#5381: Hadith 40: Jangan Bersifat Pemarah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato syarahkan secara ringkas berkenaan hadith jangan bersifat pemarah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Daripada Abi Hurairah RA bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW:

أَوْصِنِي. قَالَ: لَا تَغْضَبْ، فَرَدَّدَ مِرَارًا، قَالَ : لَا تَغْضَبْ

Maksudnya: Wasiatkan kepadaku. Sabda Baginda: Janganlah marah. “Kemudian beliau berulang kali bertanya. Sabda Baginda: Janganlah marah.”

Riwayat al-Bukhari (6116)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat beberapa istifadah yang boleh kita ambil daripada hadith di atas, antaranya:

Pertama: Akhlak muslim sebenar ialah yang mempunyai sifat yang mulia, lemah lembut, merendah diri dan kasih kepada manusia, serta tidak menyakiti manusia yang lain. Di samping itu juga, dia dapat menahan dirinya ketika marah kepada orang lain dan bermanis muka dalam semua keadaan.

Kedua: Orang yang pemarah adalah orang yang berjiwa lemah dan rapuh, manakala orang yang mampu menahan marah adalah orang yang berjiwa kuat dan kukuh. Ukuran kuat dan lemahnya seseorang tidak dilihat daripada kemampuannya dalam memukul ataupun menendang tetapi dilihat sejauh mana dia mampu menahan hawa nafsu ketika sedang marah.

Ketiga: Imam al-Ghazali berkata: “Ahli ilmu berpendapat bahawa berlakunya sifat marah itu kerana urat saraf manusia ditarik oleh syaitan. Ini bermakna orang yang suka marah bererti telah mengikat persahabatan dengan syaitan.”

Keempat: Adapun maksud perkataan “Janganlah Marah” yang dikatakan kepada lelaki tersebut ialah jangan menuruti hawa nafsu kemarahan itu, dan bukanlah maksudnya melenyapkan sama sekali nafsu itu. Ini kerana kemarahan adalah satu-satunya daripada tabiat manusia yang tidak mungkin dihapuskan.

Oleh itu, maksud Rasulullah SAW dengan larangannya kepada perkara menimbulkan kemarahan itu dan Baginda bersabda dalam hadis yang lain: “Jauhilah kemarahan, kerana ia adalah bara api yang menyala-nyala dalam hati anak Adam. Cubalah lihat apabila salah seorang kamu dalam keadaan marah, kedua matanya merah, urat lehernya kelihatan timbul. Apabila salah seorang berasa marah, maka hendaklah dia berbaring atau duduk di atas bumi.”

Pernah juga Rasulullah SAW menerangkan: “Bahawa kemarahan itu daripada syaitan. Sesungguhnya syaitan itu dijadikan daripada api. Api hanya dapat dipadamkan dengan air. Apabila seseorang dalam kalangan kamu marah, maka hendaklah dia berwuduk.”

Kelima: Emosi kita harus matang terlebih dahulu dalam mengenali dan menerima diri sendiri. Jika tidak, tentu kita akan tersalah langkah dan perkara yang kita buat sudah tentu perbuatan yang salah. Akhirnya, kita berasa akan bersalah dan cemas kerananya.

Keenam: Seseorang yang cenderung menggunakan emosinya dalam berfikir menandakan bahawa emosinya belum matang. Kita perhatikan seorang yang sakit jantung, dia datang kepada doktor untuk berubat. Lantas disyorkan supaya berhenti merokok sementara, tetapi kerana emosinya, dia mengabaikan saranan doktor tersebut. Maka apa yang berlaku? Dua bulan kemudian dia meninggal dunia akibat penyakit jantung yang parah.

Ketujuh: Jika kita menurutkan emosi yang meluap-luap, sudah tentu kita akan kehilangan arah, ke mana akan melangkah dan apa yang harus dilakukan. Orang matang emosinya cukup mengenali dirinya sendiri untuk menyedari apa yang menganjal di hatinya dan menggunakan sejumlah pengetahuan yang diperolehi daripada pengalaman sebelumnya. Ketidakmampuan untuk mengakui batas- batas kemampuan kita atau mengenali punca yang menjadi pencetus emosi kemarahan boleh mengakibatkan banyak kecemasan dan kekecewaan.

Kelapan: Luqman al-Hakim menasihati anaknya seraya berkata: “Hai anakku, tiga perkara tidak diketahui kecuali pada tiga keadaan. Orang yang sabar tidak diketahui kecuali ketika marah, orang yang berani tidak diketahui kecuali ketika perang dan sahabat sejati tidak diketahui kecuali ketika berhajat.”

Aplikasi Hadith dalam Kehidupan

Hadith ini menegaskan bahawa sifat marah tidak mampu menyelesaikan masalah dan tidak mampu memudahkan urusan, bahkan ia semakin merumitkan dan memusnahkan sesuatu urusan.

Dikatakan bahawa Nabi Allah Isa AS pernah menasihati Yahya bin Zakaria AS seraya bersabda: “Sesungguhnya aku mengajar kepada kamu ilmu yang bermanfaat iaitu jangan marah.” Ini menunjukkan betapa pentingnya kita menjaga emosi ketika berada dalam keadaan tercabar.

Imam Ibn Daqiq al-‘Id berkata: “Sesungguhnya syaitanlah yang mendorong kepada kemarahan, kerana setiap orang yang menginginkan perkara yang terpuji, maka syaitan akan menahannya dan menjauhkannya daripada keredaan Allah. Ucapan isti’azah (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم) merupakan senjata yang paling kuat untuk menolak tipu daya syaitan.”

Ketahuilah, banyak kesilapan yang terjadi dalam hidup sehingga kadang-kadang membawa ke tahap membunuh berlaku disebabkan kemarahan yang di luar kawalan.

Antara doa Nabi SAW ialah:

أَسْأَلُكَ كَلِمَةَ الحَقِّ فِي الغَضَبِ والرِّضَا

Maksudnya: “Aku bermohon kepada-Mu kalimah yang sebenar ketika marah dan juga redha.”

Riwayat al-Nasaie (1305), Ahmad (18351), Ibn Hibban (1971), al-Hakim, al-Baihaqi dalam al- Da’awat al-Kabir (251), al-Tabarani dalam al- Du’a (624) dan al-Bazzar (229). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan isnadnya sahih dalam Takhrij al-Musnad (18325).

Bagi kefahaman yang lebih jelas dan menyeluruh berkenaan hadith di atas, anda boleh rujuk di buku kami, “Al-Kafi Syarah Hadis 40 karya Imam Nawawi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a‘lam