#5379: Hadith 40: Keutamaan Sifat Malu

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato syarahkan sedikit berkenaan sifat malu kerana ada sesetengah orang malu bukan pada tempatnya, jadi mungkin ada hadith yang boleh Dato kupas sedikit agar dapat memberi kefahaman yang lebih jelas kepada masyarakat.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Daripada Abi Mas’ud Uqbah bin Amr al-Anshari al-Badri RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلاَمِ النُّبُوَّةِ الأُولَى إِذَا لَمْ تَسْتَحِي فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ

Maksudnya: “Bahawa di antara yang didapati oleh manusia daripada perkataan Nabi yang terdahulu ialah: Jika engkau tidak malu, buatlah apa yang engkau suka.”

Riwayat al-Bukhari (3483)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat beberapa istifadah yang boleh kita ambil daripada hadith di atas, antaranya:

Pertama: Imam Ibn Daqiq al-‘ld ketika menafsirkan kalimah kenabian yang pertama, berkata: “Maksudnya bahawa rasa malu selalu terpuji dan dipandang baik selalu diperintahkan oleh setiap nabi dan tidak pernah dihapuskan daripada syariat para nabi sejak dahulu lagi.” Ini juga pendapat al-Khattabi dalam Ma’alim al-Sunan (7/171).

Kedua: Maksud daripada kalam Nubuwwah ini ialah, ia merupakan antara perkara yang disepakati oleh para nabi dan perkara yang diperintahkan oleh mereka tanpa dinasakhkan. Menyandarkan perkataan kepada perkataan nubuwwah adalah bertujuan memberitahu bahawa malu itu adalah sebahagian daripada masalah nubuwwah yang sudah disepakati.

Ketiga: Pesanan ini mengandungi dua maksud:

  • Sekiranya engkau tidak malu melakukan perkara yang memalukan, lakukanlah apa yang engkau suka.
  • Sekiranya manusia sudah tidak mempunyai rasa malu, maka dia melakukan apa yang dia ingini.

Keempat: Betapa hebatnya malu sehingga ia menjadi salah satu sifat manusia. Benarlah hadis nabi SAW:

إِذَا أَبْغَضَ اللَّهُ عَبْدًا نَزَعَ مِنْهُ الْحَيَاءَ

Maksudnya: “Jika Allah membenci seorang hamba nescaya dicabut daripadanya perasaan malu.”

Riwayat al-Baihaqi (7724) dalam Syu’ab al- Iman, juga disebut dalam al-Jami’ al-Saghir oleh al-Suyuti (3467)

Kelima: Dinukilkan di sini beberapa mutiara kata Salaf al-Soleh:

  • Saidina Umar berkata: “Sesiapa yang malu akan bersembunyi, sesiapa yang bersembunyi akan bertaqwa dan sesiapa yang bertaqwa akan terpelihara daripada keburukan.”
  • Ibn Abbas berkata: “Malu dan iman bergandingan antara satu sama lain. Bila dicabut malu pasti yang lainnya akan mengikuti.”
  • Salman al-Farisi berkata: “Sesungguhnya Allah jika mahu membinasakan seorang hamba nescaya dicabut daripadanya perasaan malu.”
  • Al-Hasan Basri berkata: “Malu ada dua jenis. Pertama: Malu berasaskan keimanan dan kedua: Berasaskan kelemahan.”

Aplikasi Hadith dalam Kehidupan

Malu adalah landasan akhlak mulia yang bermuara kepada kebaikan. Siapa yang banyak malunya, lebih banyak kebaikannya, sesiapa yang sedikit rasa malu, sedikit kebaikannya. Rasa malu adalah perilaku yang dapat dibentuk. Setiap orang yang memiliki tanggungjawab perlulah membentuk rasa malu ke atas mereka yang menjadi tanggungjawabnya.

Seseorang yang mempunyai sifat malu, mampu menjaga diri dan maruah dirinya daripada melakukan perkara yang bercanggah dengan norma-norma kehidupan dan bercanggah dengan syariat Allah SWT. Justeru, apabila seseorang telah hilang sifat malu dalam dirinya, maka segala keburukan dan kejahatan akan berhimpun dalam dirinya. Rosaknya budaya barat dan pincangnya nilai dan adab mereka tatkala malu telah dibuang dalam kehidupan mereka. Menghidupkan semula sifat malu mengikut acuan syariah adalah amat penting dalam kehidupan kita.

Di samping itu, perlu difahami bahawa malu perlu berada pada tempatnya kerana malu yang melampau menyebabkan seseorang itu akan berada dalam dunia yang sempit. Contohnya malu untuk bertanya guru ketika sesi pelajaran, malu untuk berkawan dan seumpamanya.

Kami menutup perbincangan ini dengan mengemukakan sebuah hadis daripada Imran bin Husin daripada Nabi SAW, sabdanya:

الْحَيَاءُ لَا يَأْتِي إِلَّا بِخَيْرٍ

Maksudnya: “Malu itu tidak datang kecuali dengan kebaikan.”

Riwayat al-Bukhari (6117) dan Muslim (37)

Bagi kefahaman yang lebih jelas dan menyeluruh berkenaan hadith di atas, anda boleh rujuk di buku kami, “Al-Kafi Syarah Hadis 40 karya Imam Nawawi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a‘lam