#5420: Pengurusan Jenazah Janin yang Gugur

Soalan: Assalamualaikum Dato’. Bagaimana pengurusan jenazah janin yang gugur?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Mati ialah pengakhiran hidup manusia di dunia ini dan merupakan satu proses perpindahan roh ke alam seterusnya, iaitu alam barzakh. Mati merupakan satu proses terpisahnya ruh daripada jasad. Kematian akan dirasai oleh jasad yang bernyawa apabila tiba masa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Setiap makhluk pasti akan mati. Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: “Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).”

(Surah al-Ankabut: 57)

Ibn Kathir menyatakan: Iaitu di mana sahaja kamu berada, nescaya kematian akan mendatangi kamu. Maka, hendaklah kamu berada dalam ketaatan kepada Allah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/197).

Apabila seseorang sudah tiba ajalnya, maka tidak dapat lagi diundurkan atau dipercepatkan walaupun sesaat. Firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”

(Surah al-A‘raf: 34)

Pada asasnya, bayi yang berusia 37 minggu sudah ditiupkan roh atau bernyawa. Ini kerana menurut para ulama, ketika usia janin 120 hari atau lebih kurang 4 bulan, janin tersebut sudah ditiupkan roh dan berkemungkinan besar untuk hidup. Ini berdasarkan riwayat daripada Ibn Mas‘ud R.A, Nabi SAW bersabda:

إنَّ أَحَدَكُم يُجْمَعُ خلقُهُ فِيْ بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُوْنُ مُضْغَةً مِثلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إِلَيْهِ الْمَلَكُ فيَنْفُخُ فِيْهِ الرُّوْحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيْدٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu dikumpulkan penciptaannya dalam perut ibunya selama 40 hari dalam bentuk nutfah, kemudian menjadi ‘alaqah (segumpal darah) selama itu juga. Kemudian menjadi mudhghah (segumpal daging) selama itu juga. Kemudian diutus seorang malaikat kepadanya untuk meniupkan ruh kepadanya, dan ditetapkan empat takdir, takdir rezekinya, ajalnya, amalnya, dan celaka ataukah bahagianya.

Riwayat Muslim (6893) dan Ahmad (3624)

Lalu sekiranya bayi atau janin tersebut meninggal dunia, jenazahnya hendaklah diuruskan sebagaimana jenazah orang dewasa. Ini sebagaimana yang disebutkab oleh al-Khatib al-Syirbini bahawa janin yang gugur yang tidak diketahui tanda hidupnya dan tidak jelas rupa bentuknya (seperti manusia), maka tidak boleh untuk didirikan ke atasnya solat jenazah, dan begitu juga tidak wajib untuk memandikannya. Akan tetapi disunatkan untuk menutupinya dengan kain dan mengebumikannya tanpa melakukan kedua-dua perkara tadi (iaitu solat dan mandikan). Namun, jika diketahui tanda hidupnya dengan suara teriakan atau selainnya, atau jelas tanda-tanda kehidupannya seperti menggigil atau bergerak-gerak, maka hukumnya seperti mana orang dewasa. Dalam erti kata lain, dia hendaklah dimandikan, dikafankan dan disolatkan serta dikebumikan kerana tanda hidup dan matinya telah wujud secara pasti. Jika tidak diketahui hidupnya tetapi terzahir rupa bentuk sebagai manusia, maka wajib untuk mempersiapkannya (yakni dimandikan, dikafankan dan dikebumikan) tanpa disolatkan. (Lihat al-Iqna‘ fi Halli Alfaz Abi Syuja, 1/290).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan  Imam al-Khatib al-Syarbini menyebut dalam kitab al-Iqna’ (hlm. 290):

Janin yang gugur dalam keadaan tidak mengeluarkan suara yakni tidak diketahui tanda hidupnya dan tidak jelas rupa bentuknya (seperti manusia). Tidak boleh untuk disolatkan ke atasnya dan tidak wajib memandikannya. Sunat pula menutupinya dengan kain dan mengebumikannya.

Adapun jika diketahui hidupnya dengan suara atau selainnya atau jelas tanda- tanda kehidupannya seperti menggigil atau bergerak-gerak maka hukumnya seperti kanak-kanak yang besar maka wajiblah dimandikan dan dikafankan dan disolatkan ke atasnya, dan dikebumikan, kerana tanda hidup dan matinya telah wujud secara pasti.

