Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan dengan ikrah dan bolehkah Dato jelaskan syarat-syaratnya?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Definisi Paksaan (Ikrah)
Menurut bahasa Arab: Ikrah atau paksaan ialah perbuatan mendesak seseorang melakukan sesuatu yang tidak disukainya. Dengan kata lain, ia bermaksud memaksa seseorang melakukan sesuatu yang bercanggah dengan kesukaan dan kerelaannya. Dengan ini, paksaan ialah lawan kepada kesukaan dan persetujuan. Firman Allah SWT:
طَوْعًا أَوْ كَرْهًا
Maksudnya: Dengan sukarela atau dengan paksa.
(Surah al-Fussilat: 11)
Firman Allah SWT:
وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu.
(Surah al-Baqarah: 216)
Dalam bahasa Arab, ia juga disebut sebagai al-Ighlaq (الإغلاق) yang bermaksud menutup. Ini kerana orang yang dipaksa telah ditutup segala ruang untuk keluar melainkan dengan melakukan apa yang dipaksa.
Menurut istilah syara’: Paksaan ialah desakan supaya melakukan sesuatu kerana tekanan. Menurut Imam al-Syafie, paksaan ialah berada di bawah penguasaan orang yang tidak mampu dihalangnya.
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat sebelas syarat-syarat terjadinya paksaan. Sesuatu tindakan hanya akan dianggap sebagai suatu paksaan dan membabitkan implikasi syara’ apabila ia memenuhi syarat-syarat berikut:
1. Orang yang memaksa berkemampuan melaksanakan ancamannya. Jika tidak, ia hanya dikira sekadar gurauan. Ini kerana, kebenaran untuk melakukan perkara yang dipaksa kerana darurat hanya diberikan apabila orang yang memaksa benar-benar berkuasa.
2. Orang yang dipaksa merasakan besar kemungkinan orang yang memaksa akan melaksanakan apa yang dikatakannya dan apa yang diancamnya jika tuntutannya tidak dipenuhi.
3. Orang yang dipaksa tidak mampu membebaskan diri daripada orang yang memaksa dan juga paksaan tersebut. Sama ada dengan cara melarikan diri, melawan, meminta bantuan atau sebagainya.
4. Orang yang dipaksa mestilah orang yang tidak dibenarkan melakukan apa yang dipaksa sebelum dia menerima paksaan tersebut atas sebab-sebab tertentu. Contohnya tindakan tersebut mengancam hak miliknya seperti memusnahkan hartanya sendiri, atau ia mengancam hak milik orang lain seperti memusnahkan harta orang lain, atau kerana hak syara’ seperti minum arak, berzina dan sebagainya.
5. Ancaman yang dikenakan mestilah lebih berat bagi orang yang dipaksa berbanding perbuatan yang dipaksa. Oleh itu sesiapa yang diancam akan ditempeleng sekiranya tidak memusnahkan hartanya dalam keadaan ditempeleng adalah lebih ringan baginya berbanding memusnahkan hartanya sendiri, maka ia tidak dianggap sebagai paksaan. Sebaliknya, jika mangsa diancam akan dibunuh jika tidak mahu memotong tangannya, ia dikira sebagai paksaan. Ini kerana ancaman bunuh adalah lebih berat berbanding perkara yang dipaksa iaitu memotong tangan. Dalam keadaan ini, dia boleh memilih perkara yang lebih ringan.
Menurut riwayat yang sahih daripada Aisyah R.Anha katanya:
مَا خُيِّرَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بَيْنَ أَمْرَيْنِ أَحَدُهُمَا أَيْسَرُ مِنَ الآخَرِ إِلاَّ اخْتَارَ أَيْسَرَهُمَا
Maksudnya: “Setiap kali Rasulullah SAW diberi pilihan antara dua perkara, dan salah satu daripadanya adalah lebih mudah daripada yang satu lagi, Baginda akan memilih yang lebih mudah.”
Riwayat al-Bukhari (6786)
6. Dengan melakukan perkara yang dipaksa, ia mestilah melepaskan orang yang dipaksa daripada ancaman. Jika seseorang berkata: “Bunuhlah diri kamu, jika tidak saya akan bunuh kamu.” Ancaman ini tidak dianggap sebagai paksaan kerana dengan membunuh diri, ia tidak melepaskan dirinya daripada ancaman.
