Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh kisahkan kepada kami, bagaimana pintarnya Tulaihah bin Khuwailid al-Asadi dalam melaksanakan misi yang diarahkan oleh panglima tentera Islam, Sa’ad bin Abi Waqqas R.A sebelum peperangan al-Qadisiyyah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Syeikh Mahmud al-Misri menyebut dalam Ashab al-Rasul (3/413):
Demi Rabb, lihatlah apa yang telah dilakukan oleh si pemberani yang setara dengan sebuah pasukan penuh sebelum pertempuran Qadisiyyah.
Panglima Sa’ad R.A mengutuskan Tulaihah bin Khuwailid dan ‘Amr bin Ma’dikarib al-Zubaidi dalam sebuah pasukan kecil sebagai pasukan hadapan untuk melakukan tugas pemantauan. Dan Tulaihah sendiri ditugaskan untuk memantau khemah milik Rustum. Manakala ‘Amr bersama lima orang anak buahnya ditugaskan untuk mengawasi khemah Jalinus. Sa’ad memerintahkan mereka agar menangkap salah seorang daripada tentera pasukan Parsi untuk mendapatkan maklumat daripadanya.
Tatkala Tulaihah dan ‘Amr melalui jambatan Qadisiyyah, di mana mereka belum berjalan kecuali hanya satu Farsakh lebih sedikit (sekitar 7km), mereka pun melihat pasukan berkuda yang sangat besar dan kekuatan pasukan Majusi yang bergerak dengan persenjataannya telah memenuhi kawasan tanah tinggi di pinggiran Iraq. Sebahagian mereka berkata: “Pulanglah menemui pemimpin kamu semua. Kerana dia telah memberikan kebebasan kepada kita. Dia menyangka tentera Parsi itu berada di Najf, (namun ternyata, mereka sudah dekat dengan kita), lalu khabarkan tentang perkara ini.”
Sebahagian yang lain berkata: “Pulanglah, jangan sampai musuh mengetahui tentang keberadaan kita, lalu berwaspada dan bersiap-siaga untuk menyerang.”
‘Amr berkata: “Kamu semua benar.”
Sedangkan Tulaihah berkata: “Kamu semua dusta. Kamu semua bukan diutuskan untuk urusan tugas yang bebas. Tetapi kamu diutuskan tidak lain adalah untuk mendapatkan maklumat.”
Mereka berkata: “Apa yang kamu inginkan?”
Dia berkata: “Aku akan terus mara kepada orang-orang Parsi itu atau aku mati.”
Mereka berkata: “Engkau seorang lelaki yang di dalam dirimu ada kelicikan. Kamu tidak akan beruntung setelah membunuh ‘Ukkasyah bin Mihsan. Pulanglah bersama kami!”
Dia tetap menolak. Maka mereka pun berpisah.
Sementara Tulaihah bertekad untuk meneruskan rencananya untuk pergi menuju ke khemah Rustum dalam satu aksi nekad yang berbahaya. (Lihat Tarikh al-Tabari, 3/512)
Dan sejak Tulaihah memisahkan diri daripada ‘Amr, dia terus berusaha memasuki ke tengah khemah-khemah pasukan Rustum seorang diri. Perlu diketahui, perkhemahan Rustum itu menampung lapan puluh ribu tentera, dan sebanyak itu juga para pembantu atau orang suruhan dan pasukan pengawal khusus. Akan tetapi, itulah keberanian dan keperwiraan para pahlawan, Tulaihah.
Dia berjalan melawan arus sumber air yang muncul dari sungai-sungai, paya-paya yang terdedah dengan buaya dan binatang buas dengan secara sembunyi yang sentiasa dikawal oleh pengawal-pengawal setia di tempat-tempat yang tertentu, sehingga berjaya memasuki kawasan perkhemahan Panglima tentera Parsi iaitu Rustum. Dia memasukinya pada malam purnama. Dia tinggal semalaman untuk mendapatkan maklumat. Sebagai orang yang meminati kecekapan berkuda, dia amat menyukai kuda-kuda. Lalu dia melihat seekor kuda yang belum pernah dia lihat yang seumpamanya dalam kelompok kuda-kuda milik Rustum. Dia juga melihat khemah putih yang belum pernah dia melihat seumpamanya.
Lalu dia menghunus pedangnya, kemudian memotong tali kendali kuda itu, lalu mengikatnya ke tali kendali kudanya, kemudian dia berjalan membawa kudanya dan keluar melompat-lompat dengan kudanya itu.
Rupanya, orang-orang Parsi menyedari apa yang telah berlaku. Mereka saling berteriak memanggil, lalu mereka menunggang yang liar dan yang jinak. Sebahagian mereka terburu-buru sehingga terlupa memasang pelana kudanya.
