#5393: Hari Ketiga Peperangan al-Qadisiyyah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana suasana peperangan pada hari ketiga dalam peperangan al-Qadisiyyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada hari sebelumnya menyaksikan ketibaan pasukan bantuan yang dipimpin oleh al-Qa’qa’. Namun, pasukan bantuan lain dari Syam belum ada yang tiba. Lantas pada malamnya, al-Qa’qa’ tidak tidur, sebaliknya beliau dan para panglima sibuk mengatur taktik baru untuk membangkitkan semangat tentera Islam dan menakutkan tentera musuh.

Pada malam tersebut, al-Qa’qa’ memerintahkan sebanyak 1000 pasukan berkudanya untuk menyusup secara senyap-senyap ke belakang garis pertempuran, iaitu dari arah datangnya tentera Syam. Al-Qa’qa’ membahagikan mereka kepada sepuluh kelompok sehingga setiap kelompok terdiri daripada seratus pasukan berkuda.

Al-Qa’qa’ mengarahkan mereka, agar apabila terbitnya matahari pada hari ketiga, satu kelompok bergerak mara ke medan perang. Lalu kemudian diikuti oleh kelompok-kelompok lain secara berperingkat.

Keesokan harinya, mereka pun melaksanakan perancangan tersebut. Tatkala perancangan tersebut sedang berjalan, maka pasukan bantuan dari Syam pun tiba, yang dipimpin oleh Hasyim bin Utbah ibn Abi Waqqas.

Hasyim kemudian memahami taktik yang diatur oleh al-Qa’qa’. Oleh itu, dia mengarahkan pasukannya bergabung bersama pasukan al-Qa’qa’ dan meneruskan taktik yang telah dirancang tersebut.

Hal ini memberikan pengaruh yang besar dalam menjatuhkan semangat tentera pasukan Parsi.

Pada hari ketiga ini juga, pasukan bergajah kembali ke medan perang. Tetapi mereka menempatkan beberapa orang tentera pejalan kaki di sekitar gajah bagi tujuan melindunginya.

Panglima Sa’ad bin Abi Waqqas yang menyedari bahaya pasukan bergajah, beliau pun memanggil dan bertanya kepada sejumlah orang Parsi yang telah memeluk Islam tentang kelemahan gajah-gajah tersebut, agar ia dapat ditundukkan. Mereka menyatakan kelemahan pada belalai dan matanya.

Lantas, Panglima Sa’ad mengarahkan al-Qa’qa’ dan saudaranya ‘Asim untuk menundukkan gajah berwarna putih yang merupakan ketua bagi gajah-gajah yang lain. Begitu juga Hammal ibn Malik dan al-Rabil ibn ‘Amru turut diarahkan untuk membantu membunuh gajah kelabu atau hitam.

Al-Qa’qa’ dan Hammal berjaya memotong belalai dan menombak mata gajah. Hal ini menjadikan gajah-gajah lain bingung dan lari kucar-kacir dari medan perang. Ini menyebabkan peti yang ada di atas gajah juga jatuh yang menyebabkan tentera Islam bersama Qa’qa’ dan Asim dapat membunuh mereka.

Tatkala itu, pasukan Parsi mulai tempang. Peperangan berlangsung selama 24 jam tanpa henti.

Pada hari ini, pemimpin mereka Yazdagrid telah menghantar bantuan dan tambahan tentera di Qadisiyyah. Justeru, perang saling bertukar kemenangan di antara dua pihak. Antara kelebihan mereka juga, bersama mereka dengan adanya gajah yang dapat memporak-perandakan barisan tentera Islam.

Peperangan ini berlangsung sehingga petang yang berakhir dengan kemenangan tentera Islam.

Malam al-Harir

Ia merupakan malam yang bersambung dengan hari Amas iaitu hari ketiga yang pada mulanya hanya mengacah panah serta melontar secara jarak jauh. Salah satu panah mengenai Khalid bin Ya’mur al-Tamimi. Ia menyebabkan al-Qa’qa’ amat marah. Tanpa meminta izin daripada Panglima Tentera Sa’ad, beliau terus menyerang.

Apabila Sa’d bin Abi Waqqas mengetahui, Sa’ad berdoa untuk Qa’qa’:

اللَّهُمَّ اغْفِرْهَا لَهُ، وَانْصُرْهُ، قَدْ أَذِنْتُ لَهُ إِذْ لَمْ يَسْتَأْذِنِّي.

Maksudnya: “Ya Allah, ampunlahnya bagi Qa’qa’ dan menangkanlah dia. Sesungguhnya aku telah mengizinkannya sekalipun dia tidak meminta izin daripadaku.”

Sa’ad juga mengarahkan untuk terus mara ketika mendengar takbir ketiga, tetapi umat Islam tidak menanti hingga takbir ketiga, bahkan selepas takbir pertama kabilah Bani Asad, kemudian Bani Nakha’, Bani Bujailah dan Bani Kindah telah menyerangnya dan bersama-sama dengan al-Qa’qa’.

Perlawanan ini berlangsungan dua pihak sampai ke malam dan tiadalah mereka mendengar kecuali bunyi lagaan pedang sehinggalah Sa’ad berdoa kerana tidak dapat meneka apa yang sedang berlaku, agar Allah SWT memberi pertolongan kepada orang Islam. Tiba-tiba Sa’ad mendengar suara Qa’qa’ yang bersyair menyatakan bahawa mereka telah membunuh ramai musuh Islam.

Atas asas itulah, Sa’ad menyangka pembukaan dan kemenangan pada orang Islam. Dan serangan waktu malam yang dilakukan Qa’qa’ bersama pasukannya adalah bentuk yang pertama, yang di luar kebiasaan tentera Islam dalam peperangan terutamanya orang Arab. Ini adalah kesan yang amat besar membawa kemenangan kepada pihak Islam. Bahkan sebahagian ahli sejarah menganggap serangan waktu malam ini menjadi penentu utama berakhirnya peperangan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:  “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”

 Riwayat al-Bukhari (6393)

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”

 Riwayat al-Bukhari (2965)