#5436: Hikmah Jangan Berputus Asa

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah Dato mensyarahkan hikmah berkenaan jangan berputus asa dari kitab al-Ihkam Syarh al-Hikam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syeikh Zarruq Rahimahullah berkata: “Terangkum dalam perihal ijtihad suatu ruang iaitu berputus asa ketika kelewatan doa untuk dimaqbulkan. Justeru, diikuti pula dengan hikmah ini.”

لَا يَكُنْ تَأَخَّرُ أَمَدِ العَطَاءِ مَعَ الإِلْحَاحِ فِي الدُّعَاءِ مُوْجَبًا لِيَأْسِكَ، فَهُوَ ضَمِنَ لَكَ الإِجَابَةَ فِيْمَا يَخْتَارُهُ لَكَ، لَا فِيْمَا تَخْتَارُهُ لِنَفْسِكَ وَفِي الوَقْتِ الَّذِي يُرِيدُ، لَا فِي الوَقْتِ الَّذِي تُرِيدُ

Maksudnya: “Jangan berputus asa, sekiranya Allah SWT melewatkan penerimaan doa walaupun kamu sudah bersungguh- sungguh berdoa. Hal ini kerana Allah telah menjamin akan menerima semua doa menurut yang Dia kehendaki untukmu dan bukan menurut kehendakmu, pada waktu yang ditentukan-Nya dan bukan pada waktu yang engkau tentukan”.

Mafhum Hikmah

  • Janganlah berputus asa disebabkan hajat yang dipohon lambat diterima dan dimakbulkan, sedangkan kamu bersungguh- sungguh berdoa. Hal ini kerana Allah SWT telah memberi jaminan penerimaan-Nya seperti mana firman-Nya:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya pasti akan Ku memperkenankannya.”

  • Inilah yang direncanakan oleh Allah SWT untukmu dan bukan yang kamu pilih, kerana Dia Maha Mengetahui akan keadaanmu pada waktu atau masa yang Allah SWT kehendaki, dan bukan pada waktu atau masa kamu kehendakinya.
  • Kaedah ini mengajar kita supaya thiqah dengan janji Allah SWT yang pasti akan diperkenankan apabila dipohon kepada-Nya. Imam al-Baghawi menafsirkannya bahawa ayat ini membawa pengertian beribadatlah kepada-Ku dan bukan yang lain daripada- Ku, nescaya Aku terima permohonanmu dan memberi pahala serta keampunan. Tatkala ibadat juga membawa makna doa, ia menunjukkan bahawa kaitan pahala sebagai penerimaan.
  • Allah SWT amat murka kepada golongan yang tidak memohon doa kepada-Nya sepertimana kata syair Arab:

اللهُ يَغْضَبُ إِنْ تَرَكْتَ سُوأَلَهُ وَبَنِيَّ أَدَمَ إِنْ سَأَلْتَهُ يَغْضَبُ

Kemurkaan Allah SWT ke atasmu apabila kamu meninggalkan- Nya untuk berdoa, Sedangkan manusia jika kamu meminta sesama mereka nescaya akan memarahimu.

  • Doa terlaksana dengan dua jalan:
  1. Hati yang sentiasa mengingati Allah SWT.
  2. Bermula dengan bertaubat.
  • Kita diajarkan adab-adab untuk berdoa samada sebelum berdoa, semasa dan selepasnya. Syarat utama berdoa adalah dengan menghadirkan hati ketika berdoa dan berharap agar Allah SWT mengabulkannya.
  • Kita dikehendaki bersabar, yakni tidak tergopoh-gapah dan berputus asa mengharapkan balasan Tuhan, sama ada yang baik atau yang buruk sepertimana Nabi Musa AS bersabar 40 tahun lamanya ketika berdepan ancaman Firaun.
  • Allah SWT amat suka kepada seseorang yang berdoa dalam keadaan berulang-ulang (permohonannya) dan mendayu-dayu.
  • Doa yang cukup syarat-syaratnya pasti diperkenankan oleh Allah SWT berdasarkan nas al-Quran. Cuma ada kalanya perkenan itu dilewatkan atau ditangguh berdasarkan kehendak Allah SWT.
  • Allah SWT memilih penerimaan doa mengikut kehendak dan waktunya kerana tiga sebab:
  1. Kerana kasih sayang terhadap hamba-Nya, namun mungkin perkara yang dipohon tidak baik untuknya menyebabkan permohonan itu tidak diperkenankan.
  2. Berlaku ketetapan hukum-hukum perhambaan pada pandangan hamba dan menzahirkan kekuatan kuasa Sang Tuhan yang bersifat Rububiyyah. Sebaliknya jika hamba itu beranggapan dia mesti peroleh apa-apa yang dipohon, sudah tentu ia seolah-olah paksaan kepada Tuhan dan keadaan ini adalah bersalahan sama sekali.
  3. Doa itu sendiri bersifat ubudiyah yang menzahirkan kelemahan hamba-Nya. Sebaliknya jika ijabah berdasarkan kehendak-Nya. sudah tentu tidak dikira kelemahan hamba (makhluk) pada perkara yang dicinta (khaliq) dan batallah maksud taklif serta makna keberhajatan makhluk.

Akhir kalam, semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”