#5441: Dihijab daripada Allah SWT

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah Dato jelaskan hikmah dihijab daripada Allah SWT?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syeikh Zarruq Rahimahullah berkata: “Daripada apa yang dinyatakan sebelum ini, sesungguhnya dunia ini sifatnya kekurangan dan akan binasa, sedang makhluk sifatnya tidak kekal dan tidak sempurna kerana makhluk tidak pada hakikat yang sebenarnya. Justeru, menyibukkan dengan makhluk merupakan suatu ikatan pergantungan dengan waham (الوهم) yang bukan hakikat. “

مَا حَجَبَكَ عَنِ اللَّهِ وُجُودِ مَوْجُودٍ مَعَهُ. وَلَكِنْ حَجَبَكَ عَنهُ تَوَهُّمْ مَوْجُودٍ مَعَهُ

Maksudnya: “Kamu tidaklah dihijab daripada Allah SWT oleh kewujudan sesuatu yang ada bersama-Nya. Tetapi sebenarnya kamu dihijab daripada Allah SWT oleh sangkaanmu yang silap bahawa masih ada sesuatu yang lain bersama-Nya, (sedangkan tidak ada yang wujud secara hakiki melainkan Dia semata-mata).”

Mafhum Hikmah

  • Tawahhum (تَوَهُّم) merupakan penghijab hakiki yang menghalang seseorang hamba dengan Allah SWT, sedangkan ia tiada sama sekali (iaitu tidak wujud). Segala sesuatu selain daripada Allah SWT itu pada hakikatnya adalah tiada, kerana yang bersifat wajib al-Wujud hanyalah Allah SWT. Adapun yang lain daripada- Nya bergantung kepada kehendak Allah SWT, sama ada untuk diadakan ataupun sebaliknya.
  • Syeikh Muhyuad-Din bin Arabi menyebut dalam syairnya:

وَجَدتُّ وُجُودًا لَمْ أَجِدْ ثَانِيَا لَهُ                  وَشَاهَدتُّ ذَاكَ الحَقَّ فِي كُلِّ صَنْعَهُ

وَطَالِبُ غَيْرِ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ كُلَّهَا                        كَطَالِبِ مَاءٍ مِنْ سَرَابٍ بِقِيعَهُ

Maksudnya: “Aku dapati suatu kewujudan yang aku dapati tiada yang kedua baginya, Aku menyaksikan Tuhan Yang Maha Haq itu pada setiap ciptaan, Orang yang menuntut sesuatu selain Allah SWT di bumi keseluruhannya, Seperti mencari air pada bayang-bayang terik seakan air di tanah kontang.”

  • Imam al-Syafie Rahimahullah berkata: Perkara yang paling mulia ada iaitu:
  1. Merasa kaya walaupun sedikit.
  2. Warak ketika bersendirian.
  3. Kata-kata benar yang diucapkannya kepada mereka yang mengharapkan.
  4. Nasihat bantuan atau untuk diikuti.

Semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a’lam