#5400: Kesudahan Peperangan al-Qadisiyyah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan natijah dan keputusan akhir dalam peperangan al-Qadisiyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tatkala api peperangan terus berkobar, para tentera Islam terus mara untuk menggempur pasukan musuh. Apabila tergelincirnya matahari pada hari akhir tersebut, tiba-tiba angin berhembus kencang sehingga memporak-perandakan khemah-khemah tentera Parsi, termasuklah khemah milik Rustum. Suasana menjadi samar dan dipenuhi debu. Sebelum waktu Asar, pasukan tentera Islam telah berjaya memenangi Perang Qadisiyyah.

Akhirnya tentera penyembah api itu mengalami kekalahan yang teruk dan lari kucar-kacir. Tentera Islam terus mengejar dan membunuh mereka, ke mana sahaja mereka melarikan diri, sama ada ke arah sungai, gunung mahupun lembah. Sebanyak 8000 orang syahid di pihak Islam, manakala yang terbunuh di pihak Parsi adalah tidak terhitung jumlahnya. Ada yang mengatakan bahawa jumlah korban di pihak musuh adalah seramai 40,000 orang.

Berakhirlah Peperangan al-Qadisiyyah yang bersejarah; peperangan yang menentukan kejatuhan Empayar Parsi, kuasa besar dunia di timur. Peristiwa ini menepati janji Allah SWT dalam al-Quran dan janji Rasulullah SAW pada masa hayatnya, ketika perjalanan bersama Abu Bakar RA ketika berhijrah lagi.

Demikian juga, janji yang dinyatakan dengan tegas oleh Baginda SAW kepada para sahabat RA ketika Madinah dikepung musuh dalam Peperangan Ahzab. Itulah janji yang menjadi tanda kerasulan Baginda SAW. Sabdanya:

 اللهُ أَكْبَرُ، أُعْطِيتُ مَفَاتِيحَ فَارِسَ، وَاَللهِ إنّي لَأُبْصِرُ قَصْرَ الْمَدَائِنِ الْأَبْيَضَ

Maksudnya: “Allah Maha Besar! Aku telah dikurniakan kunci-kunci istana dari negeri Parsi dan dengan nyata aku melihat istana putih yang terletak di al-Madain.”

Riwayat Ahmad (18695), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (8858), al-Ruyani dalam al-Musnad (410) dan al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah (3/421). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya dha’if dalam takhrij al-Musnad.

Sa’ad RA mengarahkan tenteranya untuk terus mengasak dengan menyerang tentera musuh yang berundur dan menawan kawasannya. Seterusnya, beliau menunggu arahan Khalifah bagi menawan al-Madain, pusat pentadbiran Kerajaan Parsi.

Sa’ad bin Abi Waqqas RA menghantar Sa’ad bin ‘Umailah al-Fazari menjadi utusan kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA. Beliau membawa bersamanya sepucuk surat bagi melaporkan kemenangan besar tentera Islam:

“Sesungguhnya, Allah telah mengurniakan pertolongan-Nya kepada kita bagi mengalahkan Parsi, Allah timpakan ke atas musuh itu apa yang pernah dijatuhkan ke atas mereka yang terdahulu dalam kalangan penganut agama mereka. Selepas peperangan itu memakan masa yang panjang dan diharungi dengan cabaran yang sangat hebat.

Musuh itu berhadapan dengan kaum Muslimin, yang sangat sedikit kelengkapannya. Lawan yang tidak pernah mereka lihat selemah itu. Tiba-tiba, keadaan itu tidak memberikan apa-apa faedah kepada musuh. Bahkan, kelengkapan musuh dapat dirampas dan jatuh ke tangan tentera Islam.

Seterusnya, tentera Islam memburu musuh itu di sungai-sungai, jalan-jalan, lembah-lembah, dan tanah tinggi. Namun begitu, ramai juga yang gugur syahid, antaranya Sa’ad bin ‘Abdullah iaitu seorang qari (pembaca al-Quran yang mahir) dan ramai lagi dalam kalangan pahlawan Islam yang gugur syahid, Allah SWT sahaja yang mengetahui akan keadaan semua yang syahid. Mereka membaca al-Quran dengan suara yang berkumandang pada malam hari, dan laksana singa yang gagah pada waktu siang apabila menghadapi musuh.

Tiada yang boleh menandingi kelebihan mereka yang syahid itu, sehinggalah orang yang telah berjuang dengan mereka dan masih berjuang, melainkan orang-orang yang telah diberikan kelebihan mati syahid.” (Lihat Tarikh al-Rusul wa al-Muluk, 3/544)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:  “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”

 Riwayat al-Bukhari (6393)

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”

 Riwayat al-Bukhari (2965)