#5439: Pilihlah Rakan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimanakah cara memilih rakan atau sahabat yang tepat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syeikh Zarruq Rahimahullah berkata: “Sebagaimana kemestian janganlah kamu pandang kecuali Allah SWT dalam semua keadaanmu, begitu juga janganlah kamu bersahabat kecuali dengan mereka yang mempunyai matlamat yang sama denganmu (menuju kepada Allah SWT).”

لَا تَصْحَبُ مَنْ لَا يُنْهِضُكَ حَالُهُ, وَلَا يَدُلُّكَ عَلَى اللَّهِ مَقَالُهُ

Maksudnya: “Jangan kamu berkawan dengan seseorang yang perbuatannya tidak membangkitkan semangat taat kepada Allah SWT dan percakapannya tidak memimpinmu kepada-Nya.”

Mafhum Hikmah

  • Pilihlah sahabat yang dapat memperbaiki dirimu kepada Allah SWT sama ada melalui لسان الحال atau لسان المقال Sebaliknya janganlah mencari sahabat yang tidak mempunyai sifat tersebut.
  • Sayidina Ali RA berkata: “Sejahat-jahat sahabat ialah seorang yang berkehendakkan kamu kepada penipuan dan mendatangkan kesusahan kepada kamu.”
  • Imam al-Ghazali Rahimahullah menukilkan syair gurunya:

“Carilah keredhaan Allah SWT apabila kamu menjalinkan persahabatan,

Dan tinggalkanlah manusia yang ramai di sekelilingmu,

Serta zahirkan kecintaan yang tulus murni kepada Yang Menyaksi (Allah SWT),

Samada semasa engkau bersama mereka ataupun berjauhan. Perhatikan perihal manusia berulang kali jika mahu,

Nescaya kamu akan dapati mereka seperti kala jengking (yang ingin membunuhmu).”

  • Zu al-Nun al-Misri menyatakan sifat ikhlas dalam ukhuwwah sebagai: “Bersahabatlah dengan orang yang apabila kamu sakit dia menziarahimu, apabila kamu melakukan dosa dia memintakan keampunan untukmu.”
  • Berkenaan nasihat-menasihati, Zu al-Nun al-Misri berkata: “Janganlah kamu bersama Allah SWT melainkan kamu mentaati-Nya, dan bersama makhluk dengan nasihat-menasihati.”
  • Diriwayatkan bahawa Hatim bin Hayyan berkata kepada Uwais al- Qarnı: “Hai Uwais, ziarahilah aku untuk bersilaturahim.” Jawab Uwais: “Aku bersilaturahim denganmu dengan cara yang lebih bermanfaat, iaitu berdoa dari jauh. Hal ini kerana boleh jadi dengan berjumpa melahirkan perasaan riak dan sekadar untuk bergurau senda.”
  • Ukhuwwah (persaudaraan) di kalangan ahli tasawuf mempunyai beberapa adab yang perlu diambil perhatian dan dijaga dengan baik. Antara yang penting ialah ikhlas, saling nasihat-menasihati dan mengutamakan orang lain lebih daripada diri sendiri.

Semoga Allah SWT memberikan kita sahabat-sahabat yang membuat kita semakin bertakwa dan ingat kepada-Nya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَبْعِدْ عَنَّا بِطَانَةَ السُّوْءِ وَالْمُفْسِدِيْنَ، وَقَرِّبْ إِلَيْنَا أَهْلَ الْخَيْرِ وَالنَّاصِحِيْنَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jauhkanlah daripada kami teman rapat yang jahat dan yang merosakkan. Dekatkanlah kepada kami orang-orang yang baik dan pemberi nasihat yang baik, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”