#5410: Pengikut Dajjal

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada terdengar dalam satu ceramah ada yang kata perempuan paling ramai ikut dajjal ini, adakah ia betul Dato? Mohon penerangan Dato.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Dajjal

Bagi menjawab persoalan di atas, kami mulakan terlebih dahulu dengan definisi Dajjal. Kata Dajjal (دجال) berasal dari kata dajala, artinya, menutupi (sesuatu).

Ibn Manzur dalam Lihat Lisan al-’Arab (11/236) mengemukakan beberapa pendapat mengapa disebut Dajjal, iaitu:

  • Kerana ia adalah pembohong yang menutupi kebenaran dengan kepalsuan.
  • Kerana menutupi bumi dengan bilangannya yang besar.
  • Kerana ia menutupi manusia dengan kekafiran.
  • Kerana ia tersebar dan menutupi seluruh muka bumi.

Dajjal dari sudut bahasa bermaksud menutup akan sesuatu. Ini kerana, Dajjal antara sifatnya adalah al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan sesuatu. Selain itu, Dajjal juga bermaksud menyembunyikan kebenaran dan membuat tipudaya terhadap manusia serta menampakkan kecantikan pada perkara yang bathil. Dajjal juga datang dalam sighah (lafaz) mubalaghah (melampau) iaitu “فَعَّال” kerana Dajjal ini banyak melakukan pendustaan dan tipudaya.

Hakikat Dajjal Sepertimana Disebut dalam Hadith

Daripada Anas bin Malik beliau berkata, sabda Rasulullah SAW:

الدَّجَّالُ مَمْسُوحُ الْعَيْنِ مَكْتُوبٌ بَيْنَ عَيْنَيْهِ كَافِرٌ…

Maksudnya: “Dajjal itu matanya terhapus (seolah-olah tidak bermata), tertulis di antara kedua matanya kafir…”

Riwayat Muslim (7550)

Ibn al-Athir berkata: “Dajjal disebut Masih, kerana salah satu matanya terhapus. Dan al-Masih: ialah orang yang salah satu sisi wajahnya mamsuh (terhapus), tidak ada matanya dan tidak ada kening.” (Lihat Jami’ al-Usul fi Ahadith al-Rasul, 4/203)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan berdasarkan hadith-hadith yang sahih, dikatakan pengikut dajjal adalah ramai dari kalangan Yahudi Asfahan dan juga di kalangan wanita.

Dalam sebuah hadith daripada Uthman bin Abi Ash R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَكْثَرُ تَبَعِهِ الْيَهُودُ وَالنِّسَاءُ

Maksudnya: “Kebanyakan pengikutnya (Dajjal), adalah orang yahudi dan golongan wanita.”

Riwayat Ahmad (17900), al-Tabaranı dalam al-Mu’jam al-Kabir (8392) dan al-Hakim (8482)

Dalam hadith yang lain, daripada Anas bin Malik R.A, Nabi SAW bersabda:

يَتْبَعُ الدَّجَّالَ مِنْ يَهُودِ أَصْبَهَانَ سَبْعُونَ أَلْفًا عَلَيْهِمُ الطَّيَالِسَةُ

Maksudnya: “Dajjal akan diikuti oleh 70,000 Yahudi dari Asfahan, mereka memakai thayalisah.”

Riwayat Muslim (2944)

Dan menariknya, salah satu wilayah di kota Asfahan, dahulu ada yang disebut-sebut perkampungan Yahudi. Hal ini kerana dahulu wilayah tersebut hanya diduduki oleh orang-orang Yahudi. Perkara ini berterusan sehinggalah pada zaman Ayub bin Ziyad, gabenor Mesir pada zaman Khalifah al-Mahdi bin Mansur dari khilafah Abbasiyah. (Lihat Lamawi’ al-Anwar al-Bahiyyah, 2/107)

Akhir kalam, semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya.  Kami akhiri dengan doa:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur, daripada azab neraka Jahannam, daripada fitnah kehidupan dan setelah mati serta daripada kejahatan fitnah al-masih al-Dajjal.”

Riwayat Muslim (588)