Kemudian mereka mengejar dan berusaha keras untuk menjejakinya. Salah seorang pahlawan tentera berkuda Parsi berjaya menyusulinya pada waktu pagi hari. Tatkala orang itu menemuinya dan membidikkan tombaknya untuk menikamnya, Tulaihah mengelakkan kudanya dan berjaya mengelak dari sasaran tombak orang Parsi itu.
Keadaan pun menjadi berubah. Sekarang giliran orang itu yang ada di hadapan Tulaihah. Maka Tulaihah pun menyerangnya dan berjaya menikamnya dengan tombak sehingga tembus ke belakangnya.
Setelah itu, dia segera meneruskan perjalanan. Akan tetapi, ternyata ada tentera Parsi yang lain, yang berjaya menjejakinya. Lalu dia melakukan seperti apa yang dilakukannya terhadap orang pertama tersebut. Setelah itu, dia melompat ke atas kudanya dan beredar untuk meneruskan perjalanan.
Namun, ternyata orang ketiga dari tentera pasukan Parsi juga berjaya menjejakinya. Orang ini melihat bahawa kedua-dua rakannya yang mendahuluinya telah mati terbunuh. Dua orang yang terbunuh tersebut tidak lain adalah putera-putera bapa saudaranya sendiri. Maka bertambahlah kemarahannya terhadap Tulaihah.
Tatkala dia berjaya menjejaki Tulaihah dan membidikkan tombaknya ke arah Tulaihah untuk menikamnya, Tulaihah mengelakkan kudanya (dengan menghentikannya secara tiba-tiba), sehingga bidikan orang Parsi itu tersasar dan bahkan sekarang dia berada di hadapan Tulaihah. Maka giliran Tulaihah pula untuk menyerang balas dengan membidikkan tombaknya ke arahnya.
Tetapi Tulaihah tidak membunuhnya, dan sebaliknya dia menawan tentera Parsi tersebut. Tentera Parsi itu sedar bahawa dai akan terbunuh, oleh itu dia menyerah kalah. Ketika itu, keduanya telah ada berhampiran perkhemahan tentera Islam.
Tulaihah menyuruh tentera Parsi itu berjalan di hadapannya sementara Tulaihah menggiringnya dari belakangnya dengan tombaknya, dan masih tetap berada di atas kudanya.
Tentera Parsi itu mengikuti perintahnya. Ketika saat itulah, sejumlah tentera pasukan Parsi datang dengan menelusuri jejak keduanya. Mereka melihat dua pahlawan berkuda mereka terbunuh, sementara yang ketiga ditawan dengan berjalan di hadapan Tulaihah. Keduanya telah hampir memasuki kawasan perkhemahan tentera Islam. Oleh kerana itu, pasukan Parsi itu tidak jadi mengejar dan berpatah balik ke kawasan mereka semula.
Lalu datanglah Tulaihah di atas kudanya sambil menarik kuda yang dirampasnya di belakangnya, manakala tawanannya berjalan di hadapannya. Tulaihah memasuki perkhemahan tentera Islam sehingga menjadikan mereka cemas. Kemudian mereka pun mengizinkannya masuk setelah mengenalinya.
Tulaihah pun pergi menemui Sa’ad, lalu Sa’ad bertanya kepadanya: “Duhai engkau, apa yang engkau bawa di belakangmu?”
Tulaihah berkata: “Aku telah memasuki khemah mereka dan menyusup ke sana malam tadi. Dan aku juga telah mengambil orang yang paling baik firasatnya dari kalangan mereka. Aku tidak tahu, apakah aku benar atau keliru. Ini dia, soal siasatlah dia.”
Sa’ad memanggil seorang penterjemah untuk menterjemahkan kepadanya percakapan antara dirinya dan tawanan itu. Tawanan Parsi itu berkata: Jika aku jujur, apakah kamu mahu menjamin keselamatan darahku?”
Sa’ad berkata: “Ya. Jujur dalam perang lebih kami suka daripada berdusta.”
Tawanan itu berkata: “Aku akan menceritakan kepada kamu semua tentang teman kamu ini (yakni Tulaihah), sebelum mengkhabarkan kepada kamu semua tentang orang-orangku.
Aku telah mengikuti banyak peperangan dan memenanginya. Aku juga telah mendengar berita tentang para pahlawan dan menemuinya. Bahkan sejak aku masih kanak-kanak hingga sampai usia yang kamu lihat ketika ini. Tetapi aku belum pernah melihat dan mendengar yang seperti ini, bahawa ada orang yang berani melintasi dua perkhemahan, di mana tidak ada pahlawan yang berani melakukannya, iaitu memasuki perkhemahan yang terdapat di dalamnya tujuh puluh ribu pasukan, di mana seorang lelaki dari mereka dilayani oleh lima hingga sepuluh orang hingga ke bawah.
