#5442: Sifat Orang Mukmin apabila Dipuji

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimanakah sifat yang sepatutnya sebagai seorang Muslim apabila dipuji?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syeikh Zarruq Rahimahullah berkata: “Kemudian, sesungguhnya perbuatanmu mencela dirimu sendiri apabila manusia menghalakan pujian kepadamu adalah disebabkan rasa malu kepada Tuhanmu, di mana Dia telah menutup aib-aibmu dan menzahirkan sifat-sifat baikmu.”

Justeru dikatakan dalam hikmah ini:

المُؤْمِنُ إِذَا مُدِحَ، اِسْتَحْيَا مِنَ اللَّهِ أَنْ يُثْنَى عَلَيْهِ بِوَصْفٍ لَا يَشْهَدُهُ مِنْ نَفْسِهِ.

Maksudnya: “Apabila seorang yang beriman (dengan keimanan yang sempurna) dipuji, dia berasa malu kepada Allah SWT kerana dipuji dengan sebab sesuatu sifat kepada yang tidak dia saksikan pada dirinya.”

Mafhum Hikmah

  • Seorang mukmin yang hakiki adalah mukmin yang tidak merasa dirinya mempunyai sifat-sifat yang layak untuk dipuji kerana dia memperolehi hanya disebabkan anugerah kurniaan Allah SWT lantaran dapat berbuat sesuatu yang baik, dan sama sekali bukan daripada kekuasaan makhluk dan kehendak diri.
  • Khallad bin as-Saibber berkata, Rasulullah SAW bersabda:

العِبَادَاتُ إِلَى طَلَبِ العَفْوِ عَنْ تَقْصِيرِهَا أَحْوَجُ مِنْهَا إِلَى طَلَبِ الْأَعْوَاضِ وَالْجَزَاءِ عَلَيْهَا

Maksudnya: “Segala ibadat yang menuntut permohonan ampun atas kekurangannya (kecuaiannya) itu adalah lebih dekat daripada perlakuan ibadat yang menuntut ganjaran dan pahala atasnya.”

  • Abu Yazid berkata:

إِذَا مُدِحَ الْمُؤْمِنُ فِي وَجْحِهِ، رَبَا الْإِيمَانُ فِي قَلْبِهِ.

Maksudnya: “Apabila seseorang mukmin dipuji dihadapannya, maka bertambahlah iman di dalam hatinya.”

Riwayat Tabarani dan al-Hakim dengan sanad yang dhaif

  • Syeikh al-Buthi hafizhuhallah berkata: “Hikmah sebagai pelengkap hikmah sebelumnya.”

Semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a’lam