#5426: Saf bagi Mereka yang Solat Secara Duduk

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada satu soalan, perlukah diasingkan saf mereka yang solat duduk?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, seseorang itu boleh solat dalam keadaan duduk sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri sebagaimana riwayat daripada ‘Imran bin Husin R.A yang mana beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu (untuk berdiri) maka solatlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu untuk solat secara duduk, maka solatlah di atas lambung.

Riwayat Al-Bukhari (1117)

Imam al-Nawawi berkata: “Umat telah bersepakat bahawa sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri di dalam solat fardhu maka dia boleh melakukannya secara duduk dan solat tersebut tidak perlu diulangi. Demikian juga pahalanya (solat secara duduk) tidak berkurang daripada solat secara berdiri kerana dia diberikan keuzuran. Telah sabit di dalam Sahih Al-Bukhari bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Maksudnya: Apabila seseorang hamba itu sakit ataupun dia bermusafir akan dituliskan (ganjaran) untuknya sama seperti mana yang dilakukan oleh seorang yang dalam keadaan bermukim dan juga seorang yang dalam keadaan sihat. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/226).

Keadaan Yang Membolehkan Seseorang Solat Secara Duduk

Di dalam kitab-kitab fiqh para ulama terdahulu, terdapat beberapa perkara yang dianggap sebagai masyaqqah (kepayahan) yang membolehkan seseorang itu solat secara duduk. Berikut kami nyatakan beberapa contohnya:

  • Tidak mampu untuk berdiri.
  • Mempunyai penyakit yang akan bertambah teruk sekiranya dia bersolat secara berdiri.
  • Seseorang yang berada di atas kapal, sampan, ataupun perahu, yang takut akan tenggelam sekiranya dia melakukan solat secara berdiri di atas kenderaan tersebut.
  • Seseorang yang berasa pening kepala.
  • Sakit yang boleh mengganggu khusyuk di dalam solat.

Hal ini adalah berdasarkan kata-kata Imam al-Nawawi: “Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang berada di atas sampan takut tenggelam (jika solat berdiri), ataupun seseorang berasa pening kepala maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/310).

Kami ingin sebutkan di sini beberapa dhawabit dan juga cadangan bagi sesiapa yang terpaksa melaksanakan solat secara duduk seperti berikut:

  • Hendaklah kedudukan kerusi yang digunakan oleh para jemaah yang uzur atau tidak mampu berdiri itu berada di hujung saf.
  • Bahagian belakang kaki kerusi perlulah selari dengan kedudukan kaki jemaah yang berada di sebelah.
  • Kedudukan kaki mereka yang solat duduk di atas kerusi hendaklah tidak melebihi kedudukan imam.
  • Kerusi yang digunakan hendaklah bersaiz kecil dan tidak terlalu besar, ini supaya keseragaman saf dapat dijaga serta memberikan keselesaan bagi jemaah yang lain.
  • Kami juga mencadangkan sekiranya mereka yang solat atas kerusi ini ramai, maka pihak masjid atau surau menyediakan ruang khas bagi mereka yang menunaikan solat secara duduk seperti meletakkan kerusi yang panjang untuk mereka sebagaimana yang dilakukan oleh negara Arab dan seumpamanya.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam masalah ini, kami berpendapat dibolehkan bagi mereka yang tidak mampu untuk solat secara berdiri (solat atas kerusi) berada di dalam satu saf bersama orang yang berdiri. Solat mereka itu sah dan sempurna. Inilah yang zahir daripada dalil-dalil dan tidak ditemukan pertentangan bagi perkara itu. Bahkan tidak ada nas daripada al-Kitab atau Sunnah menunjukkan kepada haram atau makruh meletakkan saf mereka yang uzur untuk berdiri dalam solat secara berasingan. Begitu juga tiada dalil yang mewajibkan orang yang solat duduk hendaklah satu saf dengan orang yang uzur seperti mereka jua.

Adapun jika mereka itu berada pada saf yang pertama selepas daripada imam, maka lebih diutamakan orang yang baligh berbanding orang yang belum baligh sama ada mereka itu solat di atas kerusi ataupun berdiri. Ini kerana orang yang telah baligh lebih bermanfaat bagi imam dan makmum. Walau bagaimanapun, lebih afdhal jika yang berada di belakang imam itu adalah mereka yang solat berdiri berbanding mereka yang solat di atas kerusi agar mereka mampu untuk menggantikan imam tersebut ketika darurat di atas sebab-sebab tertentu yang menyebabkan imam keluar dari solat.

Kami juga berpandangan kedudukan kaki belakang kerusi perlulah selari dengan tumit kaki orang yang solat secara berdiri agar dapat memastikan kelurusan saf tersebut dapat dijaga dengan sempurna. Selain itu, kami menyarankan kedudukan orang yang solat diatas kerusi ini diletakkan pada hujung saf.

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

  رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua`lam.