#5455: Mandi-Mandi yang Disunatkan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Persoalan saya ialah kita sering mendengar tentang keadaan di mana kita diwajibkan mandi, tetapi bilakah waktu-waktu yang disunatkan untuk mandi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

(Surah al-Ma’idah: 6)

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61).

Begitu juga, dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah: 222)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan di sini terdapat mandi yang disunatkan di dalam Islam. Justeru, di sini kami kemukakan secara ringkas berkenaan mandi yang disunatkan.

Mandi-Mandi yang Disunatkan

Mandi-mandi yang disunatkan ada 17, iaitu:

  1. Mandi bagi menunaikan solat Jumaat.
  2. Mandi bagi menunaikan solat Aidilfitri dan Aidiladha.
  3. Mandi bagi menunaikan solat istisqo’ iaitu memohon hujan.
  4. Mandi bagi menunaikan solat gerhana bulan.
  5. Mandi bagi menunaikan solat gerhana matahari.
  6. Mandi selepas memandikan jenazah.
  7. Mandi untuk orang kafir selepas masuk Islam.
  8. Mandi untuk orang yang sembuh daripada gila.
  9. Mandi untuk orang yang sedar daripada pengsan.
  10. Mandi bagi menunaikan ihram.
  11. Mandi bagi memasuki Makkah.
  12. Mandi ketika wuquf di Arafah.
  13. Mandi bagi bermalam di Muzdalifah.
  14. Mandi bagi melempar tiga jamrah.
  15. Mandi bagi menunaikan tawaf.
  16. Mandi bagi menunaikan sai.
  17. Mandi bagi memasuki Madinah. (Lihat Matan Abi Syuja’, hlm. 5)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

  رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”

Wallahu a‘lam