#5389: Hadith Berkenaan Kesalahan yang Dimaafkan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato syarahkan sedikit hadith tentang kesalahan yang dimaafkan? Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

 إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.”

Riwayat Ibn Majah(2045) dan Riwayat Ibn Hibban (7219)

Ibn Rajab al-Hanbali ketika mensyarahkan hadith ini bahawa — yang paling jelas menurut beliau — seseorang yang terlupa atau tersilap itu adalah dimaafkan. Dalam erti kata lain, terangkat dosa daripada kedua-duanya kerana suatu dosa itu dikenakan berdasarkan tujuan dan niat. Sedangkan orang yang terlupa dan tersilap, keduanya tidak ada niat ketika melakukannya, maka tiada dosa dikenakan kepada mereka. Adapun terangkat hukum daripada keduanya, maka ini bukanlah kehendak yang dimaksudkan daripada nas ini. Oleh itu, bagi mensabitkan dan menafikannya memerlukan kepada dalil yang lain. (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 2/369. )

Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimullah menyebut: “Hadis ini mempunyai manfaat yang menyeluruh kerana terdapat tiga perkara yang selalu dibahaskan di dalam permasalahan figh bahkan ada juga yang mengatakan bahawa hadis ini adalah sebahagian daripada syariat. Ini kerana setiap perbuatan yang dilakukan oleh seorang yang mukallaf tidak terlepas daripada dua hal; sama ada sengaja ataupun tidak sengaja. Adapun yang tidak sengaja itu merangkumi dua lagi perkara iaitu sama ada terlupa ataupun dipaksa melakukannya.” (Lihat al-Fath al Mubin, hlm. 606-607).

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat beberapa istifadah yang boleh kita ambil daripada hadith di atas, antaranya:

Pertama: Al-Khata (الخطأ) bermaksud berniat melakukan sesuatu namun secara tidak sengaja telah melakukan perkara yang tidak dimaksudkan. Sebagai contoh seseorang yang ingin membunuh orang kafir (di dalam peperangan) namun tersilap terbunuh orang Islam.

Al-Nisyan (النسيان) pula apabila teringat untuk melakukan sesuatu namun terlupa ketika melakukannya. Kedua-duanya (tersilap dan terlupa) termasuk di dalam perkara yang dimaafkan tidak dikira berdosa, namun tidak menafikan terdapatnya hukum jika seseorang itu terlupa. Sebagai contoh, seseorang yang solat terlupa untuk berwudhu’ dan menyangka dia solat dalam keadaan berwudhu’ maka dia tidak berdosa. Kemudian, jika dia teringat yang solatnya tadi dalam keadaan berhadas (yakni tidak mempunyai wudhu’) maka wajib ke atasnya untuk mengulangi semula solat tersebut. (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 3/1113).

Ini berbetulan dengan firman Allah SWT:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah.

(Surah al-Baqarah: 286)

Al-Istikrah (الإستكراه) pula terjadi bila mana seseorang membenci akan sesuatu yang haram namun tidak dapat menolak daripada melakukannya. Dalam erti kata lain, dia dipaksa melakukannya. Apabila seseorang dipaksa untuk melakukan sesuatu yang dibencinya atau lebih tepat dalam konteks perbincangan kita ini dipaksa melakukan sesuatu perbuatan yang haram, maka dia terlepas daripada menanggung dosa tersebut. Sebagai contoh, seorang Muslim dipaksa untuk meminum arak, jika dia tidak minum maka akan dibunuh. Maka minumlah dia dalam keadaan terpaksa sedangkan hatinya membenci perbuatannya itu. Allah SWT berfirman:

مَن كَفَرَ بِاللَّهِ مِن بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَٰكِن مَّن شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِّنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan daripada Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.

(Surah al-Nahl: 106)

Kedua: Luasnya rahmat Allah dan kasih sayang-Nya terhadap hamba- Nya dengan sebab itu Dia tidak menghukum hamba-Nya walaupun melakukan maksiat kerana dengan tiga sebab yang disebutkan dalam hadis ini. Ini kerana ia termasuk dalam tidak ditaklifkan.

Ketiga: Hadith ini menunjukkan bahawa segala yang haram di dalam ibadat atau lainya jika dilakukan oleh seorang secara jahil atau lupa ataupun dipaksa maka tidak dikira kesalahan atau dikenakan hukuman jika berkaitan hak Allah. Adapun hak manusia dia tidak dimaafkan begitu sahaja bahkan dikenakan dhaman atau gantian sekalipun dimaafkan dari sudut dosanya.

Aplikasi Hadith dalam Kehidupan

Sebenarnya rahmat Allah kepada manusia amatlah luas. Justeru hendaklah kita sentiasa berdoa kepada Allah untuk mendapatkan rahmat-Nya dan keampunan-Nya. Allah sekali-kali tidak mentaklifkan kepada kita kecuali mengikut kadar kemampuan kita. Benarlah firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

(Surah al-Baqarah: 286)

Ibn Hajar berkata: “Sesungguhnya kemaafan yang diberikan disebabkan tersalah, terlupa dan terpaksa adalah kerana tuntutan hikmah dan pemerhatian Allah. Sedangkan, seandainya Allah SWT menghukumnya, maka Dia tetap dikatakan adil. Ini disebabkan tujuan dan faedah daripada taklif yang diberikan adalah membezakan di antara orang yang taat dengan orang yang ingkar. Ini supaya orang yang binasa dibinasakan berdasarkan keterangan yang jelas dan orang yang dimuliakan, mereka dimuliakan berdasarkan keterangan yang jelas. Setiap perbuatan taat dan maksiat memerlukan kepada niat untuk diberi pahala atau dosa. Ketiga-tiga golongan yang disebutkan di dalam hadis tidak mempunyai niat. Dua yang pertama (iaitu orang yang tersalah atau terlupa) sudah jelas tidak mempunyai niat. Manakala orang yang ketiga (iaitu orang yang dipaksa melakukan sesuatu) niatnya terletak pada orang yang memaksanya, bukan padanya kerana yang dipaksa dianggap sebagai alat sahaja. Bertitik tolak dari sini, maka kebanyakkan ahli usul berpendapat bahawa golongan ini tidak mempunyai taklif (tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap perbuatannya).”

Perkara yang dinyatakan dalam hadis ini merupakan antara perkara yang dikategorikan sebagai keistimewaan bagi umat Nabi Muhammad SAW dan ia tidak didapati pada umat sebelumnya.

Semoga Allah menjadikan kita golongan yang sentiasa berniat ke- arah kebaikan. Amin.

Info Lanjut: Bagi kefahaman yang lebih jelas dan menyeluruh berkenaan hadith di atas, anda boleh rujuk di buku kami, “Al-Kafi Syarah Hadis 40 karya Imam Nawawi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a‘lam.