Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Orang yang ditidurkan oleh doktor di hospital, adakah dia perlu qadha’ solatnya apabila dia telah sedar?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya.”
(Surah al-Baqarah: 286)
Syeikh al-Maraghi berkata: Allah SWT tidak membebankan hamba-hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu mereka kerjakan. Bahkan sifat kemurahan-Nya memberikan kemudahan kepada mereka. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/672)
Menjawab persoalan di atas, jika seseorang yang ditidurkan dalam tempoh yang lama, maka tidak perlu qadha kerana dalam tempoh tersebut akalnya dikira tiada. Ini kerana salah satu daripada perkara yang mewajibkan solat adalah berakal. Untuk itu, tidak wajib solat bagi orang yang gila, pengsan, mabuk dan seumpamanya kerana pada waktu itu akal mereka telah hilang.
Ini dinyatakan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
رُفِعَ القَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَشِبَّ، وَعَنِ المعْتُوهِ حَتَّى يَعْقِلَ
Maksudnya: “Diangkat pena daripada tiga golongan: Orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia remaja (baligh) dan daripada orang yang cacat mental sehingga dia berakal.”
Riwayat al-Tirmizi (1423) dan Ahmad (956)
Menurut Syeikh al-Mubarakfuri, ungkapan “المَعْتُوهِ” ialah dengan maksud gila atau yang seumpama dengannya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/570)
Para ulama’ mengqiyaskan bagi setiap orang yang hilang akal mereka dengan orang yang gila sama ada dalam tempoh masa yang sekejap atau lama. Jika dia sembuh dan berbaki masa untuknya solat (bertakbir) maka wajib baginya solat. Akan tetapi, tidak wajib dia mengqadha’kan solat dalam tempoh tersebut (hilang akal). (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafi’i, 1/155)
Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitabnya al-Majmu’: “Sesiapa yang hilang akalnya dengan sebab yang tidak diharamkan (Syarak) seperti menjadi gila atau koma/pengsan atau hilang akal dengan sebab sakit atau meminum suatu ubat kerana keperluan atau dipaksa meminum suatu minuman yang memabukkan hingga hilang akalnya, tidak wajib solat atasnya dan bila dia tersedar, tidak diwajibkan qadha solat atasnya sama ada singkat atau lama tempoh gila dan pengsannya itu. Inilah yang menjadi mazhab kami (mazhab Syafi’ie). (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/6)
Secara umumnya, kami nukilkan pelbagai pandangan fuqaha’ dan mazhab untuk memberikan lebih pencerahan dan kefahaman. Para ulama’ telah berkhilaf kepada beberapa pendapat:
- Mazhab Maliki dan Syafi’i berpendapat, tidak perlu qadha’ kerana ia tidak termasuk dalam mukallaf, dalam keadaan pengsan atau koma.
- Mazhab Hanbali berpendapat, perlu qadha’.
- Mazhab Hanafi berpendapat, perlu qadha’ jika tidak melebihi enam waktu solat. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 11/110)
Jika sekiranya keadaan tersebut bukan dalam tempoh yang panjang, maka dia perlu qadha’. Ini berdasarkan apa yang diriwayatkan:
أَنَّ عَمَّارًا أُغْمِيَ عَلَيْهِ ثَلَاثًا ، ثُمَّ أَفَاقَ فَقَالَ : هَلْ صَلَّيْتُ ؟ قَالُوا : مَا صَلَّيْتَ مُنْذُ ثَلَاثٍ ، ثُمَّ تَوَضَّأَ وَصَلَّى تِلْكَ الثَّلَاثَ
Maksudnya: Bahawa ‘Ammar pernah pengsan selama tiga malam. Apabila terjaga, beliau bertanya: Adakah aku telah solat? Mereka menjawab: “Kamu tidak solat sejak tiga malam.” Kemudian beliau berwuduk dan sembahyang qadha tiga malam tersebut.
Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (2/268)
Daripada Imran bin Husain dan Samurah bin Jundub R.Anhuma, juga diriwayatkan seumpamanya. Dan tiada sebarang khilaf, maka ia seolah-olah ijma’. (Lihat al-Mughni, 1/240 dan al-Majmu’, 3/8)
Setelah meneliti hujahan dan pendapat para ulama’ dan fuqaha’, kami lebih cenderung kepada qadha’ solat jika sekiranya tempoh ditidurkan adalah pendek seperti kurang dari tiga hari. Namun, sekiranya tempoh ditidurkan adalah lama, seperti lebih tiga hari, maka tidak perlu qadha’.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”
Surah Ibrahim (40-41)