#5425: Kisah Harta Rampasan Peperangan al-Qadisiyyah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ceritakan kepada kami, bagaimana hasil rampasan perang ghanimah tersebut dihantar ke kota Madinah dan sikap yang ditunjukkan oleh Saidina Umar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Setelah selesainya peperangan al-Qadisiyah dan akhirnya berlaku penawanan kota Mada’in yang merupakan ibu negara Parsi ketika itu sebagaimana Maharaja Parsi Kisra yang mengoyak surat Rasulullah SAW maka, begitulah Allah SWT mengoyakkan dan menghancurkan kerajaannya.

Panglima perang ketika itu adalah Sa’d bin Abi Waqqas. Apabila tentera Islam boleh mara sehingga mengharungi sungai, mereka masuk ke kota Mada’in. Raja Yazdajurd dan bala tenteranya melarikan diri bertempiaran, kerana takut melihat kehebatan tentera Islam menyeberangi sungai dengan gagah berani tanpa sampan. Istana putih kemegahan raja-raja Parsi ditawan tanpa penentangan.

Sa’ad bin Abi Waqqas RA masuk ke dalam istana dengan membaca firman Allah SWT:

كَمْ تَرَكُوا۟ مِن جَنَّـٰتٍۢ وَعُيُونٍۢ ٢٥ وَزُرُوعٍۢ وَمَقَامٍۢ كَرِيمٍۢ ٢٦ وَنَعْمَةٍۢ كَانُوا۟ فِيهَا فَـٰكِهِينَ ٢٧ كَذَٰلِكَ ۖ وَأَوْرَثْنَـٰهَا قَوْمًا ءَاخَرِينَ ٢٨

Maksdunya: “Banyak sungguh kebun dan mata air, yang mereka tinggalkan. Dan juga berbagai- bagai jenis tanaman serta tempat-tempat kediaman yang indah dan mulia. Dan juga kemewahan hidup, yang mereka sekian lama menikmatinya.Demikianlah keadaannya (hukum Kami ke atas orang-orang yang derhaka); dan Kami jadikan semua peninggalan Firaun dan orang-orangnya, milik kaum yang lain (kaum Bani Isra’il).”

(Surah al-Dukhan: 25-28)

Tentera Islam berdepan dengan barang paling berharga di dunia ini iaitu emas, perak, permata, dan perhiasan yang termahal harganya, namun tiada yang hilang dicuri atau disembunyikan. Sifat amanah yang lahir daripada iman yang ikhlas dalam kalangan bala tentera dan pemimpinnya. melayakkan mereka mendapat pertolongan Allah SWT bagi menjatuhkan kuasa besar dunia yang berlipat kali ganda kekuatannya.

Dengan rasa syukur kepada Allah SWT, Sa’ad bin Abi Waqqas RA memuji anggota tenteranya:

وَاللَّهِ إِنَّ الْجَيْشَ لَذُو أَمَانَةٍ، وَلَوْلَا مَا سَبَقَ لِأَهْلِ بَدْرٍ لَقُلْتُ إِنَّهُمْ عَلَى فَضْلِ أَهْلِ بَدْرٍ.

Maksudnya: “Demi Allah! Sesungguhnya, anggota tentera ini bersifat amanah, kalau tidak kerana Allah telah menetapkan kelebihan kepada Ahli Badar (pada zaman Rasulullah SAW), nescaya aku meletakkan kelebihan kepada mereka.” (Lihat Ibn al-Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, 2/343)

Jabir bin ‘Abdillah RA berkata:

وَالَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ، مَا اطَّلَعْنَا عَلَى أَحَدٍ مِنْ أَهْلِ الْقَادِسِيَّةِ أَنَّهُ يُرِيدُ الدُّنْيَا مَعَ الْآخِرَةِ، فَلَقَدِ اتَّهَمْنَا ثَلَاثَةَ نَفَرٍ، فَمَا رَأَيْنَا كَأَمَانَتِهِمْ وَزُهْدِهِمْ، وَهُمْ: طُلَيْحَةُ، وَعَمْرُو بْنُ مَعْدِي كَرِبَ، وَقَيْسُ بْنُ الْمَكْشُوح

