#5403: Permainan Sukan Memanah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum bermain sukan memanah? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Memanah

Dalam bahasa Arab, lafaz munadhalah (المناضلة) menggunakan wazan mufa’alah (مفاعلة). Asal perkataannya ialah al-Nadhlu (الفضل) yang bermaksud melontar atau memanah. “Kaum itu bermunadhalah” bermaksud sama-sama melontar atau memanah supaya terserlah kemahiran masing-masing dalam melontar atau memanah. Ia sama ertinya dengan mukafahah (المكافحة) dan muqawamah (المقاومة).

Melontar menggunakan panah atau senjata bermaksud menggunakannya dengan cara yang betul dalam menentang musuh.

Munadhalah menurut istilah syara’ ialah persaingan antara dua orang peserta atau lebih dalam menunjukkan kemahiran menggunakan senjata atau memanah sesuatu sasaran. Ia dilakukan untuk mendapat ganjaran harta dengan beberapa syarat tertentu.

Hukum Munadhalah dan Dalilnya

Munadhalah adalah sunnah sebagai mana yang dinyatakan dalam tajuk perlumbaan sebelum ini, selagi ia dilakukan sebagai persediaan untuk berjihad dan menakutkan musuh. Sekiranya tujuannya ialah untuk berbangga- bangga atau menindas orang yang tidak bersalah, pertandingan senjata tersebut dianggap sebagai dosa. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/159)

Ini berpandukan kepada kaedah “Setiap perkara mengikut niat asalnya.” Dalil yang menunjuk pertandingan senjata ini dibenarkan dan digalakkan ialah firman Allah SWT:

وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ

Maksudnya: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan.

(Surah al-Anfal: 60)

Kekuatan di dalam ayat ini ditafsirkan oleh Nabi SAW sebagai memanah.

Nabi SAW bersabda:

أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa kekuatan itu adalah memanah.”

Riwayat Muslim (1917)

Daripada Salamah bin al-Akwa’ RA, katanya:

مَرَّ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم عَلَى نَفَرٍ مِنْ أَسْلَمَ يَنْتَضِلُونَ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ ارْمُوا بَنِي إِسْمَاعِيلَ، فَإِنَّ أَبَاكُمْ كَانَ رَامِيًا ارْمُوا وَأَنَا مَعَ بَنِي فُلاَنٍ ‏”‏‏.‏ قَالَ فَأَمْسَكَ أَحَدُ الْفَرِيقَيْنِ بِأَيْدِيهِمْ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ مَا لَكُمْ لاَ تَرْمُونَ ‏”‏‏.‏ قَالُوا كَيْفَ نَرْمِي وَأَنْتَ مَعَهُمْ‏.‏ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ ارْمُوا فَأَنَا مَعَكُمْ كُلِّكُمْ

Maksudnya: “Nabi SAW lalu berdekatan sekumpulan lelaki qabilah Aslam yang sedang bertanding kemahiran menggunakan senjata. Baginda pun bersabda: “Memanahlah, wahai Bani Ismail, kerana sesungguhnya bapa kamu adalah seorang pemanah. Memanahlah, dan saya bersama bani fulan.” Salamah berkata: “Lantas salah satu kumpulan itu berhenti memanah.” Rasulullah SAW pun bersabda: “Kenapa kamu tidak memanah?” Mereka menjawab: “Bagaimana kami mahu memanah, sedangkan tuan bersama mereka.” Baginda pun bersabda: “Panahlah, saya bersama kamu semua.”

Riwayat al-Bukhari (2743)

Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ سَبْقَ إِلاَّ فِي خُفٍّ أَوْ فِي حَافِرٍ أَوْ نَصْلٍ

Maksudnya: “Tiada perlumbaan (tidak harus berlumba) melainkan dengan unta, kuda atau anak panah.”

Riwayat Abu Daud (2574) dan al-Tirmizi (1700)

Saidina Umar bin al-Khattab R.A telah menyeru kepada kita semua untuk mengambil sebab ini dalam mentarbiah anak-anak kita berkenaan dengan tadrib dan latihan, dalam menggunakan senjata-senjata seperti memanah dan lain-lain, untuk memelihara hak-hak dan juga memelihara kekuatan ummah serta menggerunkan pihak musuh. (Lihat Laisa min Qaul al-Nabi, hlm. 52-53)

Apatah lagi ia juga dilihat selari dengan pepatah Arab yang menyebutkan:

الْعَقْلُ السَّلِيمُ فِي الجِسْمِ السَّلِيمِ

Maksudnya: “Akal yang sihat terdapat pada tubuh badan yang sihat.”

Akhir kalam, semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya.