Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato jelaskan satu hadith berkenaan jalan untuk menuju ke syurga dan bagaimana untuk kita menggunakannya dalam kehidupan seharian?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan sabda nabi SAW:
أَرَأَيْتَ إِذَا صَلَّيْتُ المُكْتُوبَاتِ، وَصُمْتُ رَمَضَانَ، وَأَحْلَلْتُ الْخَلَالَ، وَحَرَّمْتُ الْحَرَامَ، وَلَمْ أَزِدْ عَلَى ذَلِكَ شَيْئًا، أَأَدْخُلُ الْجَنَّةَ؟ قَالَ: نَعَمْ
Maksudnya: “Apakah pendapat kamu jika aku melaksanakan solat yang wajib, berpuasa Ramadhan, menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram dan aku tidak tambah sedikit pun (dengan amalan sunat), adakah aku akan masuk syurga? Baginda bersabda: Ya.”
Riwayat Muslim (15)
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat beberapa istifadah yang boleh kita ambil daripada hadith di atas, antaranya:
Pertama: Sahabat yang bertanya adalah Nu’man bin Qauqal al-Khuzaie. Beliau menyertai peperangan Badar dan syahid dalam Peperangan Uhud. Beliaulah yang berkata pada hari Peperangan Uhud: Aku bersumpah denganmu wahai Tuhan segala kemuliaan tidak akan tenggelam matahari sehinggalah aku berjaya menjejakkan kakiku ini di kehijauan syurga. Rasulullah SAW telah bersabda selepas kesyahidannya:
إِنَّ النُّعْمَانَ ظَنَّ بِاللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ خَيْرًا فَوَجَدَهُ عِنْدَ ظَنِّهِ، وَلَقَدْ رَأَيْتُهُ يَطَةٌ في خضرها ما به من عرج
Maksudnya: “Sesungguhnya Nu’man telah bersangka baik kepada Allah Azawajalla, maka beliau mendapati Allah melakukan terhadapnya sebagaimana sangkaannya itu. Aku benar-benar melihat beliau menjejakkan kakinya di kehijauan syurga tanpa ada apa-apa kepincangan.”
Kedua: Asas beribadat kepada Allah ialah menjaga perkara fardhu dan meninggalkan perkara haram. Sesiapa yang melakukan demikian maka dia telah mencapai kejayaan cemerlang.
Ketiga: Dalam al-Wafi menyebut: “Sesungguhnya muslim yang benar- benar mengharapkan kejayaan dan hatinya sentiasa tamatkan darjat yang tinggi di sisi Allah tidak akan meninggalkan perkara yang sunat dan tidak sesekali menghampiri perkara makruh.”
Keempat: Dalam al-Wafi menyebut: “Sesiapa yang beriktigad bahawa dia boleh membuat hukum syara’ berlawanan dengan apa yang disyariatkan oleh Allah serta apa yang dinyatakan oleh Rasul atau dia membuat hukum Syara’ yang berdasarkan hawa nafsu tanpa beriltizam dengan kaedah perundangan Islam, maka dia sesungguhnya telah terkeluar daripada agama Islam, dan Allah serta rasulnya berlepas diri daripadanya
Aplikasi Hadith dalam Kehidupan
Sesiapa yang memelihara kewajipan, melaksanakannya tepat pada waktu dan tanpa sedikitpun menambah atau menguranginya dia adalah orang yang beruntung dan berjaya. Sesiapa yang menunaikan kewajipan lalu mengiringinya dengan amalan sunat maka orang itu lebih beruntung lagi.
Walaupun begitu seperti kata al-Hafiz Ibn Hajar: “Ulama kami berpendapat kalaulah semua penduduk sebuah tempat bersepakat meninggalkan satu sunnah, maka layak diperangi sehingga mereka melakukan semula amalan tersebut.”
Keduanya, dalam kehidupan ini amat perlu kita sentiasa menjadikan hidup kita berguna kepada agama, negara dan diri sendiri. la dapat memahat sejarah yang baik. Ini kerana kita akan dinilai oleh generasi akan datang.
Orang yang berilmu mesti meraikan perbezaan kedudukan manusia. Maka, dia tidak boleh memaksa manusia berada pada kedudukan yang sama dan mengabaikan sebahagian yang lain. Sebaliknya, dia hendaklah membimbing berdasarkan tahap orang yang bertanya. Dengan demikian, Rasulullah SAW tidak membebankan dan memaksanya melakukan perkara sunat, bahkan berasa cukup dengan perkara wajib kerana itulah tahap dirinya.
Semoga Allah kurniakan petunjuk dan hidayah-Nya untuk menjunjung segala titah perintah-Nya sama ada yang wajib mahupun yang sunat dan juga menjauhkan kita daripada segala larangan-Nya. Amin.
Info Lanjut: Bagi kefahaman yang lebih jelas dan menyeluruh berkenaan hadith di atas, anda boleh rujuk di buku kami, “Al-Kafi Syarah Hadis 40 karya Imam Nawawi.”
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”
Wallahu a‘lam.