#5438: Asal Maksiat daripada Nafsu

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah benar asal maksiat itu daripada nafsu di dalam diri kita sendiri?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syeikh Zarruq Rahimahullah berkata: “Pengarang menyebutkan kaedah atau asal penyebab segala aib dan baik dengan menyebut punca setiap sesuatu”. Hikmah berbunyi:

أَصْلُ كُلِّ مَعْصِيَةٍ وَغَفْلَةٍ وَشَهْوَةِ الرِّضَا عَنِ النَّفْسِ، وَأَصْلُ كُلِّ طَاعَةٍ وَيَقَظَةٍ وَعِفَّةٍ عَدَمُ الرِّضَا مِنْكَ عَنْهَا، ولأن تَصْحَبَ جَاهِلاً لَا يَرْضَى عَنْ نَفْسِهِ، خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ تَصْحَبَ عَالِمًا يَرْضَى عَنْ نَفْسِهِ، فَأَيُّ عِلْمٍ لِعَالِمٍ يَرْضَى عَنْ نَفْسِهِ؟ وَأَيُّ جَهْلٍ لِجَاهِلٍ لَا يَرْضَى عَنْ نَفْسِهِ؟

Maksudnya: “Bermula semua maksiat, kelalaian dan syahwat ialah dengan keredaan memuaskan hawa nafsu; sedangkan pokok segala ketaatan, kesedaran dan kesopanan akhlak budi ialah pengekangan terhadap hawa nafsu. Dan adalah lebih baik bagi dirimu dengan berkawan seorang bodoh yang tidak menurutkan hawa nafsunya berbanding kamu berkawan dengan seorang yang alim tetapi selalu menuruti hawa nafsunya. Ilmu apakah yang telah dipelajari seorang alim sehingga dia boleh selalu menuruti (membenarkan) hawa nafsunya? Dengan kebodohan bagaimana menyebabkan seorang jahil dapat mengekang hawa nafsunya?”

Mafhum Hikmah

  • Redha dalam menuruti nafsu adalah punca kepada segala maksiat, kelalaian dan hanyut bersama syahwat. Adalah bersahabat dengan orang jahil yang mengekang hawa nafsunya itu lebih baik daripada berkawan dengan seorang alim yang sentiasa redha menuruti hawa nafsunya. Ketahuilah pada kedua-duanya terdapat perbezaan yang nyata, justeru tidak redha menuruti nafsu itu adalah asas ketaatan.
  • Syeikh Zarruq Rahimahullah berkata:

الرِّضَا عَن النَّفْسِ علامَتُه ثَلَاثُ : رُؤْيَةُ الحَقِّ لِنَفْسِهِ وَالشَّفَقَةُ عليها والإِغْضَاءُ عَن عُيُوبِهَا بِتَزْكِيَتِهَا مِنْ حَيْثُ أَنَّهُ يَرَى قَبِيحَهَا حَسَنًا بِالتَّأْوِيْلِ لأَنَّهُ يَعْلَمُ العَيْبُ ثم يفْضِي عنه وإنْ كان نوعًا مِنْهُ

Maksudnya: “Redha menuruti nafsu itu ada tiga tanda, iaitu melihat jalan kebenaran mengikut kehendak nafsu, menyukai untuk berada dalam keadaan tersebut (yang pertama) dan mencari seribu alasan agar hatinya dan orang lain supaya menerimanya sebagai suatu yang benar. Dia akan senantiasa melihat nafsu syahwat sebagai suatu yang baik dengan pelbagai macam takwilan kerana pengetahuannya tentang aib keburukannya, dan kemudian memperindahkan rupa gambaran yang sedia ada walaupun telah diketahui jenisnya (keburukannya).

  • Ammar berkata:

ثَلَاثَ مَنْ جَمْعَهُنَّ فَقَدْ جَمَعَ الإِيْمَانَ الإِنْصَافُ مِنْ نَفْسِهِ وَبَذْلُ السَّلامِ لِلْعَالِمِ والإنفاقُ مِن الإِقتَارِ

Maksudnya: Tiga sifat kalau terdapat pada seseorang maka terdapat padanya iman, iaitu seorang yang insaf daripada menuruti nafsunya, mengucapkan salam kepada golongan alim, dan seorang yang menginfagkan sebahagian daripada hartanya walaupun dia tidak memiliki kemewahan.”

  • Bersahabat dengan mereka yang mempunyai tiga sifat ini boleh membawa kepada mahasin (akhlak) yang baik kerana manusia itu mengikut agama temannya. Bersahabat dengan mereka juga turut menyumbang kepada ketenangan jiwa sanubari daripada kesusahan, pemangkin kehidupan beragama dalam seharian serta mempunyai saham yang besar untuk keselamatan di dunia dan akhirat.
  • Menuruti hawa nafsu boleh membawa kepada tiga bala:

1. Takabbur.

2. Sedikit muhasabah diri.

3. Riak.

  • Sebaliknya bersahabat dengan golongan yang redha dengan nafsu boleh mewarisi tiga penyakit:
  1. Menjadi hamba kepada nafsu.
  2. Sering mendapat kesusahan.
  3. Persahabatan yang tidak kekal.
  • Sufyan al-Thauri Rahimahullah berkata:

إِنَّمَا الْعِلْمُ لِيَتَّقِيَ اللَّهُ وَإِنَّمَا فَضْلُ الْعِلْمِ غَيْرَهُ لأَنَّهُ يَتَّقِيَ اللَّهَ بِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tujuan ilmu pengetahuan itu adalah untuk menjadikan seseorang bertakwa kepada Allah SWT, sedang tujuan ilmu yang selain kategori pertama (iaitu ilmu keduniaan) menjadikan seseorang itu patuh kepada-Nya kerana manfaat yang diperolehinya.”

Akhir kalam, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a’lam