#5416: Hadith 40: Perkara Baharu dalam Agama dan Aplikasinya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato terangkan hadith tentang perkara baru dalam agama?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda nabi SAW:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ، فَهُوَ رَدُّ ، وَفِي رِوَايَةٍ لِمُسْلِمٍ: مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا؛ فَهُوَ رَدُّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal darinya, maka ia tertolak.” Manakala dalam riwayat Muslim: “Sesiapa yang beramal dengan amalan yang bukan berasal daripada agama kami, maka amalan itu tertolak.”

Riwayat al-Bukhari (2550) dan Muslim (1718)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat beberapa istifadah yang boleh kita ambil daripada hadith di atas, antaranya:

Pertama: Imam al-Nawawi telah memberikan pengertian bid’ah seperti berikut: “Bid’ah )بدعة dibaca dengan baris bawah pada huruf ba’. Dari segi istilah syara’ bermaksud mencipta sesuatu amalan ibadah yang tidak wujud pada zaman Rasulullah. Bid’ah terbahagi kepada bid’ah yang baik dan bid’ah yang keji.”

Definisi bid’ah dalam perkara ibadat menurut Imam al-Syatibi:

طَرِيقَةٌ فِي الدِّينِ مُخْتَرَعَةٌ، تُضَاهِي الشَّرْعِيَّةَ يُقْصَدُ بِالسُّلُوكِ عَلَيْهَا الْمُبَالَغَةُ فِي التَّعَبُّدِ اللَّهِ سُبْحَانَهُ

Maksudnya: “Suatu jalan dalam agama yang dibuat-buat (tanpa ada dalil) yang menyerupai syari’at (ajaran Islam), yang dimaksudkan ketika menempuhnya adalah untuk berlebih-lebihan dalam beribadah kepada Allah SWT.”

Bid’ah dalam perkara adat (tradisi) menurut Imam al-Syatibi:

الْبِدْعَةُ: طَرِيقَةٌ فِي الدِّينِ مُحْتَرَعَةٌ، تُضَاهِي الشَّرْعِيَّةَ، يُقْصَدُ بِالسُّلُوكِ عَلَيْهَا مَا يُقْصَدُ بِالطَّرِيقَةِ الشَّرْعِيَّةِ.

Maksudnya: “Suatu jalan dalam agama yang dibuat-buat (tanpa ada dalil) dan menyerupai syari’at (ajaran Islam), yang dimaksudkan ketika melakukan (adat tersebut) adalah sebagaimana niat ketika menjalani syariat.” (Lihat al-I’tisam, 1/26)

Kedua: Menurut Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’di: “Hadis ini menunjuk- kan makna lafzi dan mafhum. Secara lafzi, hadis ini menunjukkan, segala amal perbuatan yang diada-adakan dalam urusan beragama yang tidak ada dasarnya dalam al-Quran mahupun Sunnah akan ditolak. Bid’ah mungkin dalam bentuk perkataan atau fahaman seperti Jahmiyyah, Rafidhah, Mu’tazilah ataupun berbentuk bid’ah-bid’ah amaliah seperti melakukan ibadah yang tidak disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Manakala makna mafhum hadis ini adalah siapa sahaja yang melakukan amalan berdasarkan ajaran Allah dan Rasul-Nya sama ada yang wajib, sunat mahupun mustahab, amalannya diterima Allah dan diberi balasan oleh-Nya.”

Ketiga: Imam al-Syafi’i berkata: “Apa yang diada-adakan dan menyanggahi al-Quran, sunnah, ijmak atau athar, maka ia adalah bid’ah yang sesat. Manakala perkara baharu yang baik yang diwujudkan dan tidak menyanggahi semua itu, maka ia adalah bid’ah yang terpuji.”

Keempat: Ibn Daqiq al-‘Id berkata: “Adapun perkara-perkara yang merupakan cabang daripada persoalan dasar (usul), yang tidak terkeluar daripada sunnah tidak tercakup dalam hadis ini. Contohnya penulisan al- Quran dalam bentuk mushaf atau adanya mazhab-mazhab yang berasal daripada pandangan baik para fuqaha mujtahidin yang mengembalikan perkara-perkara cabang kepada usul yang tidak lain adalah kata-kata Rasulullah SAW dan perintah Baginda. Maka, semua itu tidak termasuk dalam kategori yang dimaksudkan oleh hadis ini.”

Kelima: Dalam al-Wafi dinyatakan: “Antara bid’ah buruk yang berlaku dalam kalangan manusia umum ialah mengagungkan benda-benda tertentu dan mengambil berkat serta beritikad bahawa ia boleh memberi manfaat seperti mengagungkan perigi, pokok dan kubur.”

Aplikasi Hadith dalam Kehidupan

Perlu untuk kita ketahui bahawa amalan yang dinilai bukan kualiti ataupun kuantiti semata-mata tetapi sejauh mana kesesuaiannya menurut ajaran Allah dan Rasul-Nya. Walaupun amalan baik banyak dilakukan tetapi jika tidak berasaskan kepada peraturan syara’ amalan tersebut adalah sia-sia. Demikian pula meskipun banyak amalan baik yang dilakukan tetapi tidak memenuhi syarat pelaksanaannya maka amalan tersebut tidak mendatangkan pahala. Justeru amalan yang dilakukan perlukan kepada muwafaqah (berbetulan) dengan kehendak Rasulullah SAW dan keikhlasan.

Dalam kita membina kehidupan mengikut neraca syarak, janganlah sesekali kita abaikan hadyu al-Nabawi, kerana dialah penterjemah al-Quran yang sebenarnya. Fahamilah nas dan kehendak nas yang sebenarnya. Itulah jalan yang paling selamat.

Di dalam perkara bid’ah, umat Islam harus berhati-hati dalam mengaplikasikan tuduhan bid’ah terhadap sesuatu perkara. Ketelitian dan kefaqihan dalam sesuatu isu diperlukan agar tuduhan bid’ah tidak digunakan sewenang-wenangnya, sehinggakan perkara yang berada dalam ruang khilaf para ulama’ pun dilabel sebagai bid’ah. Oleh itu, jangan terlalu bermudah-mudah dan terlalu ketat dalam berhadapan dengan isu bid’ah.

Bagi kefahaman yang lebih jelas berkenaan hadith di atas, anda boleh rujuk di buku kami, “Al-Kafi Syarah Hadis 40 karya Imam Nawawi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a‘lam