#5459: Bertukar Tempat Iddah kerana Dicerai Talak Tiga

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah boleh bagi isteri yang telah diceraikan suami menghabiskan tempoh ‘iddah di rumah keluarga ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Iddah

Menurut bahasa, `iddah bermaksud kiraan, hitungan atau bilangan. Ini kerana ia merangkumi bilangan suci daripada haidh dan juga bilangan bulan.

Dari segi istilah, `iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/77-85)

Pada asalnya, bagi wanita yang diceraikan dengan talak raji’e iaitu talak 1 dan 2, dia perlu menyelesaikan iddahnya di rumahnya itu. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW kepada Fura’iah bin Malik:

امْكُثِي فِي بَيْتِكِ الَّذِي جَاءَ فِيهِ نَعْيُ زَوْجِكِ حَتَّى يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ

Maksudnya:Tinggallah di rumah yang engkau mendengar khabar kematian suamimu sehingga selesai tempoh iddahmu.”

Riwayat Ibn Majah (2031) dan Ahmad (27132)

Namun begitu, para ulama’ memberikan sedikit kelonggaran kepada seorang wanita yang takut akan dirinya atau yang tidak mempunyai sesiapa untuk menjaganya, dan dia juga tidak dapat menjaga dirinya sendiri, maka dia boleh melakukan ‘iddah tersebut di tempat lain selain di rumahnya.

Jika wanita itu takut akan kemusnahan, lemas atau musuh atau seumpamanya, atau jika tuan rumah mengusirnya daripada rumah kerana sewaan telah tamat, atau tuan rumah tidak membenarkannya untuk tinggal di sana atau tuan rumah tidak membenarkannya untuk menyewanya, atau dia meminta sewa yang lebih daripada harga sewa yang biasa, atau dia tidak cukup wang untuk membayar sewa, maka dia boleh berpindah untuk beriddah di tempat lain, kerana terdapatnya keuzuran. Jika dia tidak boleh tinggal di tempat yang sepatutnya dia beriddah kerana keuzuran maka dia boleh tinggal di mana sahaja dia mahu untuk menyelesaikan iddahnya. (Lihat al-Mughni, 8/127)

Jika seorang perempuan yang suaminya telah meninggal dunia berpindah dari rumah yang dia kematian suaminya ke rumah lain semasa ‘iddahnya atas sebab darurat seperti dia takut untuk tinggal bersendirian maka dia boleh menyempurnakan ‘iddahnya di rumah yang dia berasa aman untuk dia beriddah. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 20/473)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan pada asalnya, isteri yang ditalak rajie, tidak boleh beriddah selain dari rumahnya. Namun, sekiranya dia tidak berasa selamat, atau ada keuzuran, maka dibolehkan untuknya beriddah ditempat lain.

Manakala, sekiranya si isteri diceraikan oleh suaminya dengan talak bain yakni talak tiga. Maka, ketika itu, si isteri boleh untuk beriddah di tempat lain yakni selain dari rumah yang didudukinya bersama bekas suami kecuali dalam situasi si isteri sedang hamil, maka di sini terdapat khilaf ulama.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Wallahu A’lam