berjalan kaki dan lain-lain. Kumpulkan tenaga dan helah taktik peperangan, kemudian bertindak dengan cara yang terbaik bagi menentang dengan bertahan sekiranya kamu tidak suka menyerang terlebih dahulu, dengan terlebih dahulu melihat kelemahan musuh dan pasukan penyerangnya. Ketahuilah bahawa muka bumi medan perang sepertimana diketahui keberadaan tentera di situ, nescaya kamu dapat mendepani musuh (berkenaan kedudukan medan perang).

Tugaskan pengawal di tempat bertapaknya kamu berada dan berwaspada dengan penuh kesungguhan ketika bermalam di tempat itu. Apabila dibawa tawanan yang tidak mempunyai apa-apa ikatan perjanjian, maka hapuskan mereka dengan membunuhnya bagi menakutkan musuh dan menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu. Akhirnya, Allah sahajalah yang akan menolong kamu dalam mengendalikan urusanmu dan mereka yang ada bersamamu. Allah sahaja yang memiliki pertolongan untuk mengurniakan kemenangan kepadamu terhadap musuh. Dan kepada Allah sahaja dipohon akan pertolongan.” (Lihat al-Faruq ‘Umar bin al-Khattab oleh Muhammad Rasyid Ridha, hlm. 119)

Betapa pesanan di atas tercakup dalamnya sifat keagamaan dan akhlak bala tentera, termasuklah bekalan moral dalam perjalanan jauh yang dilalui dan ilmu ketenteraan apabila sudah berada di kawasan musuh. Di sini menunjukkan bahawa Khalifah ‘Umar RA bukan sahaja seorang negarawan yang bijak mentadbir negara, bahkan berilmu termasuklah dalam bidang ketenteraan. Seterusnya, Amir al-Mu’minin ‘Umar RA mengarahkan Sa’ad bin Abi Waqqas RA agar setiap masa menghantar maklumat kepadanya supaya menerima arahan yang perlu berikutnya.  (Lihat Khalifah Umar: Fiqh Siyasah Khulafa’ al-Rasyidin, hlm. 133)

Daripada pidato tersebut jelas menunjukkan kelebihan yang Allah SWT kurniakan kepada Saidina Umar dengan kebijaksanaan dan ketegasan serta keberanian anugerah daripada Allah SWT, makanya doa Nabi kepada Saidina Umar dan kelebihannya adalah amat jelas.

Antaranya, Nabi SAW mendoakan agar salah seorang daripada dua Umar memeluk Islam berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar iaitu anak beliau R.Anhuma:

اللهُمَّ أَعِزَّ الْإِسْلَامَ بِأَحَبِّ هَذَيْنِ الرَّجُلَيْنِ إِلَيْكَ بِأَبِي جَهْلٍ أَوْ بِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، فَكَانَ أَحَبُّهُمَا إِلَى اللهِ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau muliakanlah Islam dengan dua orang lelaki yang Engkau kasihi ini, iaitu Abu Jahal atau Umar bin al-Khattab. Akan tetapi antara dua ini yang dikasihi oleh Allah SWT ialah Umar bin al-Khattab.”

Riwayat Ahmad (5696) dan al-Tirmizi (3681)

Saidina Umar bin al-Khattab merupakan antara sepuluh orang sahabat yang dijamin syurga. Ini disebut di dalam banyak hadis Nabi SAW. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abd al-Rahman bin Auf R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

عَشَرَةٌ فِي الْجَنَّةِ: أَبُو بَكْرٍ فِي الْجَنَّةِ، وَعُمَرُ فِي الْجَنَّةِ، وَعُثْمَانُ فِي الْجَنَّةِ، وَعَلِيٌّ فِي الْجَنَّةِ، وَطَلْحَةُ فِي الْجَنَّةِ، وَالزُّبَيْرُ فِي الْجَنَّةِ، وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ فِي الْجَنَّةِ، وَسَعْدُ بْنُ أَبِي وَقَّاصٍ فِي الْجَنَّةِ، وَسَعِيدُ بْنُ زَيْدِ فِي الْجَنَّةِ، وَأَبُو عُبَيْدَةَ بْنُ الْجَرَّاحِ فِي الْجَنَّةِ

Maksudnya: “Sepuluh orang di syurga: Abu Bakar di syurga, Umar di syurga, Uthman di syurga, Ali di syurga, Talhah di syurga, al-Zubair di syurga, Abd al-Rahman bin Auf di syurga, Sa‘ad bin Abu Waqqas di syurga, Sa‘id bin Zaid di syurga dan Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah di syurga.”

Riwayat Ibn Hibban (7002) dalam Sahihnya

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang  terburuk di kalangan kami.” (Lihat Ibtihalat wa Da’awat oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 68)

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)