#5398: Pengertian Ringkas Berkenaan Hudud

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan, apa maksud hudud?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Hudud

Hudud menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat adalah hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, dan tidak boleh diubah-ubah oleh manusia, seperti hukum zina, murtad, dan minum arak.

Ia merupakan kata pinjaman bahasa Arab (الحُدُودُ) dan juga jamak kepada kalimah al-had (الحَدُّ), yang bermaksud menghalang. Ia digunakan untuk merujuk kepada hukuman yang telah ditetapkan oleh syara‘ ke atas pelaku jenayah. Ia dinamakan demikian kerana hukuman ini menjadi sebab yang menghalang pesalah itu dari mengulangi kesalahan tersebut, serta menghalang sesiapa sahaja yang berhasrat untuk melakukannya.

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji pula mendefinisikan al-had (الحَدُّ) sebagai suatu hukuman yang telah ditetapkan oleh syara‘, dan ianya tidak boleh ditokok tambah atau dikurangkan ketetapannya.

Justeru, kami katakan agama Islam didatangkan untuk memelihara semua elemen utama ini di samping mengelak sebarang perkara yang tidak baik. Atas dasar ini, menurut para ulama’, Islam datang untuk menggarap semua kebaikan dan menghindar semua keburukan.

Dengan landasan ini, Islam menggariskan pelbagai undang-undang, seperti hudud dan ta’zir yang akan dikenakan ke atas sesiapa sahaja yang cuba menggugat kelima-lima elemen utama tersebut. Berikut adalah penjelasan mengenai hudud dan ta’zir. Di sini juga dijelaskan sejauh mana kesungguhan Islam dalam menjalankan undang-undang ini agar manusia beroleh kebahagiaan yang diimpikan.

Kategori Hukuman

Hukuman boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu hudud dan ta’zir.

Pengertian Hudud

Hudud ialah hukuman yang telah ditetapkan kadarnya oleh syara’. Hukuman ini tidak boleh ditambah atau dikurangkan atas nama hukum hudud. Ia juga hanya boleh dilaksanakan oleh pemerintah atau wakil yang dilantiknya.

Pengertian Ta’zir

Ta’zir ialah hukuman yang tidak ditetapkan oleh syara’. Hukuman ini dilaksanakan berdasarkan pandangan pemerintah.

Hukuman Hudud

Hudud ialah hukuman yang telah ditetapkan dan melibatkan enam jenis jenayah iaitu zina, tuduhan zina, mencuri, minum minuman yang memabukkan, merompak (hirabah) dan murtad. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/54)

Akhir kalam, semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam melaksanakan segala titah perintahNya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”