#5406: Hadith 40: Allah Maha Pemurah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato kupas serba sedikit satu hadith berkaitan Allah itu Maha Pemurah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang Baginda riwayatkan daripada Rabbnya (Allah SWT) Yang Maha Suci dan Maha Tinggi, firman-Nya:

إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الحَسَناتِ والسَّيِّئاتِ، ثُمَّ بَيَّنَ ذلكَ، فمَن هَمَّ بحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْها، كَتَبَها اللَّهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كامِلَةً، وإنْ هَمَّ بها فَعَمِلَها، كَتَبَها اللَّهُ عزَّ وجلَّ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَناتٍ إلى سَبْعِ مِئَةِ ضِعْفٍ إلى أضْعافٍ كَثِيرَةٍ، وإنْ هَمَّ بسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْها، كَتَبَها اللَّهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كامِلَةً، وإنْ هَمَّ بها فَعَمِلَها، كَتَبَها اللَّهُ سَيِّئَةً واحِدَةً

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Taala telah menetapkan ganjaran kebaikan dan keburukan, kemudian menjelaskan hal tersebut: Sesiapa yang ingin melaksanakan kebaikan kemudian dia tidak melakukannya, maka dicatat disisi-Nya sebagai satu ganjaran kebaikan yang sempurna. Dan jika dia berniat melakukannya dan kemudian melaksanakannya maka Allah akan mencatatnya sebagai sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus kali ganda bahkan hingga tidak terhingga. Dan jika dia berniat melaksanakan keburukan kemudian dia tidak melaksanakannya maka baginya satu ganjaran kebaikan yang sempurna, sedangkan jika dia berniat hendak melakukan kejahatan kemudian dia melaksanakannya, Allah mencatatnya sebagai satu balasan dosa.”

Riwayat al-Bukhari (6491) dan Muslim (131) dalam kedua-dua kitab Sahih mereka dengan lafaz sebegini.

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat beberapa istifadah yang boleh kita ambil daripada hadith di atas, antaranya:

Pertama: Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut: “Berdasarkan sabda ini ada yang berpendapat, seharusnya orang yang berniat berbuat dosa tetapi belum melaksanakannya dicatat sebagai satu dosa, kerana keinginan melakukan sesuatu merupakan bahagian daripada pekerjaan hati. Ada pula yang berpendapat tidak seperti itu, sebab orang yang mengurangkan berbuat dosa dan menghapus keinginannya untuk berbuat dosa dan menggantinya dengan keinginan lain yang baik. Dengan demikian dia diberi pahala satu kebaikan. Tersebut pada hadis lain: “la meninggalkan niat buruknya itu kerana takut kepada-Ku.”

Hadis ini sama makna dengan sabda Nabi SAW: “Setiap Muslim mempunyai sedeqah”. Mereka (para sahabat) bertanya: “Sekalipun dia tidak melakukannya?” Baginda bersabda: “Hendaklah dia menahan niat jahatnya, maka hal itu menjadi sedeqah bagi dirinya.” (Riwayat Bukhari dalam Kitab al-Adab).

Kedua: Adapun orang yang meninggalkan niat jahatnya kerana dipaksa atau tidak sanggup melakukannya, maka tidaklah dicatat sebagai suatu kebaikan (yang mendapat pahala) dan tidak termasuk dalam pembicaraan hadis ini.

Ketiga: Para ulama salaf berselisih pendapat tentang zikir manakah yang lebih baik, zikir dalam hati atau zikir dengan lisan. Ini semua adalah pendapat Ibn Khalaf yang dikenali dengan nama Ibn Battal. Pengarang kitab al-Ifshah dalam salah satu pernyataannya mengatakan: “Sesungguhnya tatkala Allah mengurangi umur umat Muhammad SAW, Allah menggantikan kependekan umur tersebut dengan melipat gandakan pahala amalnya.” Sesiapa yang berniat berbuat baik maka dengan niatnya itu dia mendapatkan satu kebaikan penuh, sekalipun hanya sekadar niat. Allah jadikan niatnya itu sebagai kebaikan penuh agar orang tidak beranggapan bahawa niat semata-mata mengurangi kebaikan atau sia-sia. Oleh sebab itu, Nabi SAW menjelaskan dengan ungkapan “kebaikan sempurna.” Jika seseorang berniat baik lalu melaksanakannya, hal itu bererti telah keluar daripada perkara niat yang menjelma kepada amal. Niat baiknya ditulis sebagai suatu kebaikan, kemudian perbuatan baiknya digandakan. Hal ini semua bergantung kepada keikhlasan niat atau tidak dan bergantung pada perbuatan masing.

Keempat: Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “Kemungkinan kebaikan (pahala) yang diberikan kepada orang yang meninggalkan niat buruknya bukan kerana Allah adalah lebih kecil dibandingkan dengan kebaikan (pahala) yang diberikan kepada orang yang meninggalkan niat buruknya kerana Allah. Ini kerana, sebagaimana yang telah dinyatakan bahawa meninggalkan maksiat bermakna menahan diri daripada melakukan kejahatan dan menahan diri daripada melakukan kejahatan adalah kebaikan. Berkemungkinan juga ditulis satu kebaikan sahaja bagi orang yang berniat mahu melakukan kejahatan kemudian dibatalkan (tanpa sebab). Tetapi jika ditinggalkannya kerana takut kepada Allah SWT maka ditulis kebaikan yang berlipat kali ganda untuknya.”

Aplikasi Hadith dalam Kehidupan

Seseorang Muslim hendaklah sentiasa meniatkan perbuatan baik dan membuktikannya, dengan begitu akan ditulis pahala dan ganjarannya.

Berniatlah untuk melakukan kebaikan walaupun masih belum mampu secara seratus peratus untuk sempurna melakukan kebaikan. Sebaliknya jika berniat untuk melakukan kejahatan, maka hentikanlah nescaya dipahalakan Allah juga. Lihatlah sifat salaf al-Soleh dalam meraih pahala di sisi Allah.

Abu al-Darda’ berkata: “Sesiapa yang mendatangi tempat tidurnya sedang dia berniat mahu bangun malam untuk solat, tetapi dikalahkan oleh perasaan mengantuk sehingga subuh, ditulis baginya apa yang telah diniatkannya.” Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Majah.

Sa’id bin Masayyib berkata: “Sesiapa yang berkehendak untuk solat, puasa, haji dan perang, kemudian dia terhalang daripada melakukannya, maka Allah SWT akan memberikannya apa yang telah diniatkannya.”

Manusia sering kali rebah dengan bisikan hawa nafsu dan pujukan syaitan sehingga meletakkan diri mereka dalam dosa. Namun dengan sifat pengasih dan penyayang Allah SWT, Dia menulis hanya satu kesalahan sebagaimana yang dilakukan. Sekiranya dia bertaubat dan kembali pada Allah SWT, maka Allah SWT akan menerima taubatnya dan menghapuskan dosanya.

Semoga Allah menjadikan kita golongan yang sentiasa berniat ke- arah kebaikan. Amin.

Info Lanjut: Bagi kefahaman yang lebih jelas dan menyeluruh berkenaan hadith di atas, anda boleh rujuk di buku kami, “Al-Kafi Syarah Hadis 40 karya Imam Nawawi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a‘lam