Demikian juga jika seseorang diancam untuk dipotong tangannya, jika dia tidak mahu memotong tangannya sendiri. Dalam keadaan ini, orang yang dipaksa tidak boleh melaksanakan paksaan tersebut kerana pada hakikatnya dia sebenamya tidak dipaksa. Ini kerana orang yang dipaksa sebenarnya mestilah terlepas daripada ancaman jika dia melakukan apa yang dipaksa.
Jika dia sendiri membunuh dirinya atau memotong tangannya, bahaya sudah pasti berlaku kerana dia sendiri yang melaksanakannya. Namun jika dia tidak dilakukannya, ancaman tersebut masih belum pasti berlaku. Mungkin orang tersebut hanya memaksa tetapi tidak akan melakukannya.
7. Ancaman tersebut mestilah bersifat serta-merta. Paksaan tidak wujud jika ancaman tersebut diberikan tempoh tertentu. Ini kerana dengan tempoh yang ada, mungkin orang yang dipaksa boleh menyelamatkan dirinya dengan meminta tolong, menuntut perlindungan pihak berkuasa atau sebagainya.
8. Orang yang dipaksa tidak boleh melakukan selain daripada perkara yang dipaksa, ataupun melakukan melebihi apa yang dipaksa, ataupun melakukan kurang daripada perkara yang dipaksa. Ini kerana jika dia melakukan salah satu daripada tiga perkara ini, dia dikira sebagai menurut perintah dan bukan lagi dipaksa.
Contohnya, apabila seseorang dipaksa menceraikan isterinya, tetapi dia menjual rumahnya. Demikian juga jika dia dipaksa menceraikan isterinya dengan talak satu tetapi dia menceraikannya dengan talak tiga. Begitu juga jika dia dipaksa menceraikan isterinya dengan talak tiga tetapi dia menceraikannya dengan talak satu.
Dalam ketiga-tiga kes di atas, tindakan mereka dianggap berkuatkuasa. Ini bermakna dia tertakluk kepada hukum dan kesan daripada tindakannya, sama seperti jika dia melakukannya dengan pilihannya sendiri. Ini kerana tindakan ini tidak dianggap sebagai paksaan.
9. Perkara yang dipaksa mestilah telah ditentukan dan mestilah hanya satu. Jika seseorang dipaksa menceraikan salah seorang isterinya atau, membunuh Zaid atau Amru, tindakan ini tidak dianggap sebagai paksaan.
10. Perkara yang diancam mestilah tidak berhak diperlakukan sedemikian. Contohnya seorang muflis yang tidak dibenarkan menguruskan hartanya dipaksa supaya menjual hartanya. Begitu juga orang yang melafazkan ila kemudian dipaksa untuk menceraikan isterinya.
Demikian juga orang yang membunuh dengan sengaja diugut untuk dikenakan qisas. Semua ini sebenarnya bukan paksaan kerana paksaan- paksaan ini memang berhak diterima oleh orang yang dipaksa.
11. Perkara yang dipaksa mestilah bukan hak pemaksa yang akan digunakan untuk memperolehi sesuatu yang bukan hak atau tanggungjawabnya.
Contohnya suami mengancam isteri bahawa dia akan menceraikannya jika si isteri tidak memansuhkan hutangnya kepada isterinya itu. Ancaman ini bukan suatu paksaan. Jika si isteri melupuskannya, hutang tersebut dianggap lupus dan dia tidak berhak menuntutnya kembali selepas itu.
Walau bagaimanapun, sesetengah ulama berpendapat, ancaman ini dianggap sebagai suatu paksaan kerana suami mempunyai kuasa ke atas isteri. Dengan ini, wujud unsur paksaan. Berdasarkan pendapat ini, jika si isteri melupuskan hutang untuk melepaskan diri daripada ancaman tersebut, suami masih bertanggungjawab membayar hutang tersebut. Malah isteri berhak menuntutnya selepas itu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji,7/195)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”