#5412: Hadith 40: Berbudi Bahasa, Menghormati Jiran dan Tetamu

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato syarah hadith tentang adab dengan jiran? Terima Kasih Dato.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Daripada Abi Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata baik atau diam, sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan jirannya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.”

Riwayat al-Bukhari (6475) dan Muslim (47)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat beberapa istifadah yang boleh kita ambil daripada hadith di atas, antaranya:

Pertama: Perkataan yang tidak bermatlamat kadangkala boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan dan tertegahnya daripada memasuki syurga. Oleh sebab itu, setiap muslim yang hendak berbicara hendaklah berfikir terlebih dahulu supaya apa yang dibicarakannya itu baik dan berhak untuk memperolehi pahala. Sekiranya ucapannya itu boleh membawa kepada keburukan dan tersebarnya kebatilan, maka hendaklah dia menahan daripada berbicara.

Kedua: Dinukilkan di sini ungkapan dan mutiara hikmah para ulama dan Salaf al-Soleh antaranya:

  • Ibn Mas’ud berkata: “Awasilah kamu daripada percakapan sia-sia cukuplah bagi seseorang sekadar apa yang menyampaikan hajatnya.”
  • Al-Nakhaie berkata: “Binasanya manusia dengan sebab lebihnya harta dan kalam (percakapan).”
  • Ibn Umar berkata: “Jangan banyakkan kalam (percakapan) tanpa zikrullah. Hal ini kerana banyaknya kalam tanpa zikrullah akan mengeraskan hati.” Riwayat al-Tirmizi.
  • Umar al-Khattab berkata: “Sesiapa yang banyak kalamnya, maka banyak salahnya. Dan sesiapa yang banyak salahnya, banyak dosanya dan sesiapa yang banyak dosanya, neraka lebih aula (utama) baginya.” Riwayat al-Tabarani.
  • Fudhail Bin lyyadh berkata: “Tidaklah haji dan juga berjihad lebih sukar daripada memelihara lidah.”

Ketiga: Memuliakan tetamu dengan menyediakan makanan dan minuman menurut kadar kemampuan dan layanan yang baik seperti memberi tempat duduk yang sepatutnya serta menghantar pulang ke pintu lebih lagi dari perkarangan. Inilah sifat melayan tetamu kerana kedatangan tetamu boleh membawa kebaikan kepada seseorang.

Keempat: Dalam nas yang lain, Rasulullah SAW menyebut dengan “hendaklah memuliakan jiran” dan Baginda tidak menyebut “hendaklah memberi duit dirham, sedekah atau pakaian” tetapi la didatangkan secara mutlak yang kembali kepada uruf dan adat. Sebagai contoh, jika jiran miskin memadai dengan memberi makan sahaja, sebaliknya kepada jiran yang kaya mungkin penghormatannya berbeza sedikit.

 

Aplikasi Hadith dalam Kehidupan

Setiap muslim hendaklah berhati-hati dalam percakapan, dan bercakap hanya dalam perkara yang bermanfaat dan menahan diri dalam apa jua keadaan daripada bercakap perkara yang haram. Tidak banyak berbicara walaupun pada perkara harus, kerana boleh jadi perkara yang harus itu membawa kepada yang haram.

Wajib bercakap ketika berhajat khususnya untuk menjelaskan kebenaran dan melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Semua ini adalah dianggap perkara yang mulia. Kesempurnaan iman seseorang ialah berbuat baik kepada jiran dan tidak menyakitinya.

Memuliakan seseorang juga meliputi beberapa perkara yang berkaitan, iaitu memberi salam, berbuat ihsan, berkorban, menghormati, memelihara diri ketika ketiadaannya, menutup keaibannya, menasihati- nya, tidak menyakitinya, menziarahinya, memberi kemaafan, menunaikan hajatnya, menggembirakannya, melaksanakan tanggungjawabnya dan sebagainya. Semua ini adalah maksud “memuliakan”. Kami nyatakan sepertimana yang disebut oleh Qadhi ‘lyyadh bahawa makna hadis ini bagi siapa yang beriltizam dengan syariat Islam hendaklah memuliakan tetamu dan juga jirannya.

Marilah sama-sama kita suburkan semangat seperti ini agar sikap saling hormat-menghormati dan berkasih sayang terus diamalkan di dalam menjamin keharmonian masyarakat

Bagi kefahaman yang lebih jelas dan menyeluruh berkenaan hadith di atas, anda boleh rujuk di buku kami, “Al-Kafi Syarah Hadis 40 karya Imam Nawawi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)