#5445: Penglihatan Alam Ghaib

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah boleh manusia melihat alam ghaib?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syeikh Zarruq Rahimahullah berkata Para wali Allah bagi mereka pintu-pintu jalan kepada Allah SWT. Mengenali mereka dengan kunci-kuncinya, dengan sentiasa menjaga maruah dan keluasan ihsannya. Sesiapa yang bermuamalah dengan mereka dengan cara itu, dibukakan baginya. Sebaliknya, jika tidak ia berada dalam penderitaan yang besar.”

Hikmah berbunyi:

رُبَّمَا أَطْلَعَكَ عَلَى غَيْبِ مَلَكُوتِهِ، وَحَجَبَ عَنْكَ الْإِسْتِشْرَافَ عَلَى أَسْرَارِ العِبَادِ

Maksudnya: “Kemungkinan Allah SWT menghendaki kamu untuk melihat dan mengetahui perkara-perkara ghaib alam malakut. Akan tetapi, Dia menutup daripadamu kemampuan melihat dan mengetahui rahsia-rahsia para hamba-Nya.

Mafhum Hikmah

  • Boleh jadi Allah SWT membuka hijab-Nya kepadamu dengan memperlihatkan segala alam malakut-Nya yang ghaib daripada syurga, neraka serta lain-lain. Adakalanya apabila diperlihatkan kepadamu rahsia-rahsia mereka, boleh jadi akan dihukum pelakunya dan membawa mudarat kepada fitnah. Firman Allah SWT:

وَاللَّهُ وَلِيُّ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: Dan (ingatlah), Allah jualah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman.

(Surah Ali Imran: 68)

  • Sayyid Quthub Rahimahullah berkata: “Merekalah hizbullah yang menggabungkan diri kepada-Nya, mencintai dan menolong agama-Nya, dan tidak mencintai segala Tuhan yang disembah selain-Nya. Mereka adalah satu keluarga dan satu ummat yang menjangkau seluruh generasi dan abad, menjangkau seluruh tempat dan negeri, menjangkau seluruh kaum dan bangsa, serta menjangkau seluruh keturunan dan keluarga.”
  • Diriwayatkan bahawa Allah SWT berfirman dalam sebuah hadith qudsi,

إِنَّ اللَّهَ قَالَ: مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالحَرْبِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT berfirman: Barangsiapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku telah isytiharkan perang terhadapnya.

Riwayat Bukhari (6502)

  • Syeikh Abdullah at-Tawadi berkata:

مَا قَطَعَهُ الشَّيْخُ أَبُو يَعْزَى فِي سِتِّ عَشَرَةَ سَنَةً قَطَعْتُهُ أَنَا فِي أَرْبَعِينَ يَوْمًا وَلَمْ يَشَمَّ لِطَرِيقِنَا هَذِهِ غُبَارًا.

Maksudnya: Apa yang direntasi oleh Syeikh Abu Ya’za dalam tempoh 16 tahun, telah saya rentasi dalam tempoh 40 hari. Dia belum lagi dapat mencium apa-apa debu pun di jalan kami ini.

  • Syeikh al-Buti Rahimahullah berkata: “Kita dapat lihat ramai orang yang fasiq mengejek syariat dan hukum Allah SWT serta mereka berbangga dengan kejahatan tersebut. Kalaulah mereka mempunyai perasaan malu dan menyembunyikan aib mereka, alangkah baiknya.”

 Semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”