#5451: Jangan Putus Asa

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato beri sedikit nasihat agar saya tidak berputus asa dalam beramal ibadat? Mohon pencerahan Dato.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Surah al-Zumar (53)

Mengenai ayat ini, al-Tabari berkata: “Yakni, janganlah berputus asa daripada rahmat Allah. Inilah seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas R.Anhuma.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 22/398)

Al-Syaukani pula mengatakan bahawa ayat ini menjadi ayat yang paling memberikan harapan dalam al-Quran kerana mengandungi khabar gembira paling besar. Keistimewaan ayat ini, pertamanya, kerana penyandaran hamba kepada Allah SWT sebagai bentuk penghormatan dan khabar gembira. Kemudian diterangkan bahawa sifat mereka adalah gemar melakukan dosa dan maksiat secara berlebihan, namun diikuti dengan larangan berputus asa daripada mendapatkan rahmat bagi mereka. Maka, dapat difahami bahawa larangan beputus asa ini lebih utama (min bab aula) untuk diterapkan kepada pelaku dosa yang tidak secara berlebihan, malah boleh jadi inilah maksud utama daripada ayat ini. (Lihat Fath al-Qadir, 6/295)

Syeikh Zarruq Rahimahullah berkata: “Jika sekiranya Allah SWT yang bersifat al-Haq sentiasa hadir bersama dan dekat denganmu, maka wajib ke atas kamu untuk hadir bersama-Nya dalam keadaan apa sekalipun walaupun dengan memohon harapan pada rahmat-Nya.”

Inilah yang dinyatakan dalam hikmah ini.

لاَ تَيْأَسُ مِنْ قَبُولِ عَمَلٍ لَمْ تَجِدْ فِيْهِ وُجُودَ الْحُضُورِ، فَرُبَّمَا قُبِلَ مِنَ الْعَمَلِ مَا لَمْ تُدْرِكْ ثَمَرَتَهُ عَاجِلاً.

Maksudnya: “Jangan berputus harapan pada amal perbuatan yang telah kamu kerjakan dengan tidak khusyu’. Berkemungkinan amalan itu diterima, sedang kamu tidak melihat hasilnya dengan kadar segera.”

Meskipun ketika melakukan amalan perbuatan masih belum merasai kehadiran hati nurani serta kemanisan pada ketaatan yang dilakukan, maka jangan terburu-buru putus harapan untuk diterima amalannya. Meskipun masih dalam taraf sekadar termampu untuk taqarrub kepada Allah SWT dan merasakan bahawa itu adalah kurniaan Allah SWT kepadanya. Demikian, itu sudah cukup baik.

  • Syeikh Zarruq Rahimahullah berkata:

فَالْعَوَائِدُ لَا تَقْتَضِي عَلَى حُكْمِ الرَّبِّ سُبْحَانَهُ

Maksudnya: “Maka segala bentuk pengembalian (‘awaid) tidak berlaku atas hukum Tuhan.”

  • Syeikh Zarruq Rahimahullah berkata:

التَّأَلُّمُ بِفَقْدِ الْحُضُورِ وَذَلِكَ مِنْ ثَلَاثَةِ أُمُورٍ:

أَحَدُهَا: إِعْتِمَادُ الْأَسْبَابِ فِي الرَّدِّ وَالْقَبُولِ، وَهِيَ عِلَّةٌ وَاضِحَةٌ.

الثَّانِي: إِسْتِشْعَارُهَا الْكمال فِيْمَا هِيَ بِهِ بَدَلاً مِنَ النَّقْصِ اللأَحِقِ بِضَدِّهِ وَهِيَ عِلَّةٌ أَيْضًا.

الثَّالِثُ : الأُنْسِ بِالْحَلَاوَةِ وَالتَّأَلُّمِ بِفِرَاقِ اللَّذَّةِ، وَهِيَ أَعْظَمِ الْعِلَلِ.

Kesakitan tanpa kehadiran penderitaan, terdapat tiga macam keadaan:

Pertama: Kebergantungan pada sebab-sebab tertentu pada penolakan dan penerimaan, iaitu suatu sebab yang jelas pada keputusan.

Kedua: Perasaannya yang tenang sempurna baginya, kemudian kerana wujud kekurangan, dan yang berlawanan dengannya (iaitu tenang sempurna) yang juga merupakan illah (sebab),

Ketiga: Berjinak dengan sesuatu yang digemari dan merasa terseksa apabila terpisah dengan kelazatan itu. Sesungguhnya, ia adalah sekuat-kuat alasan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”