#5421: Hadith 40: Luasnya Keampunan Allah SWT

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato kupas satu hadith yang menunjukkan luasnya keampunan Allah SWT? Mohon pencerahan Dato.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

 يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلاَ أُبَالِي يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ وَلاَ أُبَالِي يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِي لاَ تُشْرِكُ بِي شَيْئًا لأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً

Maksudnya: “Wahai anak Adam, selagi kalian berdoa dan berharap kepada-Ku, pasti Aku ampuni dosa yang telah dilakukan dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, sekiranya sampai dosamu setinggi langit kemudian kamu memohon keampunan, nescaya akan Aku ampunkan. Wahai anak Adam, sekiranya kamu datang kepada-Ku dengan dosa sepenuh bumi dan tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu, pasti Aku mendatangimu dengan pengampunan sepenuh bumi.”

Riwayat al-Tirmizi (3540) dan Ahmad (21804)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat beberapa istifadah yang boleh kita ambil daripada hadith di atas, antaranya:

Pertama: Doa merupakan ibadah. lanya dituntut dan bersamanya juga Allah SWT berjanji akan mengkabulkannya. Firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ

Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.

(Surah Ghaafir: 60)

Dalam sebuah hadis disebutkan:

الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ

Maksudnya: “Doa itu adalah ibadah.”

Riwayat Abu Daud (1479) dan al-Tirmizi (2969)

Seharusnya doa kita disertakan sekali dengan pengharapan dan percaya yang Allah SWT akan mengabulkannya. Inilah tanda husnuzon (bersangka baik) kita kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja yang Dia ingini. Allah tidak sesekali menzalimi hamba-Nya melainkan hamba-Nya itu yang mencampakkan dirinya ke lembah kezaliman.

Kedua: Berikut disenaraikan antara adab-adab berdoa yang perlu kita tekuni agar dimustajabkan doa kita:

  • Memilih waktu-waktu yang mustajab. Antara waktu-waktu yang di- mustajabkan berdoa adalah:
  1. Ketika turunnya hujan.
  2. Waktu di antara azan dan iqamah setiap solat fardu.

Ketika sujud dalam solat.

  1. Di penghujung setiap solat fardu.
  2. 1/3 malam yang terakhir.
  3. Selepas waktu Asar pada hari Jumaat.
  • Menghadap kiblat dan mengangkat tangan ketika berdoa.
  • Dimulakan dengan puji-pujian terhadap Allah SWT dan selawat ke atas Nabi SAW.
  • Tidak mengkhususkan doanya untuk diri sendiri bahkan meng- umumkannya seperti tidak hanya mendoakan keampunan buat diri sendiri bahkan berdoa meminta keampunan buat sekalian muslimin dan muslimat.
  • Bersangka baik dengan Allah SWT dan berharap akan dimakbulkan permintaan.
  • Mengakui segala dosa yang telah kita lakukan.
  • Merendahkan suara. Memohon dengan penuh rendah diri dan khusyu’.

Ketiga: Istighfar & Taubat

Istighfar banyak disebutkan di dalam Al-Quran dan juga hadis Nabi SAW. Kebanyakannya apabila menyebut tentang istighfar, ianya akan didatangkan dengan taubat. Ini menunjukkan bahawa istighfar dan taubat itu berjalan seiringan. Firman Allah SWT:

أَفَلَا يَتُوبُونَ إِلَى اللَّهِ وَيَسْتَغْفِرُونَهُ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunan-Nya (sesudah mereka mendengar keterangan- keterangan tentang kepercayaan mereka yang salah dan balasan seksa- Nya)? Padahal Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah Al-Maidah: 74)

Aplikasi Hadith dalam Kehidupan

Setiap anak Adam melakukan kesalahan. Namun yang terbaik dari kalangan yang melakukan kesalahan ini adalah mereka yang bertaubat. Sabda Nabi SAW:

كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: “Setiap anak Adam itu melakukan kesalahan dan yang terbaik dari kalangan yang melakukan kesalahan itu adalah yang bertaubat.”

Riwayat al-Tirmizi (2499) dan Ibn Majah (4251)

Perbanyakkanlah beristighfar di dalam kehidupan kita ini. Basahilah lidah kita dengan bacaan istighfar. Sungguh banyak dalil yang merujuk kepada kelebihan beristighfar dan anjuran memperbanyakkan istighfar. Bahkan Nabi SAW yang maksum (terpelihara daripada dosa) juga melazimi istighfar. Dalam sebuah hadis, diriwayatkan:

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي الْيَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya: “Demi Allah! Aku memohon keampunan daripada Allah dan bertaubat kepada-Nya dalam sehari lebih daripada 70 kali.”

Riwayat al-Bukhari (6307)

Golongan salaf dari kalangan para Sahabat R.Anhum dan juga adalah golongan yang melazimi istighfar di dalam kehidupan mereka. Kata Abu Hurairah RA: “Aku beristighfar memohon keampunan daripada Allah dan bertaubat kepada-Nya sebanyak 1000 kali setiap hari.” (Lihat Al-Hilyah al-Auliya’, 1/383)

Semoga Allah menjadikan kita golongan yang sentiasa berniat ke- arah kebaikan. Amin.

Info Lanjut: Bagi kefahaman yang lebih jelas dan menyeluruh berkenaan hadith di atas, anda boleh rujuk di buku kami, “Al-Kafi Syarah Hadis 40 karya Imam Nawawi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a‘lam