#5448: Di Sebalik Kegelapan Maksiat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato kupaskan sedikit berkenaan kegelapan maksiat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terlebih dahulu, kami terangkan maksud maksiat.

Perbuatan maksiat dan derhaka adalah bertentangan dengan ketaatan, atau bertentangan dengan perintah Allah SWT. Apabila seseorang tidak mematuhi atau melakukan yang bertentangan dengannya, maka dikatakan: Hamba itu telah menderhakai Tuhannya iaitu  dengan melakukan apa yang dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya, atau meninggalkan apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya kerana dia memilih untuk dirinya sendiri selain dari apa yang dipilih oleh Allah dan Rasul-Nya dalam  menurut hukum syarak, dan inilah kesesatan yang nyata.

Ibn ‘Ajibah Rahimahullah menambah: “Kadang-kala terdapat dikalangan hamba yang dikalahkan oleh nafsu syahwat dan dipenjara dalam penjara kelalaian. Kemudian dilorongkan kepadanya untuk taubat serta perasaan sedar insaf daripada lamunan kelalaian. Hamba ini layak masuk bersama kekasihnya ke hadrat Allah SWT untuk mengenali sesuatu nilai yang dizahirkan Allah SWT kepadanya melalui kurniaan-Nya, sebagaimana dinyatakan dalam hikmah ini.”

رُبَّمَا وَرَدَتِ الظُّلَمُ عَلَيْكَ لِيُعَرِّفَكَ قَدْرَ مَا مَنَّ بِهِ عَلَيْكَ.

Maksudnya: “Adakalanya kegelapan-kegelapan dosa, maksiat dan syahwat itu tiba padamu, untuk mengingatkan kepadamu kebesaran nikmat yang diberikan Allah SWT kepadamu.”

Mafhum Hikmah

Adakalanya maksiat dan syahwat itu tiba padamu untuk memberi peringatan akan kebesaran nikmat yang diberikan Allah SWT kepadanya.

Abdul Majid al-Syurnubi Rahimahullah berkata:

فَمَا مِنْهَا إِلا لَهُ فِيهِ نعمةُ           عَليكَ لَهُ في مِثلِهَا يَجبُ الشكرُ

Maksudnya: “Tidaklah sesuatu perkara terjadi pada diri seseorang kecuali nikmat daripada-Nya, Jikalau perkara yang sama berlaku atas dirimu, wajib bagimu mensyukurinya.”

Ibn ‘Abbad Rahimahullah berkata: “Kegelapan berbeza dengan cahaya. Tiada didapati padanya cahaya kecuali bertentangan dengan kegelapan, dan setiap kegelapan bertapak mengikut kadar cahayanya. Ianya sesuatu yang diketahui dengan lawannya.”

Kegelapan menyelubungi perkara dihijab dan ghaib di malam- malam Hijrah, serta perpisahan untuk mengenalkan kamu akan kadar kurniaan-Nya pada dirimu dengan cahaya-cahaya tajalli, kehadiran diri pada kemuncak pendekatan dan juga sebagai jalan perantaraan. Semua yang disebutkan ini merupakan nikmat- nikmat ke atas dirimu tanpa sedari.

Al-A’masy atau namanya Sulaiman bin Mihran, seorang yang alim dalam bidang al-Quran, hadis dan faraidh. Imam Zahabi mengatakan: Beliau adalah contoh teladan dalam ilmu yang bermanfaat dan amalan soleh. Tatkala kematian menjemput jiwa al-A’masy (menjelang sakaratulmaut, semoga Allah SWT merahmatinya dengan rahmat-Nya yang amat luas), anak- anaknya menangis kesedihan. Dia berkata: “Wahai anak-anakku, janganlah kamu menangis! Demi Allah, tiada Tuhan selain Dia. Sesungguhnya saya tidak pernah terlambat takbiratul ihram selama 60 tahun bersama Imam (solat berjemaah).” Tidaklah dia menyebutnya kerana kesombongan atau kebongkakan, akan tetapi bertujuan supaya mengajar kepada anaknya betapa pentingnya solat berjemaah.

Semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”