#5463: Perkara yang Menjadikan Mas kahwin Menjadi Wajib

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah yang menjadikan mas kahwin dihukum wajib?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Mas Kahwin

Mas kahwin atau mahar (Arab: مهر) ialah pemberian yang wajib diberikan oleh lelaki kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya. Dalam masyarakat Melayu, ia disebut sebagai mas kahwin – mungkin juga merujuk kepada pemberian mas kahwin tersebut dalam bentuk cincin emas.

Allah SWT berfirman:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً ۚ فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Maksudnya: “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”

Surah al-Nisa’ (4)

Ibn Kathir berkata: Menurut Ibn Abbas, perkataan النحلة membawa maksud mahar. Ibn Zaid pula menjelaskan, ianya bermaksud sesuatu yang wajib diberikan kepada isteri disebabkan aqad nikah. Seorang lelaki wajib menyerahkan mahar kepada wanita sebagai hadiah dan pemberian ke atasnya dengan penuh kerelaaan hati. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/235)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, hukum menyebut mas kahwin ketika akad nikah adalah sunat. Meskipun tidak disebut, akad nikah tetap sah. Mas kahwin menjadi wajib disebabkan tiga perkara berikut:

  1. Suami mewajibkannya atas dirinya sendiri
  2. Hakim mewajibkannya
  3. Suami menyetubuhinya, wajib memberikan mas kahwin, iaitu mahar mithli

Tiada batasan minimum dan maksimum dalam menentukan jumlah mas kahwin. Seseorang boleh menikahi wanita dengan mas kahwin yang jelas manfaatnya. Setengah daripada mas kahwin gugur disebabkan isteri dicerai sebelum menyetubuhinya. (Lihat Matan Abi Syuja’, hlm. 32)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Marilah sama-sama kita sentiasa melazimi doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)