Maksudnya: “Demi Allah, Tuhan yang tiada Tuhan melainkan-Nya. Aku tidak melihat seorang pun dalam kalangan bala tentera yang terlibat dalam pertempuran di al-Qadisiyyah yang masih menginginkan harta dunia dan akhirat (tergoda dengan harta dunia yang sangat banyak). Dan kami menyangka ada tiga orang lari dari medan tempur, tetapi kami menyaksikan tiga orang pemimpin yang amanah dan zuhud: iaitu Tulaihah bin Khuwailid (pernah mengaku menjadi nabi), ‘Amr bin Ma’dikarib, dan Qais bin al-Maksyuh.” (Lihat al-Kamil fi al-Tarikh oleh Ibn al-Athir, 2/343-344)

Muhammad bin Sa’ad berkata: “Adalah Tulaihah dianggap seribu pahlawan kerana keberaniannya dan sifat kerasnya.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 1/317)

Begitu juga pengarang Usd al-Ghabah berkata: “Adalah Tulaihah sepemberani orang Arab.” (Lihat Usd al-Ghabah, 3/94)

Begitu jua Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA. Setelah beliau menerima kedatangan harta rampasan dan melihat bersamanya pedang kebesaran Raja Parsi yang bertatahkan emas dan permata yang banyak, ‘Umar RA lantas berkata:

إِنَّ قَوْمًا أَدَّوْا هَذَا لَأُمَنَاءُ

Maksudnya: “Mereka yang menghantar pedang ini adalah yang sangat bersifat amanah.”

Lalu ‘Ali bin Abi Talib R.A berkata:

إِنَّكَ عَفَفْتَ فَعَفَّتْ رَعِيَّتُكَ، وَلَوْ رَتَعْتَ لَرَتَعَتْ.

Maksudnya: “Kerana engkau sendiri yang bersifat tidak terpengaruh dengan kemewahan dunia, maka rakyat juga menjadi begitu. Ingatlah! Kalau engkau juga tergoda dengannya, maka rakyat juga akan ikut tergoda sama.” (Lihat Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/ 67)

Demikianlah ungkapan para ulama’:

النَّاسُ عَلَى دِيْنِ مُلُوكِهِمْ.

Maksudnya: “Rakyat itu mengikut telatah raja-raja (pemimpin-pemimpin) mereka.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/165)[1]

Maksudnya, perangai dan akhlak rakyat sesebuah negara terikut dengan perangai raja-raja (siapa yang memerintah). Seandainya pemerintah berpegang dengan ajaran agama dan berakhlak mulia, pengaruhnya akan turun kepada rakyat jelata. Jika tidak, maka rakyat pun bersikap sebaliknya.

Justeru, kami katakan mauqif yang ditunjukkan oleh para sahabat layak ditulis dengan tinta emas. Ini kerana, peristiwa seperti ini hanya tinggal sebuah kenangan dan sukar dihayati oleh sebuah pasukan yang besar kecuali iman yang tinggi lagi kuat. Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita sifat amanah. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

 

Nota kaki:

[1] Ibn Kathir ada menukilkan ungkapan di atas ketika menyebut biografi al-Walid bin ‘Abd al-Malik, katanya: Khalifah al-Walid seorang yang cenderung kepada pembangunan dan pembinaan. Maka rakyatnya juga demikian. Apabila seorang lelaki berjumpa lelaki yang lain, dia akan bertanya: “Apakah yang telah kamu bina? Apakah yang kamu telah bangunkan?” Adapun Khalifah Umar bin ‘Abd al-’Aziz cenderung dalam membaca al-Quran, melakukan solat dan beribadah. Maka demikian juga rakyatnya. Apabila seorang lelaki berjumpa dengan lelaki yang lain, mereka akan bertanya, “Berapa banyak kamu berwirid? Berapa banyak kamu baca al-Quran setiap hari? Kamu solat apa semalam?” Dan orang ramai berkata: “Rakyat akan hidup mengikut cara hidup pemimpin mereka.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/165)