Jika tidak diketahui hidupnya tetapi terzahir rupa bentuk (sebagai manusia) wajib untuk mempersiapkannya (yakni dimandikan, dikafankan dan dikebumikan) tanpa solat. Solat berbeza daripada selainnya kerana selainnya itu lebih luas medannya daripada solat. Ini juga berdasarkan dalil bahawa kafir dzimmi boleh dimandikan, dikafankan dan dikebumikan tetapi tidak disolatkan ke atasnya.”

Maka difahami daripada ibarat di atas ialah, seperti mana yang disebut oleh Syeikh Muhammad al-Zuhali dalam al-Mu’tamad (1/629-630):

Jika janin yang gugur itu diketahui hayatnya, seperti keluar suaranya, menangis, dan kemudian mati, maka hukumnya sama seperti orang dewasa. Wajib dimandikan, dikafankan dengan tiga helai pakaian, disolatkan, dan dikebumikan.

Jika janin yang gugur itu bergerak-gerak, atau menggigil, yang menunjukkan tanda hidup, tetapi tidak mengeluarkan suara, maka diambil kira kemungkinan wujudnya kehidupan. Justeru, janin itu apabila mati maka ia dimandikan, disolat, dan dikebumikan, atas dasar berhati-hati.

Jika janin yang gugur itu tidak zahir padanya tanda-tanda hayat, sama ada tidak cukup empat bulan dan tidak zahir padanya rupa bentuk insan, atau cukup empat bulan dan zahir padanya rupa bentuk insan tetapi tidak bergerak dan tidak mengeluarkan suara, maka tidak boleh disolatkan. Tetapi wajib dimandikan, dikafankan dengan potongan kain dan dikebumikan.

Jika wanita itu keguguran dan keluar seketul daging maka tidak thabit hukum kelahiran biasa, Justeru, tidak dimandikan, tidak dikafankan dan tidak disolatkan, hanya aula (utama) untuk ditutup.

Namun begitu, di sisi ulama’ ada dua pendapat.

Pertama, al-siqt, atau kandungan yang gugur itu dimandikan dan disolatkan kerana kandungan yang berusia 120 hari sudah dimasuki ruh. Ini ialah pendapat qadim Imam al-Syafi’e.

Kedua, kandungan yang gugur itu tidak disolatkan kerana tidak thabit baginya hak-hak dunia seperti pewarisan dan sebagainya, lantaran tidak bukti roh pernah dimasuki. Ini ialah pendapat jadid Imam al-Syafi’e dalam al-Umm. Inilah pendapat yang asah menurut Imam al-Syirazi dalam al-Muhazzab. (Lihat al-Majmu’, 5/255)

Kami melihat dalam isu ini perubahan janin selepas 120 hari sudah menunjukkan bentuk manusia daripada hanya sekadar segumpal darah, daging dan tulang. Jika kita merujuk kepada hadith Ibn Mas’ud RA dalam himpunan Hadith 40 Imam al-Nawawi Rahimahullah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلقُهُ فِي بَطْنِ أُمَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ، فَيَنفُخُ فِيهِ الرُّوحَ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap seorang daripada kamu dihimpunkan kejadiannya dalam Rahim perut ibunya selama 40 hari, kemudian jadilah (nutfah) itu segumpal darah selama tempoh itu juga, kemudian jadilah (alaqah) itu segumpal daging selama tempoh itu juga, kemudian diutuskan malaikat dan ditiupkan dalamnya ruh.”

Riwayat Muslim (2643)

Hadith ini menunjukkan bahawa dalam tempoh 120 hari itu janin sudah terbentuk dengan rupa manusia dan telah diberikan nyawa. Justeru, kami cenderung untuk menyatakan apabila janin sudah berusia 4 bulan, sudah cukup anggotanya, lalu gugur mati tanpa terzahir suara tangisannya, wajib hukumnya untuk dimandikan dan dikafankan dan sunat disolatkan.

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ، وعافِهِمْ واعْفُ عَنْهُمْ

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah keampunan buat mereka, limpahkan rahmat kepada mereka, selamatkan mereka dan maafkan kesalahan mereka.”

Wallahua`lam.