#5417: Memakan Daging Ayam yang Masih ada Kesan Darah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’. Apakah hukum makan daging ayam yang sudah dimasak tetapi masih ada kesan darah pada urat, daging dan tulangnya? Perkara ini selalu buatkan saya berasa was-was.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-Maidah: 87)

Ayat diatas mengandungi peringatan buat orang beriman agar tidak mengharamkan apa-apa yang baik, yang telah Allah SWT halalkan untuk mereka yang terdiri daripada makanan, minuman dan menikahi perempuan sehingga mempersempitkan apa yang telah Allah SWT luaskan untuk mereka. Selain itu, ayat ini juga mengingatkan mereka agar jangan melampaui batas-batas yang telah Allah SWT haramkan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang melampaui batas. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 122)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan di sisi ulama’ mazhab al-Syafi’e, terdapat dua pendapat (Lihat I’anah al- Talibin, 1/100):

  • Ini adalah pendapat Imam al-Nawawi seperti mana yang diputuskan daripada kalam beliau dalam al-Majmu’. Ini juga selari dengan pendapat Imam al-Subki.
  • Najis tetapi dimaafkan. Yakni, dimaafkan jika dimakan maka hukumnya adalah halal. Tetapi jika bercampur dengan suatu yang asing seperti dijirus air, maka darah yang terdapat pada daging itu tidak lagi murni maka hukumnya najis yang tidak dimaafkan. Inilah yang muktamad dalam mazhab. Adapun, jika dihidangkan lauk daging yang tidak dipastikan bercampur darah atau tidak kerana tidak nampak dan sebagainya, maka kekal hukum suci.

Justeru kami katakan hukumnya dibolehkan dan halal. Maka, janganlah anda berasa was-was kerana ianya halal. Ini kerana yang diharamkan berdasarkan mafhum nas adalah darah yang mengalir ketika hidup atau ketika sembelih. Maka adapun selepas mati, darah pada daging itu tidak mengalir seperti ketika hidup justeru hukumnya adalah halal. Begitu juga sukarnya untuk menjaga diri daripada darah yang terdapat pada daging dan tulang, sama ada dijirus air atau tidak, bagi orang yang memasak, pelapah dan penyembelih.

Justeru, darah pada daging, urat dan tulang ayam yang sudah dimasak adalah halal dan suci. Manakala daripada aspek kesihatan, jika doktor melarangnya kerana mudarat penyakit dan sebagainya, maka haram atau makruh memakannya mengikut kadar mudarat.

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua`lam.