Kemudian dia tidak ingin keluar sebagaimana ketika dia masuk menyusup. Sehingga dia merebut kuda tentera dan menghancurkan tali khemahnya. Lalu dia menakut-nakutkannya. Maka kami pun segera menyedari keberadaannya, lalu kami pun mengejarnya.
Ketika dia berjaya dijejaki oleh orang pertama kami, yang merupakan pahlawan berkuda yang setara dengan seribu pasukan berkuda, namun dia berjaya membunuhnya. Kemudian dia disusuli pula oleh orang kedua yang juga setara dengan yang pertama, namun dia juga berjaya membunuhnya.
Setelah itu, aku berjaya menyusulnya dan aku kira diriku tidak meninggalkan di belakangku orang yang setara denganku. Lebih-lebih lagi, aku adalah orang yang sedang dibakar oleh api dendam atas dua orang yang terbunuh sebelumku, yang tidak lain adalah putera-putera bapa saudaraku. Tetapi, akhirnya aku melihat kematian mengintaiku, maka aku lebih memilih untuk ditawan.”
Beliau turut berkata: “Ketahuilah, aku dan dua saudaraku itu dianggap panglima yang terbaik, seolah-olah setiap orang mewakili seribu orang.” Justeru, kehebatan Tulaihah menyamai tiga ribu orang. Itulah salah seorang panglima Islam yang gagah perkasa, dapat menyelesaikan kehendak panglima Sa’ad bin Abi Waqqas hanya seorang diri dengan jayanya.
Kemudian dia menyampaikan kepada Sa’ad bahawa jumlah pasukan Parsi adalah seratus dua puluh ribu anggota tentera, dan para pengikut mereka yang melayani dalam memenuhi keperluan mereka adalah seperti itu juga jumlahnya.
Setelah itu, tawanan Parsi tersebut menyatakan hasrat untuk masuk Islam atas keinginannya sendiri. Lantas Sa’ad memberinya nama Muslim. Dalam perang Qadisiyyah ini, dia memberikan sumbangan yang sangat besar. Tentera Islam memanfaatkan pengalamannya di tanah Parsi, kerana dia seorang tentera Parsi yang setara dengan seribu tentera berkuda.
(Lihat al-Qadisiyyah oleh Basyamil, hlm. 562; al-Qadisiyyah oleh ‘Adil Kamal, hlm. 95; Salah al-Ummah, hlm. 423; seperti dalam Ashab al-Rasul, 3/417)
Tulaihah bin Khuwailid merupakan salah seorang pemimpin yang memerangi riddah selepas wafatnya Nabi SAW tahun ke-11 H. Beliau pernah mendakwa dirinya sebagai nabi di kalangan kaumnya, Bani Asad yang akhirnya diikuti oleh kaum Tayy dan Ghatafan di bumi Najd, kecuali akhirnya dia bertaubat selepas kalah kepada Khalid al-Walid dalam peperangan Bazakhah. Kemudian dia memeluk Islam dan menyertai pelbagai pembukaan termasuk pembukaan Parsi dan terbunuh dalam peperangan Nahawand pada tahun 21 H.
Dikatakan beliau pernah menyertai peperangan Khandaq bersama dengan orang-orang musyrikin pada tahun ke-5 H dan telah memeluk Islam pada tahun 9 H. Beliau dikatakan telah membunuh salah seorang daripada sahabat Nabi SAW, Thabit bin Aqram dan Ukkasyah bin Mihsan. Antara ucapannya semasa mendakwa menjadi nabi di mana Khalid bin al-Walid pernah bertanya kepada sahabat Tulaihah, apa yang diucapkan oleh Tulaihah daripada wahyu? Dikatakan beliau menyebut dengan rekaan darinya yang menggambarkan kerajaannya akan menguasai Iraq dan Syam.
Selepas beliau memeluk Islam, beliau pergi bertemu dengan Umar al-Khattab R.A, maka kata Umar: Kamulah yang membunuh dua orang sahabat nabi yang soleh yakni Thabit bin Aqram dan Ukkasyah? Jawab Tulaihah: Allah muliakan keduanya dengan tanganku. Lantas jawab Umar: Demi Allah, aku tidak suka kamu selama-lamanya. Kata Tulaihah: Berinteraksi dengan baiklah wahai Amir al-Mukminin kerana orang lain berinteraksi bersama orang-orang dibenci. Hakikatnya Tulaihah benar-benar menzahirkan keislamannya.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)